Laporan Jurang Gender Global (GGG) 2022 daripada Forum Ekonomi Dunia meletakkan Malaysia di tangga ke-103 daripada 146 negara bagi aspek merapatkan kesenjangan gender dalam empat bidang iaitu politik, ekonomi, pendidikan dan kesihatan.
Walaupun mencatatkan lonjakan daripada tempat ke-112 pada 2021, Malaysia masih berada di kedudukan lebih rendah berbanding beberapa negara jiran serantau seperti Singapura (49), Thailand (79) dan Indonesia (92).
Satu fakta diketahui ramai, tetapi pahit untuk ditelan adalah golongan hawa di negara ini lebih berpendidikan berbanding golongan adam. Laporan GGG 2022 menunjukkan 48.44 peratus wanita memasuki institut pendidikan tinggi berbanding 37.05 peratus lelaki.
Namun, angka ini tidak selari jika dibandingkan dengan jurang gender amat jelas di tiga sektor - perwakilan wanita dalam kepemimpinan parti politik, wanita sebagai calon pilihan raya dan peratusan di Parlimen.
Walaupun negara mempunyai lambakan inisiatif mempromosikan agenda 30 peratus perwakilan wanita di Parlimen, ramai sering terlepas pandang punca kekurangan perwakilan wanita di Dewan Rakyat, salah satunya adalah parti politik disertai wanita itu.
Budaya patriarki iaitu 'lelaki mempunyai kedudukan lebih tinggi daripada perempuan' yang lama berakar dalam ruang lingkup sosial dan politik negara dilihat menjadi penghalang jalan wanita untuk mendaki hierarki politik.
Satu hujah yang menarik ialah wanita hanya boleh meniti puncak politik jika orang 'tua' dalam parti politik (warlords) mempunyai tekad kuat untuk berbuat demikian.
Dominasi lelaki dalam parti politik
Hari ini, kepemimpinan dalam kebanyakan parti politik di Malaysia masih didominasi lelaki. Sebagai contoh, Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU mempunyai 30 lelaki daripada 34 jawatannya (88.24 peratus).
Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR mempunyai 33 wakil lelaki berbanding 43 jawatannya 76.74 peratus) dan Majlis Syura Ulama PAS mempunyai 13 wakil lelaki 14 (92.86 peratus).
Dalam parti majoriti Melayu-Islam seperti UMNO, BERSATU dan PAS, jawatan tertinggi wanita dalam parti adalah sebagai ketua wanita pada peringkat bahagian dan cabang.
DAP dan PKR boleh menjadi model yang baik untuk dipelajari. Kedua-dua parti mempunyai peruntukan dalam perlembagaannya untuk memperuntukkan 30 peratus kuota bagi wanita memegang jawatan kepemimpinan.
Kuota parti politik sukarela ini membantu DAP muncul sebagai parti mempunyai peratusan wanita tertinggi dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusatnya (CEE) daripada pemilihan parti lalu iaitu sembilan adalah wanita daripada 30 jawatan itu atau 30 peratus.
Pakatan Harapan (PH) memiliki calon wanita Parlimen tertinggi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) iaitu 39 orang daripada 205 calon, mewakili 19 peratus.
Jiran terdekat negara, Indonesia mempunyai peruntukan pilihan raya senarai calon untuk Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) mesti terdiri daripada sekurang-kurangnya 30 peratus wanita.
Hari ini boleh disaksikan banyak pencapaian digapai seiring dengan peningkatan jumlah ahli Parlimen wanita. Belanjawan tahunan dan Rancangan Malaysia tidak pernah gagal memasukkan peruntukan serta program khusus disasarkan memperkasa wanita dalam aspek ekonomi dan sosial.
Terbaharu, Akta Anti Gangguan Seksual diluluskan tahun lalu dan keputusan sebulat suara Kabinet untuk kanak-kanak dilahirkan wanita warganegara Malaysia di luar negara diberi kerakyatan automatik menandakan satu lagi kejayaan baharu bagi kesaksamaan gender di negara ini.
Dalam tempoh sedekad lalu, statistik Malaysia hanya menunjukkan antara 10 hingga 15 peratus ahli Parlimen wanita dan 6 hingga 17 peratus menteri wanita berada dalam Kabinet. Hal ini menimbulkan persoalan adakah kuota 30 peratus benar-benar penting.
Perlu lebih ramai perwakilan wanita
Pada satu sudut, negara memerlukan perwakilan wanita lebih tinggi di Parlimen untuk membolehkan lebih banyak undang-undang dan dasar responsif gender dapat dilaksanakan, di samping memastikan lebih keterangkuman dalam proses pembuatan keputusan.
Pada masa sama, memperkasakan wanita dalam politik bukan sekadar memenuhi kuota dan berlumba-lumba untuk mendapat kedudukan global yang baik. Dalam kalangan wanita sendiri terdapat dua kumpulan berbeza iaitu mereka yang menyokong idea kuota dan yang tidak menyokong.
Justifikasi golongan kedua ini juga wajar kerana merit mesti diambil kira dalam memilih pemimpin. Perlu diingat tidak semua wanita adalah 'feminis'. Malah, sesetengah lelaki lebih feminis dalam pendekatan mereka tanpa perlu menjadi wanita.
Selain tekad politik, peranan bukan parti seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pertubuhan awam, institusi akademik, badan pemikir dan media perlu terus bertindak sebagai pempengaruh dan kumpulan pendesak kepada kerajaan.
Semakan semula perlu dilakukan terhadap rangka kerja sedia ada berkaitan wanita termasuk Dasar Wanita Negara, Pelan Tindakan Pembangunan Wanita dan undang-undang pilihan raya untuk mengatasi kelompangan yang ada.
Tidak dinafikan, Malaysia menunjukkan prestasi lebih baik dari tahun ke tahun dalam menyediakan lebih banyak peluang untuk wanita mendapat tempat dalam politik.
Namun, ini bukan alasan untuk kita berhenti berusaha mengurangkan kesenjangan masih luas antara lelaki dan wanita dalam politik.
Jika ia ditangani lebih awal, beberapa isu seperti status kerakyatan bagi kanak-kanak dilahirkan wanita warganegara Malaysia di luar negara tidak akan menjadi masalah hari ini.
Penulis adalah Pegawai Penyelidik Sosial di Pusat Kajian Politik dan Diplomasi Ekonomi, Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri (IDFR)