Ancaman penggodam menjadi antara isu keselamatan dalaman kritikal perlu ditangani sepenuhnya sesebuah kerajaan ketika proses digitalisasi semakin meresap dalam kehidupan manusia, pentadbiran dan pemerintahan.
Baru-baru ini, Malaysia dan beberapa negara di rantau ini menjadi sasaran penggodam dikenali sebagai Dark Pink yang menjadi maklumat sensitif kerajaan dan ketenteraan sebagai sasaran utama mereka.
Kumpulan Dark Pink ini dikatakan beroperasi di sebuah negara rantau Asia, menggunakan perisian hasad atau malware ciptaan sendiri untuk menyusup ke dalam platform sasaran di beberapa negara Asia Tenggara dan Eropah.
Laporan aktiviti Dark Pink ini mendedahkan fungsi alat dan kaedah digunakan kumpulan penggodam ini menggunakan teknologi canggih bertaraf tinggi, jarang dilihat dari segi taktik serta teknik.
Kumpulan Dark Pink ini yang juga sebahagian kumpulan penggodam besar giat merancang melumpuhkan sistem pertahanan siber negara asing serta cuba mendapatkan maklumat sulit untuk kepentingan geopolitik dan geostrategik negara lain dengan pihak berkepentingan lain.
Menurut laporan Insikt Group, iaitu unit penyelidikan ancaman di bawah Recorded Future yang juga antara syarikat keselamatan siber terbesar dunia, pelbagai entiti penggodam lain termasuk beroperasi di bawah arahan dan pengaruh rejim negara lain turut aktif menjadikan Malaysia dan negara jiran lain sebagai sasaran.
Objektif operasi ini merangkumi pelbagai sasaran berkepentingan termasuk memenuhi agenda tersirat untuk mengenal pasti kelemahan dan kepincangan operasi agensi negara sasaran.
Kumpulan penggodam dan siber lain ini juga menembusi sistem pertahanan digital banyak negara lain termasuk Turki, Kazakhstan, India dan Thailand.
Firma keselamatan digital ternama lain seperti FireEye dan Cybereason memberi amaran mengenai tahap kritikal taktik dan strategi digunakan kumpulan perisik serta penggodam ini amat tersusun, disokong sumber dan kepakaran tinggi daripada negara dan rejim tertentu.
Apa yang berlaku ini mencerminkan betapa penting dan kritikalnya tindakan perlu dilakukan bagi menghadapi ancaman keselamatan bukan tradisional.
Ia akan memberikan kesan mendalam kepada perancangan kerajaan terhadap ancaman konvensional berasaskan sumber ancaman negara luar sebagai pelaku utama.
Taktik lain seperti penyusupan peranti, penyamar dan perisik serta percubaan 'membeli' pengaruh atau kuasa juga perlu diberikan perhatian menyeluruh. Kaedah ini kerap diguna pakai negara asing bagi mencapai agenda dan hasrat kepentingan negara itu dalam aspek politik, ekonomi, sosial dan keselamatan.
Namun, kita wajib untuk terus mengekalkan ketersediaan rapi dan holistik serta kekal utuh dan kental dalam pegangan prinsip untuk terus melindungi kepentingan utama negara.
Kombinasi kecanggihan digital
Negara berniat campur tangan urusan dalaman dan luaran negara lain ini turut menggunakan kombinasi kecanggihan digital bersama 'perkakas' lain seperti ekonomi, ugutan, paksaan, kuasa dominasi serta mempamerkan kekuasaan tentera bagi memberi ancaman kepada kedaulatan negara sasaran pada masa kini dan akan datang.
Impak berterusan kepada industri perniagaan, teknologi dan ekonomi juga akan memberikan kesan mudarat kepada pembangunan sektor kritikal negara sasaran.
Pada era ini, ancaman baharu tertumpu kepada bidang ekonomi hijau dan digital, sumber tenaga diperbaharui serta teknologi semikonduktor dan cip yang kekal menjadi medan persaingan antara Amerika Syarikat (AS) dengan China.
Bidang lain yang menjadi sasaran termasuk sumber nadir bumi, sekali gus menuntut kapasiti strategik sesuatu negara termasuk Malaysia untuk lebih proaktif dan tuntas bagi melindungi semua aset serta sumber dapat memberikan pulangan positif kepada keselamatan negara.
Kaedah pertahanan menyeluruh atau total, merangkumi integrasi sumber dan kepakaran secara pendekatan holistik masyarakat mampu menyuntik keseragaman dan gabungan aset serta kapasiti sedia ada untuk mendepani cabaran penggodam atau serangan siber.
Namun, sehingga kini, kesedaran awam banyak tertumpu kepada jenayah komersial digital, seperti aktiviti 'scam' dan penipuan wang. Kesedaran terhadap impak ancaman keselamatan bukan tradisional terutama ancaman digital terhadap aset kritikal negara dan spektrum ketenteraan serta pertahanan dilihat masih rendah.
Justeru, sinergi bersepadu, bersistematik dan bersepakat meliputi kepakaran serta aset daripada pelbagai lapisan dan peringkat agensi kerajaan amat diperlukan bagi membolehkan negara menangani ancaman baharu masa depan.
Kebelakangan ini, masyarakat semakin terdedah dengan pelbagai tindakan bersama polis serta agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) bagi menangani jenayah digital komersial, maka usaha meningkatkan kefahaman masyarakat untuk menjaga keselamatan dan pertahanan negara perlu dipertingkat lagi.
Inisiatif negara mempromosi gagasan baharu memacu ekonomi digital melalui pelbagai usaha strategik untuk melonjak negara ke arah wawasan pembangunan digital dan keselamatan siber di rantau ini, akan membuka ruang untuk anjakan digital secara holisitik, namun ia turut terdedah kepada ancaman penggodam.
Maka, usaha dan kerjasama bersepadu merentasi agensi, wadah, skop dan peringkat perlu diperkasa, merangkumi sinergi dan pakatan kepakaran serta sumber bagi memutus rantaian ancaman penggodam ini.
Penulis adalah Penolong Pendaftar Universiti Malaya (UM)