KISAH Khalifah Kedua, Sayidina Umar al-Khattab RA berkunjung ke rumah Gabenor Syam yang juga Sahabat Nabi SAW, Abu Ubaidah al-Jarrah RA sesuai dipadankan dengan ucapan mutakhir Perdana Menteri yang menyebut kepentingan pengisytiharan harta secara telus, bukan sandiwara ahli politik terutama Ahli Parlimen dan anggota Kabinet.
Ucapan ini menjadi isyarat idealisme Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya Malaysia ke arah bebas rasuah dan salah guna kuasa serta mahukan budaya politik berintegriti dan bertanggungjawab, tetapi beliau perlu menekan butang reset Malaysia.
Ini peluang terbaik mengangkat semula martabat ahli politik Malaysia terjejas teruk supaya lebih telus dan berintegriti. Parlimen perlu menggubal segera undang-undang mewajibkan semua anggota pentadbiran dan Ahli Parlimen mengisytiharkan harta.
Ia mesti memandatorikan semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berbuat demikian dipilih, manakala pihak berwajib perlu memantau pemilikan harta itu secara berkala.
Menerusi undang-undang itu, pihak berwajib dibolehkan menyemak, memantau dan mengambil tindakan penguatkuasaan jika sengaja tidak mahu membuat pengisytiharan harta, termasuk apabila memperoleh harta bernilai tinggi tidak sepadan pendapatan semasa dalam tempoh pelantikan.
Justeru, tindakan punitif juga boleh diambil jika mereka memperoleh harta tidak sepadan pendapatan rasmi dan gagal memberi penerangan munasabah. Undang-undang ini pasti menjadikan Ahli Parlimen dan ADUN sebagai pemimpin bersih, bertanggungjawab serta lebih dihormati.
Ahli politik perlu menjadi kumpulan bukan sahaja membuat undang-undang, bahkan menentukan apa digubal tidak memberi ruang kepada rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Tanpa undang-undang bersifat punitif dan pencegahan, peraturan pentadbiran tidak akan dapat menghalang perbuatan rasuah.
Pada masa sama, setiap anggota Kabinet juga perlu diwajibkan menghadiri kursus pengurusan kerajaan untuk memastikan etika dan integriti dalam pengendalian pentadbiran, terutama berkaitan pengurusan tender.
Antara elemen penting perlu didedahkan kepada menteri, timbalan menteri serta pegawai kanan seperti setiausaha politik ialah kes rasuah berprofil tinggi yang masih menyelubungi pentadbiran seperti kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.
Mantapkan etika, integriti
Kursus integriti berkala bukan perkara remeh, sebaliknya penting memastikan kelancaran tadbir urus serta mengenal pasti tindakan boleh mencetuskan salah laku rasuah dan penyelewengan.
Tiada apa yang salah untuk anggota Kabinet menyertai kursus berkala pemantapan etika dan integriti kerana kerajaan mesti memulakan proses pendidikan terhadap mengenai kesan dan bahaya rasuah kepada negara, termasuk menunjukkan kajian kes lalu memberi kesan kepada ekonomi, rakyat dan imej negara.
Kerajaan Perpaduan kelihatan sering mempromosikan tadbir urus baik terutama berkaitan penjimatan kos, keadaan ekonomi dunia dan cara perbelanjaan terbaik. Usaha PM membanteras campur tangan ahli politik, termasuk menteri dan timbalan menteri dalam urusan perolehan dan tender kerajaan amat disokong.
Pada akhir kursus, setiap anggota Kabinet perlu membuat tiga ikrar, iaitu ikrar pengisytiharan harta disahkan Lembaga Hasil Dalam Negara (LHDN), ikrar kepentingan peribadi dan bebas rasuah.
Diakui peraturan dalam kerajaan cukup lengkap memastikan salah guna kuasa tidak berlaku, mengawal ketirisan dan salah guna kuasa, tetapi masih ramai melanggar atau tidak mengendahkannya.
Masih banyak 'lubang tikus' dimanipulasi pihak tertentu untuk mendapat keuntungan. Laluan utama ketirisan ialah surat sokongan diberikan ahli politik kepada kroni tertentu.
Surat sokongan menjadi punca ketirisan apabila mereka menuntut membalas budi terhadap bantuan diberikan syarikat atau pihak tertentu dalam karier politik. Itulah sebab ada syarikat tidak menepati kelayakan pemilihan tender, tetapi memperolehnya berbanding syarikat mempunyai kelebihan modal serta kepakaran,
Terdapat banyak kesan positif peraturan pengisytiharan harta anggota Kabinet. Mereka perlu memberi justifikasi kepada pendapatan berlebihan, terpulang kepada rakyat menerimanya atau tidak.
Kerajaan juga disaran memperkenalkan kempen khas untuk memperkasa usaha Malaysia mencapai Indeks Persepsi Rasuah (CPI) terbaik dunia menjelang 2030.
Sebagai permulaan, semua ahli Kabinet bukan hanya perlu mengisytiharkan harta kepada Perdana Menteri, bahkan masyarakat awam melalui portal bebas, termasuk pegawai berkhidmat kepada menteri atau lantikan politik.
Konsep Masyarakat Madani boleh diangkat menjadi teras utama kempen ini. Terdapat banyak pengajaran daripada sejarah Islam boleh dicontohi seperti kisah Sayidina Umar al-Khatab melawat rumah Abu Ubaidah Al-Jarrah yang juga Gabenor Syam.
Umar menitiskan air mata melihat gaya hidup Abu Ubaidah yang zuhud, sedangkan beliau sangat berkuasa sebagai gabenor kerana rumahnya kecil sahaja dan tiada apa-apa pun di dalamnya.
Namun, sebagai pemimpin, Umar tidak mengecualikan sesiapa pun daripada peraturan dan sistem tadbir urus diamalkan di bawah pentadbirannya, termasuk Abu Ubaidah sendiri sedangkan Umar tahu sahabat Nabi SAW itu sudah dijamin syurga dan digelar Baginda sebagai 'Amin' atau orang beramanah.
Jelas, amalan pengisytiharan harta oleh kakitangan awam bukan baharu atau amalan komunis seperti didakwa sesetengah pihak, sebaliknya ia kaedah tadbir urus dilaksanakan di bawah pentadbiran Umar al-Khatab lagi.
Soalnya, mengapakah rasuah masih terus berlaku meskipun pelbagai langkah diambil?
Mungkin kaedah pengisytiharan harta oleh pegawai kerajaan dan menteri tidak cukup kuat untuk membendung amalan rasuah semakin menjadi-jadi. Mengapa tidak kaedah tadbir urus pentadbiran Umar ditiru dengan membuat pemeriksaan ke semua rumah pegawai dan menteri kita?
Tidak sukar Perdana Menteri mengenal mereka. Hanya perlu pergi ke rumah mereka dan lihatlah gaya hidup. Selepas itu teliti pula pasport mereka termasuk keluarga dan kita akan dapat petunjuk bahawa mereka kerap melancong ke luar negara atau tidak.
Namun, sudah tentu sumber kewangan mereka perlu disiasat dahulu kerana mungkin hasil daripada pendapatan perniagaan mereka sebelum ini.
Hakikatnya, ketika berkuasa inilah, sifat amanah dan jujur akan diuji. Malah, kegagalan memaklumkan punca perolehan harta boleh disimpulkan sebagai petanda jelas terbabit dengan rasuah.
Penulis adalah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW)
Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH