Jumaat, 13 Januari 2023 | 1:10pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

Kewibawaan Anwar mula teruji pimpin Pusat, urus kemelut negeri

Sukar untuk menafikan, Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 membawa perubahan baharu dalam arus politik perdana Malaysia, manakala PRU15 pemangkin kepada teguhnya peralihan kuasa politik yang sekian lama mendominasi negara sejak merdeka.

Arus lama yang dimaksudkan ialah suasana politik didominasi hanya satu iaitu UMNO melalui Perikatan dan kemudian bertukar kepada Barisan Nasional (BN), memerintah selama lebih setengah abad sejak 1955 atau ketika pembentukan Persekutuan Tanah Melayu.

Bagaimanapun, dominasi ini terputus pada 2018 kerana parti dan Perikatan yang dominan, kalah pada PRU14, sekali gus muncul corak baharu politik negara, iaitu perikatan parti mendapat sokongan tipis untuk menubuhkan kerajaan.

Pasca PRU15, apa yang berlaku ialah kuasa politik dominan UMNO/BN hilang tetapi pada masa sama wujud tiga blok utama perikatan/ parti yang semua mempunyai peluang untuk memperoleh majoriti bagi menubuhkan kerajaan campuran.

Namun begitu, kuasa pemerintahan masih dan tetap akan berpusat kepada Melayu Semenanjung kerana mereka sahaja mampu mengemudikan kerajaan, berdasarkan jumlah 125 kerusi majoriti Melayu.

Persoalan yang timbul selepas PRU15 ialah, Melayu dari parti mana akan mendapat sokongan padu untuk terus mendapat kuasa majoriti bagi menubuhkan kerajaan sama ada PKR dari PH, UMNO (BN) atau BERSATU (Perikatan Nasional (PN).

PAS dilihat terkeluar daripada perkiraan dan percaturan di atas kerana semua bukan Melayu akan menentang parti itu berasaskan pendirian idae politik akan bertentangan, antara sekular dan keagamaan. Umum tahu inilah faktor menyebabkan PAS tidak akan menjadi pilihan untuk bekerjasama dengan parti sekular lain dalam negara.

Sementara itu, pembentukan parti gabungan menubuhkan kerajaan selepas PRU15 memihak kepada PH-PKR kerana PN bukan pilihan bagi orang bukan Islam memandangkan kehadiran PAS memiliki 49 kerusi Parlimen dalam PN dilihat sebagai kuat dan mampu mempengaruhi arah tuju kerajaan PN.

Justeru PH-PKR menjadi pilihan utama untuk diberi peluang membentuk kerajaan, bukan kerana PN tidak layak disebabkan perikatan itu tidak menang kerusi terbanyak berbanding PH.

Hari ini, kerajaan campuran dinamakan Kerajaan Perpaduan boleh ditegakkan selepas dua 'puak' Melayu Semenanjung bergabung iaitu PKR dalam PH dan UMNO dalam BN, sekali gus memberi kelebihan kerana sokongan ketiga besar datangnya daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), manakala parti selebihnya adalah pelengkap sahaja.

Ada atau tidak ada, majoriti untuk membentuk kerajaan sudah cukup daripada PH, BN dan GPS. Pilihan bergabung dengan UMNO bukan pilihan mudah dan ringan tetapi atas sebab politik praktikal semata-mata.

Selama ini kerajaan Malaysia, sejak zaman Malaya adalah ditubuhkan berdasarkan kepada kerajaan campuran, iaitu pada zaman Parti Perikatan, bertukar kepada BN, PH dan kemudian PN.

Gabungan antara PH, GPS dan GRS serta beberapa parti kecil lain menjadikan Kerajaan Perpaduan sama seperti kerajaan campuran seperti pernah wujud sebelum ini. Perbezaan pembinaan 'Kerajaan Perpaduan' dengan kerajaan Perikatan dan BN sebelum ini ialah bagaimana ia dibentuk.

Layan pelbagai tuntutan

Pada zaman Perikatan dan BN, parti bergabung terlebih dahulu sebelum bertanding pilihan raya. Maka apabila mereka menang, tidak ada masalah dan tiada lagi proses tawar-menawar kerana semua itu sudah diputuskan sebelum bertanding.

Akan tetapi, selepas 2018, apabila tiada parti atau perikatan menang majoriti dengan kekuatan sendiri, maka mencari pasangan dan rakan sekutu menjadi penting supaya kerajaan dapat ditegakkan.

Apa yang membezakan Kerajaan Perpaduan dengan kerajaan terdahulu ialah kedudukan parti utama dalam kerajaan campuran. Dalam kerajaan Perikatan dan BN, parti utama iaitu UMNO mendominasi.

Maka kekuatan itu menjadi 'rotan' untuk menyebat ahli atau komponen cuba membuat 'hal nakal'. Ini berbeza dalam kerajaan campuran selepas 2018 kerana BERSATU dalam kerajaan PN, UMNO dalam kerajaan PN dan PKR dalam kerajaan PH adalah lemah. Maka parti komponen dan 'budak nakal' perlu dilayan dengan lebih halus dan berhikmah.

Sekiranya tidak pandai mengurus mereka, maka kerajaan campuran atau Kerajaan Perpaduan mudah goyah dan goyang. Maka, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa mengimbangi keperluan mentadbir negara dengan pada masa sama melayan pelbagai tuntutan daripada 'budak nakal'.

Dalam tempoh tiga bulan selepas menerajui kerajaan, Anwar dilihat setakat ini berjaya membawa ketenangan dalam gabungan parti dipimpinnya tetapi perjalanan Kerajaan Perpaduan baru bermula.

Namun dengan pengalaman lalu beliau dalam kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) di dalam dan luar negara, ia boleh menjadi pedoman kepada Anwar untuk mengemudi kerajaan campuran yang penuh rencam dan cabaran.

Namun, cabaran menjaga kerajaan campuran amat mencabar kerana pada asasnya ia berbeza di peringkat Persekutuan dan negeri. Misalnya, walaupun Anwar mendapat majoriti kukuh untuk memimpin Pusat di peringkat negeri, beliau dan parti pimpinannya tidak mengemudikan sesetengah negeri seperti Sabah.

Di Sabah, PH bekerjasama dengan PN dan BERSATU manakala di peringkat Persekutuan, PN dan BERSATU adalah seteru PH. Sementara itu, pergolakan politik di Sabah sedikit sebanyak menguji kemampuan Anwar.

Walaupun pergolakan itu dilihat reda, namun ia mungkin tidak lama susulan UMNO Sabah tidak mengiktiraf pelantikan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili parti itu membarisi Kabinet baharu negeri dalam rombakan diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata ia disebabkan UMNO negeri tidak memberikan cadangan untuk dua ADUN terbabit dilantik menganggotai Kabinet pimpinan Hajiji. Bung Moktar turut menyifatkan pelantikan itu membelakangkan nasihat dan cadangan Anwar berhubung penubuhan Kerajaan Perpaduan di Sabah.

Melihat kepada episod baharu di Sabah ini, ia kekal menjadi ujian kepada Anwar bagaimana hendak memastikan kemelut di Negeri Bawah Bayu ini tidak bergolak sehingga terpaksa diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN).

Felo, Akademi Sains Malaysia

Berita Harian X