PERINGATAN Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengenai kepentingan sistem tebatan banjir sangat diperlukan bagi mengelak masalah yang kini melanda negeri itu terus berulang mengingatkan saya kepada teguran Presiden Indonesia, Joko Widodo kepada badan perancangan daerah supaya mengawal pembinaan penempatan dan bangunan di kawasan pinggir sungai sering dilanda banjir.
Jokowi mahu badan itu menyelia, mengawal dan memantau setiap perancangan pembangunan serta mengenal pasti risiko bencana di kawasan masing-masing.
Teguran itu sangat bertepatan dan perlu diberi perhatian serius, terutama semua pemegang taruh terbabit dalam proses perancangan dan pelaksanaan pembangunan di negara ini bagi mengelak kejadian bencana lebih buruk.
Malaysia seperti juga Indonesia, saban tahun dilanda bencana banjir. Terkini kesan luruan sejuk dari Monsun Timur Laut ditambah faktor campur tangan keterlaluan manusia mengubah alam sekitar, terutama di kawasan berisiko tinggi mengalami bencana menyebabkan beberapa negeri dilanda bencana banjir teruk dengan Johor antara paling terkesan.
Banjir ketika ini disifatkan paling buruk pernah dihadapi negeri itu selepas 17 tahun menghadapi bah besar pada 2006 yang mengakibatkan lebih 100,000 penduduk terjejas.
Apakah kita masih gagal belajar daripada pelbagai bencana melanda sejak sekian lama? Sikap sudah terhantuk baru terngadah masih tebal sebati dalam usaha mengekang bencana semakin meningkat kuantiti dan kadar serius sedangkan tindakan mencegah daripada mengubat sangat dituntut.
Paling ketara, alam sekitar dengan pelbagai kapasitinya berperanan sebagai penebat bencana semula jadi terus diasak, diteroka dan dieksploitasi atas nama pembangunan. Pelbagai usaha pembangunan infrastruktur aliran dan tebatan banjir tidak akan berjaya sekiranya faktor pendorong banjir tidak dibendung dengan sistematik dan efisien, terutama aktiviti pembalakan secara tidak terkawal dan haram.
Realiti harus diterima, hutan adalah pasak bumi menjadi 'span' terbaik menyerap aliran hujan berlebihan. Secara saintifiknya banjir melanda disebabkan antara lain penggondolan berleluasa kerana apabila itu berlaku, tiada pokok berfungsi sebagai perintang (barrier) sebelum air hujan sampai ke permukaan tanah.
Ia menyebabkan hujan bukan sahaja cepat sampai ke permukaan bumi, namun kadar resapan jauh lebih perlahan kerana sebahagian besarnya menjadi air permukaan bertenaga tinggi berpotensi menyebabkan banjir berlaku dengan cepat.
Ternyata, penggondolan hutan tetap dilakukan tanpa ada satu sistem boleh dirujuk untuk mengenal pasti kawasan mana sepatutnya dipulihara bagi mengelakkan banjir bertambah buruk atau kawasan mana boleh dibangunkan.
Pembangunan tidak terancang boleh menyumbang kepada banjir. Di Asia Tenggara, Bangkok diramalkan akan lenyap, bukan hanya kerana paras laut meningkat, bahkan disebabkan ibu kota Thailand itu dibebani terlalu banyak bangunan menyebabkan tanah mendap kerana bandar raya itu dibina di kawasan tanah paya.
Maka, kawasan yang tidak boleh dibangunkan kerana dikategorikan sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar seperti kawasan paya perlu ditetapkan dengan jelas dan pembangunan di sekelilingnya perlu diminimumkan kerana berpotensi mengundang bencana.
Malangnya, walaupun sudah jelas ada kawasan berisiko tinggi diketahui mengalami banjir setiap tahun, pembangunan baharu terus rancak didirikan sedangkan infrastruktur sedia ada untuk menebat banjir, iaitu sistem saliran seperti parit dan sungai masih 'gagal' diselenggara dengan baik dan sempurna.
Apatah lagi dengan tindakan berterusan memberi kebenaran dan permit untuk pembinaan pelbagai bentuk pembangunan di kawasan kerap dilanda bencana seperti banjir dan tanah runtuh mengundang bencana tidak berkesudahan.
Kesan fenomena perubahan iklim menyebabkan kekerapan bencana alam seperti banjir meningkat secara drastik turut perlu diambil kira. Lautan di seluruh dunia menjadi panas lebih cepat pada abad lalu berbanding sepanjang 11,000 tahun lalu.
Malah, purata 150 bilion tan ais di Antartika cair setiap tahun, manakala bongkah ais di Greenland juga mengecil lebih cepat dan kehilangan 270 bilion tan ais setahun.
Lantaran itu, bencana banjir kerap melanda negara pasti akan meningkat dengan ketara. Faktor iklim harus diberi perhatian serius kerana ia amat berkait rapat bencana banjir, terutama peningkatan kelembapan, jumlah hujan dan kenaikan aras laut.
Laporan saintis di pusat terkemuka untuk pemodelan iklim Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA), Institut Goddard untuk Kajian Angkasa (GISS), berdasarkan trend pemanasan jangka panjang bumi, suhu global pada tahun lalu merekodkan 0.89 darjah Celsius, melebihi purata tempoh asas NASA bagi 1951-1980.
Ini bermakna, bumi pada 2022 lebih panas kira-kira 1.1 darjah Celsius daripada purata akhir abad ke-19. Trend panas ini membimbangkan yang mana iklim pemanasan kita sudah menunjukkan tanda seperti kebakaran hutan semakin meningkat, taufan semakin kuat dan kemarau mencetuskan malapetaka, selain peningkatan paras laut menyumbang kepada bencana banjir.
Rentetan itu, ratusan juta penduduk di kawasan tepi pantai, tanah rendah dan negara pulau kecil diramal terjejas akibat banjir ekoran peningkatan paras laut semakin ketara sejak 1900. Jumlah ini menyamai nisbah satu dalam setiap 10 penduduk dunia dan Malaysia sendiri tidak terkecuali.
Maka, usaha yang dibangunkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menerusi projek pembinaan Denai Sungai Nasional seluruh negara sebagai tebatan banjir semula jadi perlu lebih dipergiat, terutama di kawasan berisiko tinggi mengalami banjir.
Peranan kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) membina sistem aliran dan pengairan tebatan banjir bagi membendung bencana ini dalam jangka panjang juga amat dialu-alukan.
Corak taburan hujan dan kejadian banjir kini semakin sukar diramal hingga memerlukan pelan pembangunan bandar berdaya tahan adalah kritikal memandangkan intensiti hujan masa kini semakin tinggi akibat pemanasan global.
Aspek pemetaan turut perlu diberi perhatian, antaranya pemetaan terkini berkaitan kawasan berisiko banjir sebagai langkah penting bukan untuk menilai risiko banjir dan mengenal pasti lokasi potensi tebatan banjir, malah turut menyediakan maklumat penting kepada orang awam untuk bertindak segera dan selamat ketika berlakunya bencana.
Agensi berkaitan seharusnya mempunyai sistem pemetaan kawasan sensitif banjir sebelum bertindak melakukan 'pembersihan tanah' dan pembangunan bagi mengelakkan banjir bertambah buruk. Akhirnya, kawasan hijau harus terus dipelihara dan dipertingkatkan kerana hutan berkeupayaan menyimpan air hujan sebanyak 70 peratus dan ketiadaan kawasan semula jadi itu menyebabkan potensi banjir berlaku adalah besar.
Penulis adalah Profesor Madya Institut Pengajian Sains Sosial, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia