Sabtu, 28 Januari 2023 | 2:27pm

Tambah baik dasar pekerjaan elak risiko 'pengangguran teknologi'

SEPANJANG sejarah revolusi perindustrian, berlaku banyak lonjakan kemahiran ketara sebagai tindak balas kepada perkembangan pesat teknologi. Secara amnya, revolusi perindustrian mencetuskan peningkatan keperluan tenaga buruh berkemahiran tinggi dan berpengetahuan.

Di beberapa negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS), pertumbuhan keperluan kepada pekerjaan berasaskan sains maklumat dan teknologi berkomputer dilihat berlaku dengan mendadak, manakala jumlah pekerjaan berkemahiran rendah didapati semakin menurun.

Dewasa ini, dunia sedang menyaksikan peningkatan aplikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI), digunakan dalam banyak sektor pekerjaan dan ia sedang berlaku, sama ada disedari atau tidak.

Perbahasan mengenai aplikasi ChatGPT misalnya menyerlahkan realiti dunia kini sedang beralih dengan pantas ke era pendigitalan. ChatGPT adalah chatbot berasaskan AI dikembangkan OpenAI.

ChatGPT dilihat sebagai satu bentuk teknologi penggugat yang akan mengubah cara kerja berkaitan penulisan artikel dan penyediaan laporan.

Malah, tidak mustahil sekiranya aplikasi chatbot seperti ChatGPT dibangunkan OpenAI dan Claude dibangunkan Anthropic mempunyai kapasiti lebih maju, mampu mengeluarkan pandangan hukum fiqh berdasarkan rujukan kepada kitab fiqh atau penghakiman undang-undang berdasarkan rujukan kepada rekod penghakiman.

Kesan ketara sektor pekerjaan

Pada waktu ini, kita mungkin belum dapat melihat kesan ketara penggunaan AI ke atas sektor pekerjaan. Namun, bukan satu perkara di luar logik akal untuk menjangkakan pekerja manusia perlu membangunkan dan menguasai kemahiran aras tinggi disebabkan persaingan dengan perkembangan pesat aplikasi teknologi khususnya berasaskan AI, automasi dan robot.

Hakikatnya, kebimbangan pekerja manusia akan kehilangan pekerjaan dan diambil alih AI, automasi dan robot bukan tidak berasas. Perkara yang pasti ialah teknologi bakal memberikan impak besar kepada masa hadapan bidang pekerjaan.

Menurut dapatan kajian di United Kingdom (UK), sebanyak 7.4 peratus pekerja berhadapan risiko tinggi digantikan AI, automasi dan robot. Penggunaan teknologi canggih ini menyebabkan sesetengah bentuk pekerjaan hanya memerlukan input pekerja manusia minimum.

Sesetengah pengkaji menggunakan istilah 'pekerja digital' bagi merujuk kepada pekerjaan berasaskan AI, automasi dan robot diprogramkan untuk menjalankan bentuk pekerjaan tertentu. Secara idealnya, pekerja digital diprogramkan mampu membantu manusia mencapai satu-satu sasaran pekerjaan ditetapkan dengan lebih cekap dan mampan.

Perkembangan teknologi pesat menyaksikan perkara ini berlaku dalam beberapa sektor pekerjaan seperti perakaunan, perkeranian dan penulisan. Pekerja digital mampu menyelaraskan kerja mengikut prosedur diprogramkan dan dalam keadaan ini, pekerja manusia mempunyai ruang untuk memberikan tumpuan kepada tugasan lain.

Manfaat utama diperoleh majikan ialah peningkatan produktiviti dan penurunan kos buruh. Pekerja digital (mesin) yang berasaskan AI, automasi dan robot tidak perlu berehat dan boleh digunakan untuk bekerja sepanjang masa. Pada waktu sama, pekerja digital lebih cekap, cepat, selamat dan tidak terdedah kepada unsur kecuaian.

Bagaimanapun, manfaat diperoleh majikan ini boleh memberikan impak negatif kepada 'pekerja hidup', apatah lagi jika ia menyebabkan kehilangan pekerjaan. Dengan kata lain, wujud risiko 'pengangguran teknologi', iaitu pekerjaan manusia diganti teknologi.

Risiko pengangguran teknologi ini memerlukan masa hadapan pekerja manusia dan tempat kerja difikirkan dengan teliti. Antaranya termasuklah halangan perlu diatasi disebabkan tidak semua pihak akan beroleh manfaat daripada trend pekerja digital.

Selain itu, dasar pekerjaan sedia ada perlu dilihat semula untuk menangani perkembangan pekerja digital ini dengan memastikan pengangguran teknologi tidak menjadi masalah besar pada masa akan datang.

Pekerja juga perlu membangunkan kemahiran diperlukan untuk beralih kepada pekerjaan berkemahiran aras tinggi berasaskan pengetahuan bagi menyediakan diri ke arah era pekerja digital.

Dalam konteks Malaysia, Dasar Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) Kebangsaan meletakkan sasaran untuk transformasi 20 peratus pekerjaan berkemahiran rendah dan sederhana kepada pekerjaan berkemahiran tinggi, berperanan dalam industri berkaitan dengan IR 4.0. Usaha ini perlu dilakukan dengan tersusun dan serius sebagai langkah mengatasi ancaman pengangguran teknologi.

Ambil iktibar sejarah

Sememangnya arus perubahan dibawa teknologi berasaskan AI, automasi dan robot dilihat memberikan ancaman kepada pekerjaan masa hadapan. Bagi umat Islam, seharusnya kita mengambil iktibar daripada sejarah.

Suatu masa dahulu, umat Islam memperkenalkan pelbagai bentuk teknologi dan inovasi membawa kepada perubahan dalam pelbagai sektor pekerjaan seperti pertanian dan pembinaan.

Misalnya, alat boleh bergerak sendiri atau dalam bahasa Arab, 'al-alat al-mutaharrikah bi dhatiha', dicipta orang Islam untuk membantu kerja pembinaan. Inovasi teknologi seperti ini melonjakkan tamadun Islam ke satu aras kemajuan belum pernah disaksikan dalam sejarah peradaban manusia.

Apabila kita melangkah masuk ke dalam era digital hari ini, sewajarnya umat Islam mempunyai kesedaran tinggi untuk kembali menguasai ilmu pengetahuan dan menjadi pembangun teknologi. Hal ini penting bagi memastikan umat Islam tidak semata-mata menjadi pengguna teknologi, sebaliknya mampu membangunkan teknologi memberikan manfaat kepada kehidupan di dunia ini.

Pendigitalan yang berlaku dalam sektor pekerjaan menuntut umat Islam khususnya dan rakyat Malaysia amnya mempertingkatkan diri menjadi individu berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.

Sekiranya perkara ini gagal dilaksanakan, maka kita akan terus ketinggalan dan berhadapan dengan senario pengangguran teknologi yang parah.

Penulis adalah Pengarah, Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X