Selasa, 14 Februari 2023 | 12:00pm
Foto hiasan. - AFP
Foto hiasan. - AFP

Manfaatkan aplikasi AI tanpa jejas kepintaran, emosi insan

Secara realitinya dunia hari ini bergerak dengan sangat pantas. Tanpa disedari, terdapat pelbagai inovasi dan teknologi baharu yang telah dan akan diperkenalkan dalam tempoh amat singkat.

Sudah pasti, perkembangan ini dipacu kecenderungan manusia untuk mencari penyelesaian pantas dalam setiap aktiviti harian. Akibat lambakan kerja dan tugasan harian sangat rumit, alternatif kepada penyelesaian masalah menjimatkan masa dan tenaga sangat diperlukan manusia pada zaman pendigitalan ini.

Antara alternatif kepada masalah praktikal manusia hari ini adalah memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI). Secara umumnya, AI adalah kemampuan untuk menilai, sintesis dan membuat kesimpulan pintar seperti ditunjukkan kepintaran manusia.

Justeru, tidak dapat dinafikan teknologi AI termasuk ChatGPT sangat popular dan memberikan pengaruh sangat signifikan dalam kehidupan manusia hari ini. Sebagai contoh, bidang akademik antara kelompok mendapat manfaat besar AI khasnya ChatGPT.

Pelbagai tugasan dan kerja akademik menjadi lebih mudah dan menarik seperti mewujudkan pembelajaran peribadi, penciptaan kandungan pintar serta padanan data tersuai.

Lambakan aplikasi AI

Pada waktu terdekat ini, kita dilambakkan aplikasi AI memberikan fokus kepada pembangunan aplikasi penjanaan teks. Keghairahan serta keterujaan terhadap penggunaan aplikasi AI ini menimbulkan pelbagai polemik dalam kalangan ahli akademik.

Justeru, terdapat kritikan menyeru supaya pembangun aplikasi AI mengambil langkah bersesuaian sebagai usaha mengurangkan kesan negatif khususnya dalam dunia akademik.

Sebagai contoh, terdapat institusi pendidikan di Amerika Syarikat (AS) mengharamkan AI seperti ChatGPT dalam rangkaian dan peranti dalaman mereka.

Ini disebabkan kebimbangan terhadap kesan buruknya kepada sistem pembelajaran pelajar dan sangat kritikal adalah ketepatan kandungan dihasilkan aplikasi berkenaan.

Masalah ini turut menyebabkan beberapa organisasi melarang staf mereka daripada berkongsi kandungan dihasilkan ChatGPT. Alasan utama kerana aplikasi AI ini menjadikan terlalu mudah untuk menjalankan perbincangan dengan jawapan meragukan.

Namun, terdapat beberapa manfaat boleh diperoleh daripada aplikasi ini iaitu:

  • AI tersedia pada bila-bila masa tanpa had untuk melaksanakan tugasan. Aplikasi ini boleh berfungsi sepanjang masa tanpa sebarang rehat.
  • Secara praktiknya AI dengan bantuan program komputer dapat membantu mengurangkan ralat biasa berlaku dalam operasi manual.

    Tambahan pula, kecerdasan buatan membuat keputusan adalah berdasarkan kepada maklumat dikumpul dalam proses sebelumnya dengan menggunakan set algoritma tertentu. Sudah pasti, ralat dapat dikurangkan dan tahap ketepatan maklumat meningkat.

  • Terdapat aktiviti dan tugasan seharian berlaku secara berulang-ulang. Justeru, perkara ini boleh diatur secara automasi bagi mengekalkan produktiviti dan kreativiti manusia.

    Biarkan sahaja aplikasi AI melaksanakan tugasan berulang-ulang, manusia pula bertindak menyelesaikan masalah lainnya. Contohnya, pembantu digital digunakan berinteraksi dengan pengguna bagi menjawab segala persoalan dan pertanyaan dikemukakan. Ini sangat menjimatkan keperluan sumber manusia.

  • Kecekapan AI sangat membantu membuat keputusan dan menghasilkan tindakan lebih cepat seperti diprogramkan. Ia sangat berbeza apabila keputusan perlu dilakukan manusia mempunyai pertimbangan emosi dan praktikal.
  • Dijangkakan teknologi kecekapan buatan lebih maju akan menghasilkan lebih banyak inovasi baharu. Sudah tentu, akan dapat memberikan manfaat besar dalam kehidupan seharian manusia.

Kelemahan AI

Sementara itu, dalam membuat penilaian adil, kita perlu melihat sisi lain aplikasi AI ini. Jelas, AI mempunyai kelemahannya tersendiri. Berikut adalah beberapa kelemahan perlu diberikan pertimbangan munasabah.

  • Tidak boleh dinafikan kecekapan buatan sedikit sebanyak menjadikan manusia malas. Ini kesan mengautomasikan sebahagian besar tugasan dan aktiviti harian manusia.

    Ketagihan dan kebergantungan kepada kecerdasan buatan menghasilkan generasi tidak lagi seperti dahulu. Ia mendatangkan masalah baharu kepada generasi ini.

  • Antara masalah akan dihadapi generasi ini tiada komunikasi nyata membabitkan emosi dalam tugasan dan aktiviti harian. Masalah ini perlu diurus dengan baik supaya tidak menjurus kepada masalah kesihatan mental serius.
  • Dijangkakan AI akan menyebabkan kepada penjumudan beberapa sektor pekerjaan. Standard juga akan berubah yang mana kelayakan individu hendak diambil bekerja akan dinilai berdasarkan kecekapan sekurang-kurangnya mempunyai kemampuan seperti robot atau mesin AI.
  • Kebergantungan kepada AI akan merencatkan pemikiran di luar kotak. Aplikasi kecerdasan bertindak berdasarkan kepada tugas diprogramkan.
  • Kos penciptaannya sangat tinggi kerana memerlukan perkakasan dan perisian perlu sentiasa dikemas kini bagi padanan situasi semasa. Aktiviti penyelenggaraannya juga membabitkan kos tinggi.

Jelas, kecekapan buatan adalah sistem sangat kompleks dan memerlukan kos sangat besar. Hari ini kebanyakan aplikasi mungkin tersedia secara percuma dan mudah diperoleh. Sedikit waktu lagi situasi ini mungkin akan berubah yang mana pelabur akan cuba mendapatkan semula kos dikeluarkan.

Kesimpulannya, aplikasi AI banyak memberikan manfaat besar kepada kehidupan manusia hari ini. Jelas, kita tidak dapat lari daripada mendapat tempias kesan buruknya dalam melaksanakan tugasan dan aktiviti seharian.

Justeru, sebagai insan berakal, menjadi tanggungjawab bagi kita memanfaatkan aplikasi AI dengan bijak dan penuh hikmah. Waspada supaya jangan sampai empati hilang dalam membuat keputusan.

Penulis adalah Koordinator Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, Pejabat Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat dan Alumni, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak

Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X