Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, berdasarkan pengamatan dan tinjauan rambang, hampir semua parti politik yang bertanding berkempen menggunakan pelbagai strategi, terutama media sosial secara besar-besaran yang sekali pandang sudah tentu menelan kos tinggi.
Beberapa parti politik dilihat berkempen secara 'mewah', sama ada melalui media massa, media sosial dan juga kempen bersemuka, membabitkan dana besar, sedangkan sumber kewangan sesebuah parti politik tidak selaras jumlah ahli parti dan ia boleh dipertikaikan.
Persoalan yang timbul, daripada mana parti politik mendapat sumber kewangan untuk membiayai kempen pilihan raya? Pihak mana menyumbang dana atau 'sedekah' bagi menjayakan kempen berkenaan? Siapa atau pihak mana memantau pendanaan sesebuah parti politik?
Seperti PRU sebelumnya, selepas berakhir tempoh kempen, kini timbul saling menuduh mengenai dana politik semua parti sama ada di pihak pemerintah atau pembangkang. Persoalannya kenapa sumber dana politik disalurkan kepada politik tidak diabsahkan dalam undang-undang?
Sebelum ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pernah mencadangkan kerajaan atau semua pihak menyokong pindaan perundangan dicadangkan pihak Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Mencegah Rasuah berhubung kaedah penyaluran dana politik.
Untuk rekod, kerajaan sebelum ini pernah mengemukakan isu pendanaan politik sejak Februari 2009, supaya inisiatif baharu membanteras rasuah bagi mengawal pembiayaan politik dan menyiasat penyalahgunaan dana dibawa ke Parlimen.
Namun, sehingga kini semua parti politik ternyata 'belum bersedia' dan tidak memberi persetujuan muktamad. Walaupun SPRM terus berusaha meminta semua pihak menyokong pindaan itu bagi meningkatkan ketelusan dana politik, namun tidak dipersetujui hampir semua parti politik.
Sebelum ini, kerajaan pernah mencadangkan untuk mengkaji keperluan mewujudkan akta baharu untuk mewajibkan parti politik mengisytiharkan sumber dana masing-masing supaya ketelusan dapat diwujudkan.
Kajian itu bagi memperhalusi setiap keperluan mewujudkan akta baharu itu atau mencadangkan pindaan kepada akta sedia ada di beberapa agensi kerajaan terbabit dalam penyeliaan parti politik.
Maka, sepatutnya pembiayaan politik pada peringkat pusat mahupun negeri perlu disalurkan terus ke akaun parti dan bukan berdasarkan akaun pemimpin bagi meningkatkan ketelusan serta keyakinan rakyat terhadap pertubuhan politik.
Sebenarnya, beberapa akta berpotensi untuk mengatasi isu dana politik antaranya Akta SPRM, Akta Suruhanjaya Pilihan Raya, Akta Pendaftar Pertubuhan dan Akta Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Kegiatan Haram.
Contohi kaedah pendanaan negara luar
Beberapa negara mempunyai kaedah pendanaan tersendiri yang mungkin boleh diadaptasi dalam penggubalan dana politik di Malaysia. United Kingdom (UK) tidak mempunyai kewangan awam secara besar-besaran kepada semua parti, selain geran pembangunan dasar dan di Parlimen Scotland.
Parti pembangkang di kedua-dua dewan Parlimen Westminster layak mendapat peruntukan khas untuk membantu menampung kos mereka. Namun, pendanaan tidak langsung 'dalam bentuk barangan' termasuk penghantaran komunikasi pilihan raya Mel Diraja adalah percuma, begitu juga penggunaan bangunan awam ketika berkempen.
Pada peringkat persekutuan Amerika Syarikat (AS), pendanaan awam terhad dan terbatas hanya bagi pilihan raya presiden, termasuk proses pemilihan calon presiden parti. Sesetengah program kewangan awam juga wujud pada peringkat negeri dan tempatan.
Dana diperoleh daripada sistem $3 tax check-off. Melalui proses ini, pembayar cukai individu boleh memberikan keizinan dalam borang taksiran supaya AS$3 daripada cukai mereka bayar itu disalurkan kepada dana pemilihan presiden.
Di Australia pula, dana pada peringkat komanwel (persekutuan) ditadbir Suruhanjaya Pilihan Raya Australia (AEC), tetapi parti utama masih bergantung kepada sumber swasta/persendirian bagi separuh daripada pendanaan mereka.
Pendanaan juga wujud pada peringkat negeri/wilayah bagi Queensland, Victoria dan Wilayah Ibu Negara Australia. Melalui dana ini, sekurang-kurangnya 95 peratus daripada bayaran akan dibiayai dalam masa empat minggu selepas pilihan raya.
Rasuah politik dan politik wang memberikan memudaratkan kedaulatan bangsa dan negara. Politik wang sering diperkatakan menjadi titik permulaan kitaran jahat dan dahsyat rasuah dalam sebuah masyarakat.
Sumber kewangan kukuh amat perlu bagi parti politik dan calon berfungsi dengan berkesan dalam sistem demokrasi moden. Namun, sumber wang dan dana tidak telus boleh menimbulkan risiko rasuah serius terhadap kualiti kerajaan serta demokrasi.
Masalah timbul apabila organisasi mempunyai agenda menyediakan dana rahsia besar kepada parti politik atau calon dan kemudian mengharapkan sesuatu sebagai balasan.
Kerosakan berpunca daripada rasuah politik, termasuk bertolak ansur atau berkompromi dalam isu kualiti kepemimpinan dan mewujudkan persaingan tidak adil dalam kalangan parti dengan memihak calon mempunyai akses kepada sumber lebih banyak. Akibatnya, hak untuk terbabit sepenuhnya dalam masyarakat dinafikan.
Budaya politik wang juga mengancam prinsip kesamarataan dengan membenarkan mereka yang memegang kuasa ekonomi untuk menikmati pengaruh politik lebih besar dan melencongkan sumber awam kepada peribadi.
Selain menyebabkan ketirisan dalam dana pembangunan Persekutuan yang menghalang daripada sampai ke peringkat akar umbi. Ini meningkatkan ketidaksamarataan pendapatan.
Rasuah politik juga mampu mengurangkan keupayaan pentadbiran negeri serta menggugat tonggak pembangunan, hak asasi manusia individu dan rangka undang-undang dihasratkan untuk melindungi mereka.
Maka sudah sampai masa kerajaan MADANI bertindak cepat bagi menghentikan kerosakan yang boleh berlaku kepada negara disebabkan rasuah politik. Ini selaras dengan wadah perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terkenal dengan usaha membanteras rasuah dan mahukan ketelusan serta integriti.
Sudah sampai masanya persoalan dana politik digubal dan dibentuk sebagai akta pendanaan sah parti politik di Malaysia. Sewajarnya semua parti politik menyokong usaha SPRM memperjuangkan supaya sumber kewangan kepada mana-mana parti politik dibuat secara sah.
Profesor di Pusat Pengajian Komunikasi dan Media, Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik dan Media, Universiti Teknologi MARA