Jumaat, 30 Disember 2022 | 12:05pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Prinsip Perlembagaan, norma ketamadunan panduan kekal SOSMA

Setiap kali berlaku perubahan kerajaan, antara perkara yang timbul adalah perbincangan mengenai semakan undang-undang. Semakan undang-undang ini pula lazimnya berkait dengan janji parti bertanding ketika pilihan raya.

Terbaru, Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) kini menjadi perhatian dan hangat diperkatakan serta desakan ia disemak semula.

Bagaimanapun, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail baru-baru ini menegaskan SOSMA dikekalkan kerana peruntukan itu membolehkan pihak berkuasa membanteras kegiatan jenayah terancang, terutama membabitkan tangkapan ahli sindiket terbabit dalam jumlah ramai.

Beliau turut mengakui pelaksanaan SOSMA adalah lebih baik, berbanding Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat kerana ia membenarkan prosedur perundangan dibuat susulan penangkapan suspek kes terbabit.

Apa yang menjadi persoalan, mengapa masih timbul gesaan untuk SOSMA disemak semula malah ada Ahli Parlimen mencadangkan SOSMA dihentikan daripada digunakan untuk mencegah jenayah terancang? Tidak dinafikan, sebab utama timbul desakan di atas adalah SOSMA mengandungi tatacara atau proses keadilan bersifat luar biasa.

Tatacara atau prosedur dalam SOSMA didakwa tidak selari peruntukan lazim dalam Perlembagaan, Kanun Tatacara Jenayah dan undang-undang pencegahan jenayah lain.

Dalam keadaan begini, undang-undang sedemikian mestilah sentiasa disemak keperluan dan keberkesanannya. Tiada guna untuk mengorbankan hak-hak madani warganegara dijamin Perlembagaan, jika undang-undang itu sudah tidak berguna.

Pengekalan undang-undang sedemikian juga dikhuatiri membuka ruang kepada salah guna kuasa. Dalam konteks SOSMA, kajian perlu dibuat secara telus dan mendalam berdasarkan bukti dan keterangan, sejauh mana setiap peruntukan itu masih diperlukan mengambil kira ancaman dan keperluan semasa.

Penilaian pakar dan pihak bebas diperlukan, selain keperluan mendapatkan pandangan dan pengalaman polis. Pastinya, ada banyak perkara boleh dipelajari dan diambil iktibar dalam tempoh 10 tahun SOSMA dikuatkuasakan.

Ketika SOSMA diperkenalkan, kerajaan menjanjikan beberapa lindung jamin (safeguards) bagi memastikan undang-undang 'luar biasa' ini tidak menyeleweng dan melanggar nilai keadilan.

Termasuk lindung jamin dimaksudkan adalah sunset clause di bawah Seksyen 4(11), yang menuntut kerajaan untuk mendapatkan kelulusan di Parlimen setiap lima tahun bagi meneruskan penguatkuasaan penahanan suspek selama tidak lebih 28 hari. Selain itu, Seksyen 4(3) SOSMA juga melarang penahanan dibuat berdasarkan kepercayaan dan kegiatan politikal semata-mata.

Persoalannya, sekiranya kerajaan mahu mengekalkan SOSMA, apakah lindung jamin yang ada ketika ini mencukupi? Hal ini menuntut kajian mendalam dan terperinci dengan mengambil kira pelaksanaan SOSMA selama 10 tahun.

Selain kecukupan lindung jamin, mekanisme dan tata semakan juga perlu bersifat terangkum dan tekal atau berterusan. Dalam membincangkan aspek ini, tiga cadangan dikemukakan.

Perluas skop semakan setiap lima tahun

Bagi cadangan pertama, semakan lima tahun sekali di Parlimen perlu diperluas skopnya. Proses semakan sewajarnya bukan sahaja terbatas kepada tempoh penahanan, tapi perlu merangkumi aspek penting lain.

Cadangan kedua pula berkaitan aspek keterangkuman dalam proses semakan. Sebagaimana dijanjikan kerajaan ketika memperkenalkan SOSMA dulu, pandangan dan saranan pemegang taruh seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Majlis Peguam, dan kumpulan masyarakat madani perlu diperoleh.

Sudut pandang kumpulan ini sewajarnya diangkat untuk perhatian ke jawatankuasa khas rentas parti di Parlimen berkenaan keselamatan. Proses ini perlu diadakan sebelum pembentangan usul berkenaan SOSMA di Dewan Rakyat dan Dewan Negara setiap lima tahun.

Pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diharapkan dapat membekalkan data mencukupi kepada jawatankuasa pada peringkat ini.

Pada masa sama KDN-PDRM perlu diberi peluang memberi ulasan balas kepada laporan pemegang taruh. Jawatankuasa khas boleh mengambil maklum, mengambil perhatian perkara dibangkitkan dan membuat syor untuk diangkat ke persidangan Parlimen.

Maka, perbahasan di Parlimen nanti akan lebih berisi, berkesan dan terarah, bukan sekadar perbincangan atas angin dan menerawang.

Cadangan ketiga pula berkaitan pelantikan penilai bebas undang-undang keselamatan dan anti-keganasan sebagaimana diamalkan di United Kingdom (UK) dan beberapa negara lain.

Di UK, Independent Reviewer of Terrorism Legislation yang lazimnya seorang pakar undang-undang dilantik bagi tempoh tertentu untuk menjalankan penelitian terhadap pelaksanaan undang-undang keselamatan dan keganasan.

Setiap tahun, penilai bebas ini bertanggungjawab menyediakan satu laporan untuk Parlimen dan masyarakat umum. Laporan tahunan penilai perlu diserahkan kepada jawatan kuasa khas.

Jawatankuasa bebas turut boleh meminta penjelasan lanjut daripada penilai bebas ini. Laporan tahunan penilai bebas ini dilihat mampu membantu Parlimen dalam membuat penilaian menyeluruh semasa semakan berkala lima tahun.

Pastinya pihak kerajaan tidak perlu mendedahkan semua hal dalam proses pelaporan ini. Kerajaan misalnya boleh mendedahkan jumlah tangkapan, kes didakwa dan disabitkan mahkamah.

Pihak polis juga boleh menggunakan ruang ini bagi menjelaskan kes tertentu yang menjadi alasan kukuh mengapa akta ini perlu dikekalkan.

Tindakan ini bukan sahaja menunjukkan komitmen sesebuah kerajaan kepada aspek ketelusan pentadbiran, tapi turut mempamerkan kesungguhan kerajaan menangani keganasan secara adil dan berkesan.

Dalam konteks Malaysia, kerajaan boleh melantik penilai bebas khas atau tugas ini boleh boleh dimainkan pesuruhjaya SUHAKAM dilantik khusus bagi tujuan ini.

Walau apa pun keputusan kerajaan, dua perkara wajib ditekankan, keperlembagaan dan ketulusan akta ini. Dua nilai ini cukup mustahak mengambil kira kerentanan undang-undang antikeganasan dan keselamatan serta kesamaran konsep 'keganasan' dan 'keselamatan negara' mudah disalah guna.

Oleh demikian, prinsip ampuh Perlembagaan dan norma ketamadunan perlu sentiasa dijadikan panduan bagi memastikan langkah pencegahan atas nama 'keselamatan negara' sentiasa memiliki keabsahan dan berkesan.

Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Undang-Undang, Universiti Utara Malaysia (UUM)

Berita Harian X