Ahad, 5 March 2023 | 9:00am

Manfaat teknologi terkini tangani impak bencana alam pada skala minimum

Belalang ucap takziah dan simpati kepada mangsa banjir terutama di Johor yang khabarnya jumlah setakat petang semalam mencecah kira-kira 40,000 orang membabitkan hampir 11,000 keluarga dan dipindahkan ke 238 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di sembilan daerah.

Gambar yang dikongsikan NADMA, pemantauan udara bomba keadaan banjir di bandar Segamat. - Sumber: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
Gambar yang dikongsikan NADMA, pemantauan udara bomba keadaan banjir di bandar Segamat. - Sumber: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia

Pengalaman banjir di Johor kali ini dikatakan terburuk selepas 2006 disebabkan luruan hujan sangat luar biasa, fenomena air pasang, hujan berterusan lebih dua hari menyebabkan paras sungai utama meningkat mendadak selain air susulan hujan di Pahang mengalir ke sungai negeri itu, terutama di sekitar daerah Segamat, Tangkak, Muar dan Mersing.

Musibah melanda Johor kali ini turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meluluskan bantuan segera berjumlah RM50 juta bagi tujuan menyelenggara dan membaik pulih infrastruktur rosak disebabkan bah, selain Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menerima memperuntukkan RM10 juta untuk membeli peralatan dan bantuan tambahan bagi membantu mangsa banjir.

Belalang mengakui musibah banjir ini adalah ketentuan Ilahi, namun bencana seperti ini tetap mendedahkan wujud dan berlaku kepincangan dalam aspek pengurusan alam sekitar secara lestari, di sebalik segala projek pembangunan diluluskan kerajaan negeri atau pihak berkuasa tempatan (PBT).

Pengalaman menunjukkan impak musibah mungkin dapat diminimumkan jika semua pihak pemegang taruh mematuhi peraturan serta garis panduan ditetapkan, terutama penilaian aspek impak alam sekitar (EIA) bagi setiap projek pembangunan, penerokaan kawasan baharu, hutan, membina jalan atau lebuh raya.

Belalang percaya jika aspek integriti, jujur, amanah, prihatin dan peka kepada alam dijunjung setiap pihak terbabit dalam memberi kelulusan projek serta pembangunan, banjir dalam skala besar seperti pernah berlaku di Lembah Klang, Shah Alam, Klang dan kini di Johor mungkin dapat diminimumkan, manakala kesannya juga dikurangkan.

Namun, bencana yang berlaku ini memperlihatkan wujud kelemahan dan kesilapan perancangan manusia dalam perancangan pembangunan, menjadi antara punca utama mengapa setiap kali bencana alam berlaku seperti banjir, impak dan kerosakannya begitu besar serta tidak terjangkau akal.

Belalang amat berharap setiap kerajaan negeri dan PBT serta pemaju sesebuah projek mengambil berat serta teliti sebelum sesuatu projek pembangunan diluluskan sama ada di kawasan bandar atau luar bandar.

Pada masa, projek menaik taraf atau membaik pulih sistem saliran seperti sungai, parit atau longkang dilakukan lebih kerap bagi mengurangkan impak banjir.

Dalam dunia serba moden dan dilingkari teknologi terkini, termasuk kepintaran buatan (AI), Malaysia seharusnya menjadi lebih lestari menangani impak bencana alam ini pada skala minimum, bukan lagi terpaksa mengerah segala aset dan logistik yang ada untuk memindahkan mangsa banjir.

Berita Harian X