Sejak awal tahun ini, keganasan rejim Israel terhadap rakyat Palestin, terutama di wilayah dicerobohi kembali meningkat. Pada minggu lalu lima rakyat Palestin ditembak mati di Jericho, wilayah Tebing Barat dalam siri serbuan rejim untuk menangkap pemimpin Hamas.
Walaupun Hamas menafikan yang terbunuh adalah ahli kumpulan mereka, pemimpin tempatannya, Shaker Amara, ditangkap sekali lagi oleh tentera Zionis.
Serbuan tentera Zionis dan pembunuhan dilakukan adalah kesinambungan daripada siri keganasan di wilayah sama sejak akhir bulan lalu. Pada awal tahun ini sahaja, sebanyak 43 rakyat Palestin, termasuk kanak-kanak dan wanita ditembak mati tentera rejim Israel.
Sebanyak 231 penduduk Palestin terbunuh pada 2022. Ini menjadikan menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), tahun lalu sebagai tahun paling dahsyat dan malang buat rakyat Palestin yang dijajah.
Pemimpin Hamas, melalui jurucakapnya, Hazem Qassem, memberi amaran siri serbuan dan pembunuhan tentera Israel akan mencetuskan revolusi baharu buat rakyat Palestin.
Kumpulan kecil pejuang Palestin lain pula tidak berdiam diri. Mereka turut melancar serangan balas sejak 2021 menyebabkan rejim Israel mengenakan tindakan pergerakan terhad di Tebing Barat. Pihak Berkuasa Palestin pula seperti tidak berdaya melakukan tekanan dan hanya mampu mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan kerajaan Tel Aviv.
Adakah ini bermakna intifada ketiga akan meletus di wilayah dicerobohi rejim Israel? Intifada pertama tercetus antara 1987 hingga 1993, manakala yang kedua pula antara 2000 hingga 2005.
Kesengsaraan lebih 60 tahun rakyat Palestin tidak akan terungkai sehingga kedua-dua belah pihak, sama ada Israel dan Palestin, mempunyai komitmen terhadap penyelesaian damai.
Pemimpin politik Palestin mesti bersatu
Pemimpin politik Palestin wajib mempunyai kekuatan untuk bersatu, manakala pemimpin ultra-nasionalisme Israel seharusnya ditolak dalam memegang tampuk pemerintahan negara. Ini adalah kunci kepada proses damai lebih mapan.
Namun, apa yang terjadi ialah konflik dan keganasan sedia ada akan kembali memuncak selagi kerajaan Israel terus dikuasai pemimpin ultra-nasionalis. Rakyat Israel pula seolah-olah tidak berminat menuju proses damai kerana terus membenarkan kerajaan ultra-nasionalis sekarang diketuai Benjamin Netanyahu terus berkuasa.
Perdana Menteri Netanyahu berjaya memegang tampuk pemerintahan negara sebanyak tiga penggal sejak 1996. Beliau sebenarnya tidak berminat kepada proses damai, walaupun menawarkan beberapa pelan damai sebelum ini.
Pelan Damai terakhir ditawarkan adalah ketika pentadbiran Presiden Donald Trump. Keikhlasan pelan damai pentadbiran Trump pada Januari 2020 tidak membawa apa-apa makna kepada Palestin kerana kedaulatan mereka masih dikuasai rejim Zionis.
Oleh itu, Israel memerlukan pemimpin politik seperti Yitzhak Rabin atau Shimon Perez dilihat lebih komited kepada proses damai jangka panjang. Namun, pemimpin seperti ini tidak disukai golongan ultra-nasionalis, mahupun radikal ortodoks.
Pembunuhan Rabin oleh golongan Yahudi radikal ortodoks, misalnya menunjukkan nyawa pemimpin politik Israel berupaya membawa damai antara Palestin dan Israel akan menjadi buruan golongan fanatik Yahudi.
Dua kumpulan utama Palestin - Hamas dan Fatah pula harus menyelesaikan perbezaan politik mereka. Sehingga kini tiada perdamaian politik antara mereka. Kedua-duanya gagal membentuk kerajaan perpaduan bagi memastikan strategi politik Palestin boleh diperkuatkan.
Israel dan kuasa besar serantau lain juga mengeruhkan lagi hubungan politik antara dua kumpulan berpengaruh ini. Fatah terus mendapat dukungan kuasa Barat, manakala Hamas mendapat sokongan kewangan dan politik daripada Iran.
Keputusan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas untuk menangguhkan pilihan raya legislatif mendapat tentangan kuat daripada pemimpin Hamas. Ini menyebabkan Hamas memboikot pilihan raya tempatan 2021-2022.
Sokongan masyarakat antarabangsa
Di samping itu, jalan ke arah keamanan ini juga mesti disokong masyarakat antarabangsa, terutama kuasa besar yang sebelum ini bukan sahaja bertanggung jawab, malah dalang terhadap apa yang berlaku.
Setakat ini sokongan itu masih berat sebelah kepada rejim Zionis dianggap sebagai mangsa kepada konflik. AS, tidak kira di bawah pentadbiran Republikan, mahupun Demokrat, akan terus dijerat pelobi Israel bukan sahaja mempunyai pengaruh besar dalam politik AS, tetapi juga turut membiayai sebahagian besar kempen pilihan raya Kongres dan Presiden negara itu.
Ketika ini, masyarakat antarabangsa, terutama media massa Barat tidak berminat melakukan liputan mengenai siri serangan kejam rejim Zionis. Tumpuan lebih berfokus kepada Perang Ukraine yang sehingga kini meragut hampir 7,000 nyawa.
Media berpengaruh antarabangsa seperti memberi liputan besar kepada Ukraine kerana ia satu tragedi Eropah yang memalukan. Perang ini boleh mencetuskan perang dunia ketiga jika sekutu Barat Kiev mengambil langkah sumbang diplomatik yang boleh menimbulkan kemarahan Moscow.
Tumpuan keterlaluan media barat terhadap Perang Ukraine menjadikan kekejaman Israel dan konflik Palestin sebagai berita picisan mereka. Kurang liputan media Barat terhadap konflik semasa di Palestin sebenar memberi ruang kepada pentadbiran Netanyahu untuk terus melakukan siri kekejaman di wilayah dicerobohi Israel.
Akhir sekali, dunia Islam, termasuk Malaysia harus memainkan peranan lebih proaktif dalam penyelesaian konflik ini. Malangnya, sokongan diplomatik dunia Islam terhadap penyelesaian kekal di Palestin semakin berkurang. Ini dapat dilihat dengan semakin meningkatnya bilangan negara Islam mula menjalin hubungan diplomasi dengan Israel.
Malaysia harus menjadi peneraju kepada perjuangan rakyat Palestin supaya ia kekal relevan kepada agenda antarabangsa. Walaupun banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysia begitu aktif membantu rakyat Palestin, kerajaan Malaysia dilihat seperti negara Islam lain, tidak selantang dahulu dalam membangkitkan kesan pencerobohan tentera Zionis terhadap bumi Palestin.
Mungkin suhu politik negara yang semakin stabil boleh memberi ruang kepada Kerajaan Perpaduan sekarang untuk lebih aktif memperjuangkan isu selama ini menjadi agenda utama dasar luarnya sebelum ini.
Ketua Kluster Hal Ehwal Antarabangsa, MajlisProfesor Negara (MPN)