KEBELAKANGAN ini, banyak rungutan dizahirkan rakyat mengeluh pendapatan boleh guna atau satu keluarga tinggal serumah tidak dapat menampung perbelanjaan kos sara hidup. Ini bererti taraf hidup seseorang dikatakan semakin merosot.
Isu kos sara hidup sebenarnya amat terikat dengan gaji. Namun, peningkatan pendapatan tidak selari dengan kenaikan kos sara hidup menyebabkan masyarakat dibelenggu masalah kewangan.
Ini kerana harga barangan keperluan meningkat setiap tahun, namun jumlah gaji diterima kekal statik. Secara teorinya, peningkatan kos sara hidup akan menyebabkan kuasa beli pengguna berkurangan.
Persoalannya, siapa harus bertanggungjawab menangani isu kos sara hidup? Adakah ia fenomena berlarutan atau dapat dibendung?
Memandangkan kos sara hidup (KSH) ini meliputi perbelanjaan keperluan asas, maka jika terdapat kenaikan kos pengeluaran barang dan perkhidmatan keperluan asas, ia akan menyebabkan kenaikan KSH.
Di sisi lain, kenaikan kos sara hidup yang tidak disertai peningkatan pendapatan individu atau keluarga akan menyebabkan taraf hidup semakin merosot. Keadaan ini amat dirasai ketika pandemik COVID-19 apabila ramai merasai kehilangan punca pendapatan atau potongan gaji.
Subsidi petrol, diesel dan gula yang diturunkan bererti pengeluar berdepan kos pengeluaran meningkat dan secara rasional, pengeluar yang tidak mahu mengalami kerugian akan memindahkan kos ini kepada pengguna, sekali gus mendorong kenaikan KSH.
Sementara itu, pengguna sentiasa disarankan untuk berbelanja secara rasional dan bijak, namun demikian, kenyataannya adalah pengguna banyak dipengaruhi cita rasa, rakan sebaya, status dan gaya hidup.
Justeru, rakyat selaku pengguna perlu bijak berbelanja, mula belajar tidak bermewah dalam perbelanjaan makan minum seharian, bijak membeli barang pada harga murah menerusi kaedah membandingkan harga barang di premis berbeza.
Penstrukturan semula hutang juga penting dengan memohon pilihan pembayaran atau faedah lebih rendah kepada penyedia pinjaman. Pengguna juga boleh mengatur semula perbelanjaan besar seperti kereta dan rumah dengan melanjutkan tempoh pembiayaan.
Antara perkara yang sering terabai adalah dalam aspek penggunaan tenaga elektrik. Pengguna atau rakyat perlu mula berjimat menggunakan peralatan elektrik untuk penjimatan.
Sebaiknya tutup suis peralatan elektrik jika tidak diperlukan apabila keluar rumah seperti pendingin hawa, router WiFi, komputer dan peranti lain. Palam alat elektrik juga perlu dicabut bagi mengelak bil elektrik meningkat tanpa sedar.
Apabila menyedari berdepan kenaikan kos sara hidup, individu biasanya mencari kerja samping, tetapi jika pekerjaan utama dan sampingan mengambil waktu lama, ia hanya mengurangkan masa berkualiti bersama keluarga dan anak-anak.
Bijak cari peluang tambah sumber ekonomi
Pada waktu kos sara hidup meningkat ketara, rakyat wajar berniaga dengan menjual barang tidak gunakan melalui platform digital seperti eBay, Gumtree dan Facebook.
Jualan pakaian, barang elektronik lama, buku, perabot dan kraf boleh memberi sedikit wang tunai untuk simpanan masa depan.
Jika individu mempunyai sedikit lebihan wang simpanan, pelaburan juga boleh menjadi pilihan untuk jaminan masa depan.
Walaupun emas mempunyai nilai tinggi pada masa depan, pembeliannya mungkin boleh ditangguhkan untuk membolehkan wang yang ada dibelanjakan bagi tanggungan harian.
Penggunaan wang tunai atau kad debit perlu diutamakan berbanding penggunaan kad kredit pada waktu suram ini.
Sementara itu, pihak industri perlu lebih telus dan bertanggungjawab dalam menyediakan maklumat kepada kerajaan dan pengguna.
Maklumat rantaian makanan penting untuk memberikan keyakinan bahawa harga ditetapkan adalah harga patut dan menyokong pengeluaran industri tempatan.
Penjual pula perlu sentiasa berinovasi untuk mengurangkan kos pengeluaran dan seterusnya bersaing secara sihat meletakkan harga lebih murah untuk menarik lebih ramai pelanggan.
Untuk memerangi peningkatan KSH, kerajaan boleh menyusun semula sistem cukai supaya lebih progresif ke arah masyarakat berpendapatan tinggi. Kerajaan boleh menyusun semula subsidi diberikan supaya ia dapat dinikmati golongan sasar.
Monopoli lesen adalah salah satu punca harga barang meningkat kerana dimanipulasi penjual.
Jika lesen jualan bahan mentah, mengimport dan pengeluaran barangan dibuka kepada lebih ramai penjual, ini mendorong persaingan sihat antara penjual untuk menurunkan harga, sekali gus memanfaatkan pengguna.
Institusi pengajian tinggi (IPT) mempunyai pelbagai tanggungjawab dari aspek pendidikan, penyelidikan, perundingan dan jaringan pelbagai pihak.
Selain menyebar luas maklumat berkaitan KSH, usaha juga dapat dilaksanakan untuk menghubungkan pelbagai pihak berkepentingan bagi mengkaji strategi pengurangan kos pengeluaran, penemuan dan penggunaan teknologi baharu serta pemahaman rantaian pengeluaran dan kos penyediaan barangan dan perkhidmatan.
Pemahaman ini amat penting supaya rakyat tidak membuat rungutan jika subsidi dikurangkan atau ditarik balik tetapi cuba memahami keperluan pelaksanaannya dan mencari pilihan kaedah jaminan kelangsungan hidup.
Hakikatnya, inflasi melanda ketika ini adalah hasil gabungan pelbagai faktor seperti impak pandemik COVID-19, peningkatan kadar mata wang asing, krisis di Ukraine dan pengurangan subsidi barangan terpilih.
Justeru, pengeluar, institusi perbankan, IPT dan kerajaan harus aktif berkomunikasi dengan rakyat untuk memberikan pemahaman isu KSH dan bagaimana mencari penyelesaiannya.
Malah, pengguna juga mempunyai tanggungjawab penting dalam perkara ini. Pengguna perlu rasional dan bijak membeli serta memakai.
Usah terikut perubahan teknologi dan sentiasa menukar alat telekomunikasi mahal sehingga berhutang. Gunakan kenderaan awam jika lebih murah berbanding membeli kenderaan yang mempunyai susut nilai.
Penulis adalah Ahli Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN)