Sabtu, 11 March 2023 | 6:06pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Fahami adab berbeza pandangan, elak terjebak perpecahan ummah

Setiap individu mahupun masyarakat mempunyai keunikan realiti, situasi, pengalaman sosial, tahap kemampuan makhluk dari aspek akal serta fizikal, demografi budaya dan capaian kemudahan pembangunan berbeza.

Menyelami bidang sosiologi ini, kita bakal menemukan kewujudan pelbagai perbezaan pendapat dan pemilihan pegangan atau nilai dalam kalangan manusia. Ini menjadikan berbeza pendapat sebagai perkara tidak dapat dielakkan, tetapi boleh diurus penuh adab dan manusiawi berdasarkan apa yang digariskan Islam.

Secara umumnya, perbezaan pendapat terbahagi kepada dua. Pertama, perbezaan pendapat memberi dampak positif yang memberi ruang kepada manusia membuat keputusan secara anjal atau fleksibel dan memperluas sarwa pandang dalam meneliti sesuatu persoalan kehidupan. Rahmat umat kita terletak pada perbezaan pendapat antara imam (rahmatul ummah fi ikhtilaf al-a'immah).

Kedua, perbezaan pendapat memberi kesan negatif seperti mencetuskan perpecahan, ketaasuban melampau (ghuluw), pembunuhan, fitnah dan pergaduhan dalam masyarakat. Ini akan mengakibatkan wujud dua dua atau beberapa kutub bersikap defensif bagi pihaknya dan provokatif terhadap pihak berbeza.

Contohnya, seperti disebut Imam al-Syaukani apabila terdapat segelintir pengikut mazhab Hanafi bencikan mazhab Shafie mencipta hadis palsu kononnya Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa Idris Muhammad, iaitu Imam Shafie lebih buruk daripada Iblis merosakkan umat, sedangkan pemuda (Abu Hanifah) menjadi penerang umat.

Tiga kategori perbezaan pendapat

Ilmuwan Islam, Taha Jabir al-Alwani dalam magnum opusnya, Adab al-Ikhtilaf fi al-Islam menggariskan perbezaan pendapat kepada tiga kategori.

Pertama, perbezaan pendapat didorong hawa nafsu lahir daripada sifat keinginan mencapai kepentingan diri.

Kedua, perbezaan pendapat berpunca daripada kebenaran disebabkan lahir daripada sumber kebenaran ilmu, kehendak akal sihat dan desakan iman, manakala ketiga, perbezaan pendapat terumbang-ambing antara pujian dengan celaan.

Perbezaan pendapat kategori ketiga ini tidak berpihak sepenuhnya kepada mana-mana dan lazimnya berlaku dalam perkara furu' atau cabang dan ranting.

Khilaf dalam kalangan mujtahid (tokoh berkelayakan dan berautoriti mengeluarkan hukum atau pendapat) berlaku dalam perkara zanniah (samar) dalilnya. Adapun yang dalilnya qat'iyyah (jelas), maka tiada ruang untuk sesiapa berikhtilaf seperti menghalalkan arak, zina, judi dan LGBT.

Persoalan harus difikirkan adalah apakah sebab berlaku perbezaan pendapat? Bagaimanakah ia terbentuk? Apakah faktor terbabit dalam mewujudkan perbezaan pendapat?

Antara perkara menyumbang kepada berlaku perbezaan pendapat ialah pertama, kemampuan memahami, menguasai dan menterjemah (sisi pandang) dalam sesuatu ilmu atau bidang tidak sama.

Kedua, perbezaan prinsip, manhaj dan kaedah digubal mujtahidin sebagai panduan melakukan istinbat hukum syarak (qawa'id usuliyyah). Ketiga, kaku dalam membaca realiti sosial manusia mempunyai citra kepelbagaian serta dinamik dalam menafsirkan sesuatu dalil dan hukum syarak.

Keempat, taksub kepada satu aliran atau pandangan sahaja, kurang pendedahan dan tidak terbuka untuk menyantuni aliran atau pandangan berbeza, manakala kelima, berpegang kepada taqlid semata-mata tanpa ilmu pengetahuan kukuh.

Di samping mengakui wujudnya perbezaan pendapat, syariat Islam menggariskan prinsip dan adab untuk bermuzakarah, berdialog serta berbincang dalam sesuatu perkara. Perbincangan itu hendaklah berteraskan akal sihat, bersikap terbuka untuk menerima pandangan berbeza dan setia dengan hujah berpaksikan ilmu. Kesemuanya bertujuan untuk mencari kebenaran, kebaikan dan memberi manfaat bagi kemanusiaan.

Oleh itu, terdapat ribuan cendekiawan Islam membincangkan dan mencerakinkan kaedah dalam menyantuni serta berhadapan dengan perbezaan pendapat. Berikut antara kaedah amat penting untuk dikongsikan.

Pertama, mengikuti manhaj pertengahan (wasatiyah) dan meninggalkan sikap berlebihan dalam agama. Manhaj pertengahan ini mencerminkan sikap tawazun (keseimbangan) dan keadilan.

Sikap berlebihan mengundang kebinasaan seperti sabda Nabi Muhammad SAW, "Binasalah orang berlebihan" yang diulang sebanyak tiga kali bagi menunjukkan betapa kritikalnya hal ini seperti diriwayatkan Imam Muslim.

Kedua, meninggalkan fanatisme terhadap individu, mazhab, golongan dan organisasi tertentu. Setiap orang mesti membersihkan dirinya daripada sentimen emosi, taksub pada satu mazhab secara membuta tuli kerana berpegang kepada sesuatu mazhab tidaklah salah namun kerana ia adalah aliran pentafsiran dan pemahaman syariah. Namun, bersikap fanatik hingga menjatuhkan beberapa mazhab atau aliran lain, wajib ditegah.

Ketiga, menghindari diri daripada terjebak dengan permasalahan furu' serta terperangkap dengan perdebatan (jidal) sia-sia. Hendaklah berpegang teguh dengan etika berdialog, menghormati pandangan diberikan ilmuwan terdahulu dan fokus kepada usaha memperkasa masyarakat dengan hal asas.

Keempat, mengamalkan adab bersetuju untuk tidak bersetuju. Terdapat dua konsep sangat penting untuk diketengahkan, iaitu konsep ta'ayush bermaksud menerima atau berlapang dada dalam menerima kepelbagaian pendapat dan konsep tasamuh merujuk bersikap menahan diri dan bertoleransi seadanya untuk mengelakkan pergaduhan.

Kelima, bersikap profesional dengan menjaga agar ikhtilaf dalam permasalahan furu' ijtihadiyyah (hal ranting berbeza keputusan/pendapat) tetap berada di wilayah wacana pemikiran dan keilmuan. Elakkan daripada berubah menjadi sesuatu peribadi serta membawa kepada perpecahan (ikhtilafut-tafarruq).

Mesej perkukuh perpaduan ummah

Jika diteliti dengan baik, kita akan menemukan satu mesej Islam penting dan berulang kali disebutkan dalam al-Quran selepas seruan terhadap tauhid, iaitu mengukuhkan perpaduan umat dan menjauhi perselisihan pendapat melampau yang mengeruhkan kemurnian ukhwah Islamiyah.

Kelemahan umat Islam kontemporari kerana lelah menjebakkan diri dalam perdebatan sia-sia hingga terlupa membina kekuatan ukhrawi dan duniawi. Apa yang membimbangkan, di tengah-tengah kecamuk ini muncul golongan ketiga, iaitu kaum jamid (jumud – tidak terbuka dengan kepelbagaian) dan kaum jahid (terikut dengan pembaratan serta memilih sekular sebagai cara hidup).

Dialektika kaum jahid dan kaum jahid ini acap kali dibahaskan cendekiawan Islam seperti Pendeta Za'ba dalam karyanya Perangai Bergantung kepada Diri Sendiri; Dr Yusuf al-Qardhawi dalam kitabnya Aina Khalal; Syeikh Muhammad al-Ghazali dalam kitabnya Kaifa Nafhamul dan Prof Syed Hussein al-Atas dalam karyanya Kita Dengan Islam Tumbuh Tiada Berbuah dan lain-lain.

Kesimpulannya, perbezaan pendapat dalam Islam adalah lumrah dan tidak dilarang. Namun, etika, kaedah dan adab tertentu hendaklah dijaga agar perselisihan berlaku tidak membawa kepada sesuatu yang negatif.

Pelbagai program latihan dan pendidikan konstruktif bagi membentuk pemikiran masyarakat faham dan amalkan Islam secara tulen, pemerkasaan institusi pusat pendidikan serta melahirkan masyarakat berfikiran kritis dan mampu menghadam maklumat secara bijak terutama dalam zaman kebanjiran maklumat media sosial amat perlu dilakukan dengan segera. Apabila adab berkenaan dipatuhi dan dihormati, nescaya lahirlah masyarakat makmur dan dirahmati Allah SWT.

Penulis adalah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X