Tahun 2022 memperlihatkan momentum pemulihan ekonomi negara berterusan meskipun berdepan persekitaran luaran tidak menentu dicetuskan gangguan rantaian bekalan, dasar sifar COVID-19 di China dan konflik geopolitik. Sebagai ekonomi terbuka, Malaysia tidak dapat lari daripada terkesan keadaan luaran yang tidak menentu.
Namun, dengan struktur ekonomi pelbagai, asas yang utuh dan pelaksanaan dasar tepat pada masanya membantu negara mengharunginya, yang mana ekonomi berkembang lebih pantas daripada dijangkakan.
Peralihan kepada fasa endemik dan pembukaan semula sempadan antarabangsa pada 1 April 2022 adalah antara faktor memacu momentum pertumbuhan ekonomi sepanjang 2022.
Selepas mencatatkan pertumbuhan positif 3.6 peratus pada suku keempat 2021, ekonomi Malaysia meneruskan momentum pertumbuhan kukuh dengan berkembang 5.0 peratus pada suku pertama 2022.
Momentum positif itu berterusan dengan kadar keluaran dalam negara kasar (KDNK) terus berkembang pantas di luar jangkaan sebanyak 8.9 peratus pada suku kedua 2022 dipacu permintaan domestik, lantas menjadikan pertumbuhan pada separuh pertama 2022 sebanyak 6.9 peratus.
Permintaan domestik yang utuh disokong pemulihan pasaran pekerjaan dan pelaksanaan dasar sokongan berterusan serta kesan asas ketara daripada pertumbuhan negatif suku ketiga 2021 memacu ekonomi negara bertambah kukuh pada suku ketiga 2022.
Ekonomi negara berkembang kukuh 14.2 peratus, yang mana adalah pertumbuhan terbaik di Asia Tenggara pada suku itu. Kebanyakan penganalisis optimis KDNK Malaysia bagi keseluruhan 2022 dijangka berkembang kukuh sekitar 8.0 peratus, lebih tinggi berbanding unjuran rasmi 6.5 peratus hingga 7.0 peratus.
Perdana Menteri Ke-10 merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga melahirkan keyakinan KDNK Malaysia dijangka mengatasi unjuran rasmi yang ditetapkan sebelum ini itu.
Beliau berkata, prestasi ekonomi memberangsangkan susulan pembukaan semula ekonomi selaras dengan fasa peralihan ke endemik COVID-19, kadar pengangguran juga bertambah baik dengan berkurangan kepada 3.6 peratus pada Oktober 2022.
Pengembangan berterusan dalam pembiayaan bersih juga menyokong kegiatan ekonomi pada 2022, yang mana pembiayaan bersih meningkat sebanyak 5.7 peratus pada akhir Oktober 2022.
Pertumbuhan eksport juga berterusan pada Oktober 2022, berkembang 15 peratus didorong oleh produk elektrik dan elektronik (E&E) dan petroleum.
Peningkatan kadar inflasi
2022 juga memperlihatkan peningkatan kadar inflasi pada peringkat global susulan kekangan bekalan dicetuskan konflik Ukraine-Russia, yang mendorong bank pusat di dunia menaikkan kadar faedah. Peningkatan kadar faedah Amerika Syarikat (AS) secara agresif bagi mengekang inflasi di negara itu mengukuhkan dolar AS.
Ia sekali gus memberi kesan ketara terhadap prestasi ringgit berbanding mata wang utama dunia itu, yang mana ringgit menyusut melepasi paras RM4.70 sedolar, paras terendah sejak Krisis Kewangan Asia 1997/1998.
Kadar inflasi keseluruhan di negara ini juga masih berada pada paras tinggi, meskipun sudah menyederhana kepada 4.0 peratus pada November lalu berikutan permintaan pengguna yang kukuh.
Berlatarkan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia terus positif, Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak empat kali berturut-turut pada 2022.
Pada 3 November lalu, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM menaikkan OPR sebanyak 0.25 peratus kepada 2.75 peratus pada mesyuarat kali terakhir bagi 2022.
Ia adalah kenaikan kali keempat berturut-turut bermula Mei, Julai dan September 2022, dengan masing-masing meningkat sebanyak 25 mata asas kepada 2.50 peratus berbanding paras rekod terendah 1.75 peratus sebelumnya.
MPC BNM mengambil keputusan pelarasan selanjutnya terhadap tahap akomodasi monetari itu bagi menguruskan secara lebih awal berhubung risiko tekanan permintaan terhadap harga yang berlebihan.
Keputusan itu selaras penyesuaian semula penetapan dasar monetari yang mengimbangi risiko terhadap inflasi dan pertumbuhan dalam negeri yang mampan.
Sistem perbankan negara juga terus mencatatkan tahap permodalan yang kukuh untuk menghadapi kemungkinan tekanan dan terus menyokong aliran kredit ke dalam ekonomi dengan lebihan penampan modal sebanyak RM123.1 bilion.
Setakat akhir Oktober lalu, sistem perbankan mencatatkan jumlah peruntukan dan rizab kawal selia sebanyak RM41.9 bilion.
Pada April lalu, BNM juga mengumumkan lima pemohon berjaya mendapat lesen bank digital iaitu konsortium Boost Holdings Sdn Bhd dan RHB Bank Bhd; konsortium GXS Bank Pte Ltd dan Kuok Brothers Sdn Bhd; konsortium Sea Limited dan YTL Digital Capital Sdn Bhd; konsortium AEON Financial Service Co Ltd, AEON Credit Service (M) Bhd dan MoneyLion Inc, serta konsortium KAF Investment Bank Sdn Bhd.
Gabenor BNM, Tan Sri Nor Shamsiah berkata, bank digital dijangka dapat meningkatkan lagi rangkuman kewangan melalui penerapan teknologi digital secara lebih meluas untuk transaksi harian.
Malah, apabila perniagaan dilakukan secara dalam talian, perbankan digital turut menyediakan cara membuat transaksi yang lebih selamat dan mudah.
Sektor perbankan pada 2022 juga turut kehilangan tokoh perbankan terkemuka negara, Tan Sri Dr Teh Hong Piow. Pengasas dan Emeritus Public Bank itu meninggal dunia pada usia 92 tahun dan mendiang antara individu penting dalam pembangunan institusi kewangan di Malaysia dan individu keempat terkaya negara berdasarkan senarai Forbes dengan nilai kekayaan RM26 bilion.
Permintaan minyak sawit meningkat
Sementara itu, konflik di Ukraine menyebabkan permintaan terhadap minyak sawit meningkat dan harga minyak sawit mentah (MSM) didagangkan pada harga purata harian tertinggi dalam sejarah iaitu RM8,076.50 satu tan pada 2 Mac lalu.
Melangkah ke 2023, ekonomi global dijangka mengalami kelembapan pertumbuhan berikutan pertumbuhan perlahan ekonomi negara maju.
Pasaran ekonomi pesat membangun akan menjadi penyumbang utama ke arah pertumbuhan global pada 2023, meskipun ekonomi perdagangan terbuka mungkin akan terjejas disebabkan jangkaan permintaan akhir yang lemah dan pelarasan dalam aktiviti pengeluaran global.
Justeru, tinjauan tidak menentu ekonomi global itu turut akan memberi kesan kepada prospek ekonomi negara pada 2023 dengan pertumbuhan diunjurkan menyederhana berbanding 2022.
Kebanyakan ahli ekonomi menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia akan perlahan kepada sekitar 4.0 peratus pada 2023 dengan faktor domestik akan menyokong pertumbuhan.
Keredaan 'kebisingan' politik dengan adanya usul undi percaya kepada Anwar akan mengurangkan ketidaktentuan politik domestik. Keadaan sedemikian memberikan persekitaran kondusif kepada pentadbiran negara untuk mengembangkan ekonomi dengan tumpuan menjamin kesejahteraan rakyat dan menangani isu kos sara hidup, terutama golongan berpendapatan rendah.
Wartawan BH