Ahad, 12 March 2023 | 9:12am
PRN di enam negeri mungkin menjadi titik tolak kepada era reformasi politik tidak pernah difikirkan rakyat sebelum ini namun bayangan perubahan itu dilihat semakin menjelma. - Foto hiasan
PRN di enam negeri mungkin menjadi titik tolak kepada era reformasi politik tidak pernah difikirkan rakyat sebelum ini namun bayangan perubahan itu dilihat semakin menjelma. - Foto hiasan

PRN petunjuk sokongan Kerajaan Perpaduan, pengaruh UMNO dan PN

TARIKH Pilihan Raya Negeri (PRN) masih menjadi misteri, namun pemerhati politik sudah mula membuat culaan dan jangkaan bagaimana corak serta pola strategi digunakan parti akan bertanding nanti.

Ada pemerhati membayangkan PRN nanti bakal menyaksikan pertempuran sengit Perikatan Nasional (PN) berdepan parti gabungan Kerajaan Perpaduan terutama di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Keputusan PRN nanti juga dianggap sebagai petunjuk sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada peringkat Pusat dan negeri.

Keputusan itu juga boleh menjadi indikator kepada sejauh mana pemulihan UMNO berdasarkan pemilihan parti itu, iaitu peringkat sayap, semalam dan Naib Presiden serta ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT), Sabtu depan.

Mungkin juga PRN di enam negeri ini menjadi titik tolak kepada era reformasi politik yang tidak difikirkan rakyat sebelum ini, namun bayangan perubahan itu dilihat semakin menjelma.

Apa yang menarik, sejauh mana jenama Kerajaan Perpaduan dan Malaysia MADANI dapat diterjemahkan dalam pembahagian kerusi pada PRN terbabit kelak.

Sejauh mana pula rundingan pembahagian kerusi ini akan menjadi manifestasi wujudnya gabungan 'parti politik baharu' yang senada dan seirama.

Jika berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), ramai pengamat politik juga berasa sangsi wujudnya kerjasama dan persetujuan antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) kerana sokongan PH jauh lebih tinggi berbanding BN.

Namun PH/BN optimis dan yakin akan wujud jajaran serta formula baharu mewarnai PRN tidak lama lagi walaupun kedua-dua parti sebelum ini adalah seteru ketat dalam setiap pilihan raya.

Justeru, pada PRN nanti, apakah situasi akan berlaku. Sejauh mana Kerajaan Perpaduan dan Malaysia MADANI dapat diterjemahkan dalam pembahagian kerusi pada PRN di enam negeri nanti.

Sejauh mana pula rundingan pembahagian kerusi akan menjadi manifestasi wujudnya sebuah gabungan 'parti politik baharu' hasil kerjasama PH/BN?

Benarkah dakwaan ramai ahli UMNO yang 'kurang selesa' dengan gabungan berkenaan disebabkan perlu bekerjasama dengan DAP.

Namun namanya dalam politik, tidak ada sesuatu yang pelik, malah sentiasa berubah dan dinamik serta tidak kekal.

Persoalan ini sebenarnya menjadi agenda perdebatan umum dan teka-teki dalam landskap politik Malaysia. Sejauh mana PRN nanti PN dan parti Kerajaan Perpaduan 'bertarung' bagi memastikan penguasaan politik di peringkat negeri.

Keputusan PRN nanti juga dianggap sebagai petunjuk sokongan terhadap Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar. Mungkin juga PRN di enam negeri nanti menjadi titik tolak kepada era reformasi politik tidak pernah difikirkan sebelum ini namun segala-galanya mungkin dalam politik.

Dalam pada itu, suhu politik Malaysia ketika ini dilihat agak reda, namun isu semasa yang timbul seperti desakan supaya PH menunaikan janji serta manifesto PRU15 khasnya pemansuhan undang-undang disifatkan sebagai 'drakonian' contohnya Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dilihat boleh mencetus bara api baharu.

Dalam pada itu, siasatan kes penyelewengan dana terhadap pemimpin BERSATU juga dijangka mempengaruhi sokongan dan pola pengundian pada PRN nanti.

Sentimen simpati, kemarahan pengundi

Sejarah menunjukkan sentimen simpati dan kemarahan pengundi mampu mempengaruhi keputusan mereka ketika mengundi, seperti dilihat pada keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) selepas PRU14.

Sementara itu, 'ramalan' Tan Sri Abdul Hadi Awang yang Kerajaan Perpaduan bakal tumbang tidak harus diabaikan begitu saja kerana 'pokok tidak bergoyang kalau tidak ditiup angin'.

Bermakna, 'langkah' khas mahu menumbangkan kerajaan mungkin sudah dirancang dan hanya menunggu masa untuk menekan butang.

Walaupun masih ada kira-kira tiga bulan lagi sebelum enam Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan, topik pengagihan kerusi bakal ditandingi antara PH dan BN terutama di kawasan Melayu juga mula dibincangkan.

UMNO pasti membuat tuntutan bertanding di kawasan kerusi selamat terutama majoriti Melayu, justeru mungkin perlu bersaing dengan Parti Amanah Negara (AMANAH) untuk merebut DUN berkenaan.

AMANAH mendakwa belum wujud perbincangan serius pengagihan kerusi antara PH dan BN, namun kedua-dua pihak pernah berbicara mengenai perkara itu secara tidak rasmi.

PKR juga sudah pasti menuntut kerusi dilihat berpotensi untuk dimenangi terutama di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Bermakna, harapan UMNO untuk bertanding di kerusi selamat seperti mana mereka berunding dengan komponen BN akan menjadi lebih sukar sebenarnya.

Hakikat tidak boleh diketepikan, pengaruh PN juga semakin meningkat jika melihat kepada prestasi parti itu pada PRU15 terutama di Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Melihat kepada sokongan pengundi terutama Melayu kepada mereka, PN kini dikatakan amat yakin memenangi kawasan majoriti Melayu seperti dimenangi di PRU15.

Namun, sokongan politik sentiasa dinamik dan tiada yang kekal. Gabungan PH/BN juga tidak mustahil mampu memecah dominasi PN terutama kubu PAS di Kedah memandangkan tiada apa yang mustahil dalam politik.

Walaupun PAS masih lagi menjadi kubu kuat di Kelantan dan Terengganu, jika ketetapan dibuat supaya UMNO dan PKR serta AMANAH tidak bertembung sesama sendiri, ia akan merubah culaan dan percaturan baharu.

Sokongan kali ini juga bergantung bilakah PRN akan diadakan. Setakat ini, persefahaman sudah dicapai ia akan dijalankan secara serentak.

Jika ini berlaku, ia bukan saja menjimatkan kos pengurusan parti dan SPR, tetapi memudahkan strategi politik kepada semua parti bertanding.

Apa yang penting, pemimpin pada peringkat negeri di bawah Kerajaan Perpaduan perlu berjiwa besar dan berlapang dada berbincang mengenai pembahagian kerusi bagi menghadapi PRN.

Tampak agak sukar untuk berkorban. Namun, semua pihak harus menerima dengan hati terbuka meskipun terpaksa mengecilkan jumlah kerusi ditandingi berbanding PRU sebelum ini.

Setakat ini, peluang dan ruang semua gabungan sama ada PH, BN mahu pun PN memenangi PRN tetap seimbang.

Penulis adalah Penganalisis politik dan Profesor di Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM)


Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X