Khamis, 23 Februari 2023 | 1:53pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Bajet 2023 perlu terus fokus mantapkan modal insan

Esok, Belanjawan 2023 bakal dibentangkan di Parlimen dan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini memberi bayangan mengenai peruntukan serta bidang bakal diberi perhatian.

Anwar turut mengakui akan ada pengurangan dalam peruntukan pada belanjawan ini berbanding asal, namun begitu pengurangan itu tidak akan menjejaskan usaha pembangunan dirancang untuk kepentingan rakyat.

Namun, melihat kepada situasi semasa ekonomi negara secara makro dan mikro, bajet bakal dibentangkan ini diharap terus memberi fokus membangunkan modal insan yang menjadi tunjang kepada pemulihan dan pembangunan ekonomi negara pasca pandemik.

Justeru, aspek berikut diharap mendapat perhatian kerajaan dan Menteri Kewangan khasnya untuk disenaraikan dalam Belanjawan 2023:

Pertama, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu terus dimantapkan untuk melahirkan pekerja mahir secukupnya bagi memacu pemulihan sektor ekonomi berintensifkan pengetahuan dan teknologi.

Program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) berinsentif melalui skim perantisan berstruktur contohnya harus terus dimantapkan. Selain itu, penstrukturan semula TVET dalam aspek tadbir urus, penjenamaan dan strategi pelaksanaan juga diharap mendapat perhatian.

Kedua, aspek kesihatan mental di tempat kerja harus diberi perhatian selaras dengan peningkatan masalah kesihatan mental semakin meningkat dalam kalangan pekerja.

Satu kajian baru-baru ini melaporkan 58 peratus pekerja Malaysia mengalami 'burnout' (kelesuan fizikal, mental dan emosi), manakala 51 peratus berkata keseimbangan kerja dan kehidupan mereka berada pada tahap sederhana atau lemah.

Keadaan ini boleh memberi kesan negatif terhadap kesejahteraan mereka dan seterusnya menjejaskan produktiviti di tempat kerja. Walaupun kesejahteraan mental boleh dipengaruhi pelbagai faktor, persekitaran kerja kondusif didapati menjadi antara penyumbang utama.

Insentif yang boleh menggalakkan majikan meningkatkan peruntukan untuk penganjuran program sokongan kesihatan mental boleh dipertimbangkan pada belanjawan kali ini.

Ketiga, isu penghijrahan bakat tempatan diharap mendapat perhatian sewajarnya daripada kerajaan. Walaupun penghijrahan bakat adalah fenomena global, Malaysia tidak mampu kehilangan bakatnya kepada negara lain.

Trend migrasi yang semakin meningkat dalam kalangan bakat tempatan kita terutamanya golongan muda agak membimbangkan dan merugikan negara dalam jangka masa panjang.

TalentCorp harus diperkasakan dengan autonomi dan bajet yang setimpal untuk menerajui usaha membawa pulang bakat tempatan yang berhijrah ke negara asing.

Keempat, selaras dengan status mencapai negara tua menjelang 2030, lebih ramai golongan pesara dijangka memasuki pasaran buruh demi kelangsungan hidup pada zaman penuh cabaran ini.

Dengan peningkatan jangka hayat dan kos sara hidup semakin tinggi, kita menjangkakan semua pesara akan menikmati persaraan selesa. Skim persaraan sedia ada sama ada dalam sektor awam atau swasta mungkin tidak dapat menampung sepenuhnya keperluan penduduk semakin tua.

Pesara yang memiliki pengalaman, kemahiran dan pengetahuan perlu diberi peluang memasuki semula pasaran buruh untuk menyandang jawatan tidak diisi.

Langkah serampang dua mata ini mampu mengatasi kekurangan pekerja dan pada masa sama menyediakan alternatif jaringan keselamatan sosial untuk mereka. Insentif bersesuaian boleh dipertimbangkan untuk menggalakkan industri menggaji golongan pesara.

Kelima, isu 'underemployment' atau guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran dalam kalangan graduan juga perlu diberi perhatian dalam konteks kebolehpasaran siswazah.

Tingkat kemahiran modal insan

Graduan adalah segmen penting modal insan sesebuah negara dan menjadi satu kerugian besar jika kita tidak mengoptimumkan ketersediaan pengetahuan, kemahiran dan kebolehan mereka menyumbang kepada pembangunan ekonomi.

Program persiapan diterajui industri perlu diperkenalkan dan program sedia ada seperti Program Penjana KPT-CAP boleh ditambah baik untuk melengkapkan graduan dengan kemahiran khusus diperlukan oleh majikan sebagai persediaan memasuki pasaran kerja.

Usaha ini boleh membantu mereka mendapatkan pekerjaan yang sepadan dengan bidang pengajian dan seterusnya dibayar gaji mengikut standard pasaran.

Keenam, penyertaan wanita dalam pasaran kerja harus digalakkan untuk membolehkan mereka turut serta membantu membangunkan ekonomi negara.

Penyertaan mereka dalam pasaran kerja didapati kekal rendah berbanding negara ASEAN lain seperti Singapura dan Thailand. Penyertaan wanita secara aktif dalam pasaran kerja boleh membantu meningkatkan taraf hidup mereka dan keluarga.

Selain itu, majikan harus digalak mewujudkan tempat kerja mesra wanita atau mesra keluarga dari segi kemudahan serta dasar untuk membolehkan mereka menyertai tenaga kerja dan pada masa sama melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap keluarga.

Ketujuh, pekerjaan berbahaya, kotor, dan sukar (3D) harus dipermodenkan termasuk penjenamaan semula jawatan untuk menarik minat rakyat tempatan menyertai sektor ini.

Majikan dalam sektor ini perlu dibantu untuk melabur dalam teknologi bersesuaian bagi meningkatkan produktiviti dan seterusnya perolehan mereka. Ini sekali gus membolehkan mereka meningkatkan insentif dan gaji pekerjaan 3D.

Elaun khusus sepadan dengan tahap 3D sesuatu pekerjaan perlu diperkenalkan. Langkah ini akan membantu mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing, yang dilihat mendominasi sektor perladangan, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan pembersihan.

Kelapan, belanjawan kali ini diharap memberi perhatian terhadap pengwujudan pekerjaan berkualiti iaitu yang memerlukan kemahiran dan mampu membayar kadar upah tinggi kepada rakyat.

Kerajaan harus terus menambah baik ekosistem perniagaan mesra perniagaan atau pelaburan dan menghapuskan kerenah birokrasi untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI) berkualiti dalam industri berteknologi tinggi di negara ini.

Pembangunan keusahawanan menerusi pembiayaan kewangan untuk penubuhan syarikat pemula (start-up) dan pemerkasaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) membolehkan lebih banyak perniagaan berasaskan teknologi digital dan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) diwujudkan, sekali gus menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan.

Kesembilan, walaupun kadar pengangguran di negara ini menunjukkan tanda pengurangan, kerajaan harus terus berusaha untuk mengecilkan jurang masih ada.

Kesepuluh, kerajaan harus memberi perhatian terhadap penyertaan belia dalam ekonomi gig yang dijangka akan terus meningkat pada masa hadapan. Ekonomi gig dijangka kekal relevan pada masa hadapan mengambil kira revolusi dalam sistem pekerjaan seperti aturan kerja fleksibel dan hibrid.

Bagaimanapun, belia yang juga modal insan utama masa depan negara harus digalakkan keluar secara beransur-ansur daripada ekonomi gig dan mencari pekerjaan tetap dalam sektor serta industri kritikal.

Mereka tidak seharusnya menjadikan pekerjaan berkemahiran rendah tertentu dalam ekonomi gig sebagai pekerjaan tetap sepanjang hayat dan tidak berusaha mempelajari sebarang kemahiran.

Mereka harus dilatih semula sebagai persediaan untuk mendapatkan pekerjaan mahir dalam ekonomi digital termasuk dalam ekonomi gig itu sendiri.

Pensyarah di Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan, Universiti Utara Malaysia

Berita Harian X