KEPUTUSAN Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada Jumaat lalu memecat dan menggantung keahlian pemimpin 'ikonik' serta ahli kerana didapati melanggar disiplin parti sebenarnya sudah dijangka.
Kini, apa yang menjadi perbincangan seterusnya adalah kesan rantaian yang berlaku selepas gerakan 'pembersihan' parti. Peristiwa pembersihan ini juga dianggap sebagai detik hitam kedua bagi UMNO.
Sebelum ini bukan tidak pernah berlaku detik hitam atas nama 'pembersihan' dalam UMNO. Pembersihan parti pernah berlaku dalam UMNO apabila dilanda krisis dalaman pada 1987-1988.
Pada 1987 UMNO terbelah dua apabila Team A dan Team B diwujudkan menjelang pemilihan parti, khasnya bagi merebut jawatan Presiden antara Tengku Razaleigh Hamzah dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Rentetan daripada persaingan ini membawa kepada peristiwa UMNO diisytiharkan sebagai pertubuhan haram oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 4 Februari, 1988.
Pengharaman ini terjadi apabila sekumpulan ahli UMNO dikenali Kumpulan 11 dan memihak kepada Tengku Razaleigh, mengambil tindakan undang-undang mencabar keputusan pemilihan parti berlangsung pada 24 April 1987.
Daripada perbicaraan itu, isu cawangan hantu iaitu cawangan tidak berdaftar dibangkitkan menyebabkan UMNO akhirnya diharamkan.
UMNO 'baharu' kemudian didaftarkan dan operasi pembersihan dilakukan kepemimpinan dengan hanya menerima ahli menyokong kepemimpinan Dr Mahathir. Tengku Razaleigh dan penyokongnya kemudian menubuhkan Parti Semangat 46.
Dalam konteks keputusan MKT baru-baru ini, tindakan 'pembersihan' UMNO ini lebih dilihat sebagai usaha melenyapkan saingan politik kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ia susulan UMNO akan memulakan proses pemilihan parti bermula 18 Februari ini dan kemuncaknya pada 18 Mac depan iaitu pemilihan jawatan MKT.
Namun, tindakan MKT UMNO pada Jumaat lalu bukan tidak bersebab, sebaliknya bersandarkan kepada tindak-tanduk pemimpin yang dihukum, secara terang-terangan membuat tuduhan dan kenyataan mengguris hati kepemimpinan tertinggi sehingga menimbulkan persepsi negatif kepada ahli dan khalayak umum.
Pemecatan dan penggantungan ini tidak menghairankan dalam organisasi politik, terutama UMNO yang sudah berakar di negara ini. UMNO memiliki peraturan dan undang-undang terpakai kepada ahli untuk dipatuhi dan dihormati.
Kenyataan merugikan parti
Kenyataan dikeluarkan pemimpin ternama dilihat merugikan parti, terutama ia berlaku ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). Ia dianggap sebagai perlakuan tidak boleh dimaafkan kerana mereka berada dalam situasi perang menentukan hidup mati parti.
Mana-mana parti politik pasti mengambil tindakan tegas ke atas ahli apatah pemimpin utama yang sengaja membuka pekung di dada ketika peperangan sedang berlaku.
Bagaimanapun, pembersihan ini mengukuhkan budaya tradisi UMNO, iaitu kesetiaan kepada ketua berkuasa berasaskan politik naungan. Politik naungan berasaskan tradisi feudal sangat menekankan kesetiaan tidak berbelah bahagi terhadap sebarang keputusan ketua.
Mempertikaikan keputusan ketua dianggap sebagai penentangan, menjadi ancaman dan musuh. Di sini, politik naungan adalah masalah terbesar dalam politik dan identiti Melayu.
Pada hari ini, UMNO dan semua parti memasuki zaman milenium dikenali zaman Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) atau internet benda (IOT), menyebabkan ahli terdedah dengan idea dan maklumat luas dalam media baharu lebih.
Namun, usaha meremajakan UMNO kelihatannya masih seperti 'manis di bibir' dan penyingkiran tokoh serta pemimpin berkaliber dan dianggap mewakili generasi baharu ini mungkin memudarkan harapan untuk parti menarik sokongan generasi muda, terutama bagi meneruskan kelangsungan perjuangannya.
Sehubungan itu, UMNO dari segi jangka panjang akan menerima kesan negatif apabila lebih ramai generasi muda memilih parti lain dilihat lebih bersifat terbuka dan mengamalkan demokrasi.
Mereka sudah membuat pemilihan itu apabila ramai anak muda memilih Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN) pada PRU15.
Jika keadaan ini berterusan, kepemimpinan tertinggi UMNO akan menerima kesannya. Penyuburan aspek demokrasi dengan membuka pemilihan daripada setiap lapisan kepemimpinan dilihat sebagai jalan mampu mengukuhkan parti.
Ia bermaksud apabila pemimpinnya dapat menonjolkan dan menarik sejumlah sokongan padu daripada ahli dan perwakilan dengan sendirinya ia akan mengukuhkan kepemimpinannya dalam parti.
UMNO perlu reformasi sistem
Justeru, UMNO sebenarnya sangat memerlukan reformasi sistem, institusi dan imej jika ingin hidup 70 tahun lagi. Dengan mengadakan pemilihan serentak seluruh negara pada hari sama 18 Mac depan, ia satu langkah permulaan bagi mengurangkan politiking dan adu domba.
Namun, perkembangan terbaru ini seperti memaparkan masih jauh untuk UMNO merekayasa sistem dan imejnya untuk menghampiri PKR atau DAP dalam hal ini.
Keupayaan UMNO-BN untuk kembali kepada imej sederhana dan progresif tanpa mengabaikan akar agama dan budaya Melayu akan menentukan sama ada gelora dalam UMNO ini dapat diredakan dan rakyat kembali menyokong mereka.
Bagi mengukuhkan usaha UMNO untuk kekal berpegang dengan akar agama dan budaya, UMNO kini menubuhkan Majlis Ulama UMNO sebagai suatu reformasi institusi.
Ini satu tindakan bijak dan tentu membawa cabaran baharu kepada PAS dan juga meningkatkan kredibiliti UMNO sebagai parti Melayu Islam sederhana.
Namun, ini memerlukan tekad politik tinggi kerana imej UMNO turut terpalit dengan pelbagai kemelut integriti dan etika.
Pemimpin UMNO dalam Kerajaan Perpaduan juga harus menunjukkan mereka bersih daripada salah laku, komited kepada agenda rakyat dan menjadi parti dan individu yang 'berubah'.