Rabu, 21 Disember 2022 | 12:05pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Atasi masalah 'selimut pendek' rakyat dengan tingkat produktiviti

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, keutamaan segera kerajaan baharu pimpinannya adalah untuk menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

Bagi menggapai hasrat itu, beliau meminta orang ramai memberikan cadangan bagi menangani kenaikan kos sara hidup, manakala agensi kerajaan diarah mengadakan perbincangan secara terperinci dan mengambil tindakan segera bagi meringankan beban ditanggung rakyat.

Selain kos sara hidup dan kejatuhan mata wang, isu subsidi rakyat turut menjadi perhatian Kerajaan Perpaduan. Kos sara hidup dan taraf hidup adalah dua perkara saling berkait rapat.

Kos sara hidup ialah kos terpaksa ditanggung isi rumah bukan hanya keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal, tetapi keperluan lain seperti kos perubatan, pengangkutan, bayaran pinjaman dan belanja harian serta bulanan.

Taraf hidup pula mengukur perbandingan antara pendapatan dengan kos sara hidup. Sekiranya pendapatan berada pada kadar lebih rendah berbanding kos sara hidup, maka taraf hidup seseorang dikatakan merosot, begitu juga sebaliknya.

Majoriti pendapatan diterima rakyat atau isi rumah digunakan untuk menampung pelbagai bayaran, termasuk ansuran perumahan, kenderaan, pendidikan dan pinjaman peribadi. Situasi ini menyebabkan mereka tidak mempunyai lebihan wang untuk menabung atau dibelanjakan ke atas barangan lain.

Hal ini menyebabkan mereka berada dalam kesempitan hidup. Kesempitan hidup ini umpama orang 'memakai selimut pendek dalam kedinginan malam'. Selimut ini diumpamakan sebagai kos sara hidup.

Apabila menarik selimut ke bahagian atas maka bahagian bawah pula sejuk dan begitulah sebaliknya. Secara teorinya pula, semakin meningkat kos sara hidup semakin kurang kuasa beli atau belanja pengguna.

Tingkatkan kuasa beli pengguna

Sehubungan itu, timbul persoalan bagaimana untuk menurunkan kos sara hidup atau meningkatkan kuasa beli pengguna? Untuk meningkatkan kuasa beli rakyat bukanlah dengan menaikkan gaji atau memberi bantuan kewangan.

Hal yang demikian ini kerana apabila gaji kakitangan awam dinaikkan maka pekerja di pihak swasta juga akan menuntut kenaikan gaji. Apabila pekerja swasta dinaikkan gaji maka harga barang keluaran atau kos perkhidmatan terpaksa dinaikkan bagi menampung kos operasi.

Maka, secara tidak langsung peniaga akan menaikkan harga barang jualan mereka. Atas faktor ini, banyak negara menaikkan gaji, tetapi tidak dapat menyelesaikan masalah kuasa beli pengguna.

Justeru, bagaimanakah untuk meningkatkan kuasa beli pengguna? Satu cara adalah dengan meningkatkan produktiviti. Apabila produktiviti ditingkatkan maka harga barangan dapat dikurangkan.

Sebagai contoh di China, apabila banyak mengeluarkan barang atau negara produktiviti tinggi maka barang dari negara mereka jauh lebih murah jika dibandingkan negara kita. Mungkin ada beranggapan barangan dari China itu kurang berkualiti.

Dari satu sudut jawapannya mungkin betul, tetapi cuba kita lihat contoh Jepun pada peringkat awal dahulu, produk dikeluarkan tidak berkualiti, tetapi kini produk mereka berkualiti tinggi kerana sikap mereka terus menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Manfaatkan teknologi moden

Bagaimana cara untuk meningkatkan produktiviti? Produktiviti dapat dipertingkatkan dengan menggunakan teknologi moden. Kini, kita berada di era digital atau Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Kesemua teknologi yang wujud pada hari ini menjadi perangsang dan faktor meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos, sekali gus meningkatkan kuasa beli rakyat bagi sesebuah negara.

Mungkin ada yang terfikir apabila semua pekerjaan ini diambil alih teknologi seperti sistem atau robot, maka tenaga manusia tidak diperlukan lagi. Kini, kita dapat lihat sistem perbankan menggunakan kemudahan teknologi menyantuni pelanggan.

Perkhidmatan perbankan tidak lagi terhad kepada waktu tertentu untuk berurusan, tetapi dapat dilakukan pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja.

Keadaan ini pernah berlaku apabila buat kali pertama mesin tenun kain dicipta di England oleh Edmund Cartwright pada 1785 dan beliau mendirikan kilang di Doncaster, England. Namun, pada 1793, kilangnya dibakar penenun tradisional yang takut bersaing dengan mesin tenun.

Analoginya, penenun tradisional tidak perlu bimbang kerana apabila produktiviti kilang semakin tinggi, mereka boleh terus bekerja di kilang terbabit sebagai penyelia dengan gaji lebih tinggi.

Kain terhasil pula dieksport ke seluruh dunia dan seterusnya menjana pendapatan negara apabila kilang membayar cukai kepada kerajaan. Di samping itu, kilang terbabit juga menyediakan peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang seperti juruteknik, jurukimpal, juruelektrik dan lain-lain.

Sementara itu, bagi menarik dan meningkatkan semula kemasukan pelabur asing, kerajaan baharu wajar menawarkan insentif dan inisiatif baharu yang bersifat jangka panjang serta pendek selain menyediakan kemudahan prasarana mencukupi.

Apabila pelabur datang ke Malaysia mereka bukan sahaja akan mendirikan kilang, bahkan turut membawa masuk teknologi baharu. Selain itu, mereka juga akan menggunakan mata wang negara. Hal inilah membantu menaikkan mata wang negara, sekali gus memacu kembali ekonomi negara.

Penulis adalah Felo Kanan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Berita Harian X