Isnin, 6 March 2023 | 9:05am

Perundangan kita 'lebih daripada cukup' tangani kleptokrasi

MENURUT kamus Merriam-Webster, 'kleptocrat' ialah pemerintahan oleh mereka yang mengutamakan status dan kepentingan diri daripada kepentingan mereka yang diperintah. Perkataan ini dikatakan berasal dari Greek Tua yang mana 'klepto' bermaksud 'mencuri' dan 'cracy' bermaksud 'memerintah' atau 'pemerintahan'.

Maka, 'kleptocracy' adalah 'pemerintahan oleh pencuri' yang merujuk kepada pemerintah mengambil harta secara salah dengan menggunakan kedudukan mereka menjarah harta rakyat dan negara.

Kleptokrat diketahui menjana kekayaan diri dan keluarga mereka dengan cara rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan serta mengambil harta secara tidak sah sama ada wang atau harta benda milik rakyat.

Kleptokrasi pula adalah negara dikuasai kleptokrat, memerintah dengan cara mengaut kekayaan peribadi melalui pemindahan hasil negara kepada mereka secara tidak sah.

Hasil negara ini dipindah melalui pelbagai kaedah salah seperti rasuah dan salah guna kuasa menyebabkan negara mengalami kerugian daripada perbuatan salah laku mereka, menurut jurnal ditulis pemerhati politik dan pentadbiran bertajuk 'Kerajaan kleptokratik pasca reformasi di Malaysia dan Indonesia' diterbitkan pada 2018.

Meneliti sejarah dunia, kita melihat kleptokrat mungkin wujud dalam sistem kerajaan tertentu iaitu oligarki, yang mana sekumpulan kecil berkuasa mengawal kewangan dan teraju negara; junta tentera, iaitu jeneral tentera mengawal kewangan dan kuasa kerajaan.

Selain itu, sistem monarki feudal yang mana pihak aristokrat mengawal penuh kerajaan dan negara; diktator mutlak yang mempunyai kawalan penuh terhadap kerajaan dan rakyat. Pada masa sama wujud pemimpin dalam sistem demokrasi berparlimen menyalahguna kuasa mereka untuk membina kekayaan melalui jalan salah.

Robert Longley dalam kajiannya pada 2021 menjelaskan kleptokrat berlaku akibat penguasaan dan pengaruh penuh individu terhadap kerajaan.

Beliau merujuk kepada Congo (sekarang Zaire) apabila Joseph Mobutu merampas kuasa dan mengisytiharkan dirinya sebagai Presiden pada November 1965.

Dikatakan sebelum dijatuhkan pada 1977, Mobutu mengumpul kekayaan lebih AS$4 hingga AS$15 bilion melalui penyelewengan. Di Haiti pula pada 1971, Jean Claude Duvalier mengambil alih kuasa daripada bapanya Francois Duvalier.

Ketika itu beliau berusia 19 tahun. Selama 14 tahun memerintah, Duvalier dikatakan menjarah sehingga AS$800 juta harta Haiti. Dikatakan juga majlis perkahwinan beliau ditaja kerajaan Haiti sebanyak AS$2 juta.

Di Filipina, salah laku Presiden Ferdinand Marcos dan isteri beliau Imelda menjadi perhatian dunia. Beliau berkuasa antara 1966 sehingga 1986. Rejim Marcos dikatakan paling korup sepanjang sejarah Filipina.

Selepas beliau dijatuhkan pelbagai bukti timbul menunjukkan beliau serta keluarganya menjarah berbilion dolar secara rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sejumlah wang melebihi RM4 bilion digubah secara haram. Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menghadapi 21 tuduhan jenayah kerana terbabit dalam pengubahan wang haram membabitkan lebih RM4.3 bilion.

Beliau disabitkan kesalahan dan dihukum penjara selama 12 tahun serta denda. Rayuan kepada Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan ditolak. Sehingga rencana ini ditulis, kes beliau sedang didengar di Mahkamah Persekutuan untuk tujuan semakan keputusan Mahkamah Persekutuan yang menolak rayuan beliau terdahulu.

Ada peruntukan cukup atasi rasuah

Merujuk kepada undang-undang digunakan pendakwaan dalam kes beliau, Akta 613, Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFA) digunakan.

Najib dituduh mengikut Seksyen 4(1). Antara lain seksyen itu memperuntukkan sesiapa yang terbabit dalam atau cuba terbabit atau bersubahat dalam perlakuan pengubahan wang haram melakukan satu kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun.

Akta 613 hanyalah salah satu undang-undang kita ada untuk menghalang dan menghukum kleptokrat. Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 (Akta 694) mempunyai peruntukan yang cukup untuk menangani isu rasuah dan salahguna kuasa.

Seksyen 16 hingga Seksyen 28 Akta SPRM 2009 memperuntukkan kesalahan dan hukuman rasuah dan salahguna kuasa. Lantas, kleptokrat melakukan penyelewengan dan rasuah boleh dituduh mengikut Akta 694 ini. Di samping itu peruntukan Kanun Kesiksaan khususnya kesalahan pecah amanah jenayah dan penyelewengan harta adalah mengikut Seksyen 403 hingga 409 Akta 574 ini.

Modus operandi kleptokrat sering membabitkan pemindahan dan kemasukan wang ke luar dan ke dalam negara, Akta 613 dilihat lebih sesuai diguna pakai. Mekanisme keluar masuk dana dikawal selia Bank Negara (BNM) dan Jabatan Kastam. Akta 613 mewajibkan pengisytiharan wang keluar masuk di sempadan negara.

Terdapat peraturan jelas mengenai aktiviti mengeluarkan wang ke luar negara perlu dipatuhi bank tempatan. Seliaan aktiviti ini diperuntukkan mengikut Seksyen 24 dan 25 Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 dan seksyen 23 Akta 613.

Kuasa Bank Negara amat luas seperti diperuntukkan di bawah Akta Bank Pusat Malaysia 2009 dan juga Akta Perkhidmatan Kewangan 2013. Bermakna, ketelusan amat penting untuk memastikan kleptokrat dikenal pasti dan kesalahan mereka disiasat segera.

Usaha menggunakan undang-undang untuk menutup kesalahan itu seperti penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau SOSMA dan Akta Rahsia Rasmi 1972 serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1974 terhadap pemberi maklumat khususnya kakitangan awam dan media serta badan bukan kerajaan (NGO) akan merencatkan usaha untuk mendedahkan kegiatan kleptokrat. Ini berlaku dalam kes 1MDB.

Ketelusan pastikan kleptokrat dikenal pasti

Hakikatnya, kleptokrasi memusnahkan ekonomi dan integriti kerajaan dan negara. Rakyat akan merana kerana kesan ekonomi tidak baik. Akauntabiliti kerajaan serta kedaulatan undang-undang dan kawalan terhadap rasuah dipertikaikan.

Mekanisme melalui dasar, perundangan, peraturan dan tata kelola memang lama wujud untuk pelaksanaan empat langkah dinyatakan. Apa yang perlu ialah pelaksanaan berkesan dan mantap serta bebas daripada salahguna kuasa dan rasuah serta tiada campur tangan politik yang boleh mengganggu gugat penguatkuasaan undang-undang dan peraturan.

Kita tidak mahu salahguna undang-undang seperti SOSMA, Akta Hasutan 1948, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan dan Akta Rahsia Rasmi untuk melindungi kleptokrat kerana akhirnya kleptokrat akan terus bermaharajalela melalui kuasa dan pengaruh mereka terhadap badan penguatkuasaan termasuk mahkamah.

Selain membudayakan integriti kepada semua aspek pentadbiran negara, rakyat hendaklah dididik supaya benci kepada salahguna kuasa dan rasuah.

Kita melihat sejak 2019, Pelan Antirasuah Nasional (NACP) mula terlaksana. Kita mahu kesemua pelan ini diteruskan dan pelaksanaannya dipantau tanpa mengira warna sesebuah kerajaan semasa.

Penulis adalah Ahli Majlis Profesor Negara (MPN)

Berita Harian X