Setiap kali perubahan kerajaan, pasti akan timbul perbincangan mengenai semakan undang-undang. Hal ini lazimnya berkait dengan janji semasa pilihan raya. Maka undang-undang kontroversi seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sentiasa dalam radar perhatian.
Kenapa timbul gesaan untuk sentiasa menyemak SOSMA? Sebab utama adalah disebabkan SOSMA mengandungi tatacara atau proses keadilan bersifat luar biasa atau exceptional. Tatacara atau prosedur dalam SOSMA tidak selari peruntukan lazim dalam Perlembagaan Persekutuan, Kanun Tatacara Jenayah dan undang-undang biasa lain.
Dalam keadaan begini, undang-undang sedemikian mesti sentiasa disemak keperluan dan keberkesanannya. Tiada guna untuk mengorbankan hak madani warganegara yang dijamin Perlembagaan, jika undang-undang itu sudah tidak berguna. Pengekalan undang-undang sedemikian juga dikhuatiri akan membuka ruang kepada salah guna kuasa.
Dalam konteks SOSMA, kajian perlu dibuat secara telus dan mendalam berdasarkan bukti dan keterangan (evidence-based) terhadap sejauh mana setiap peruntukan itu masih diperlukan mengambil kira ancaman dan keperluan semasa. Penilaian pakar dan pihak bebas diperlukan, selain pandangan serta pengalaman pihak polis. Pastinya, ada banyak perkara boleh dipelajari dan diambil iktibar dalam tempoh 10 tahun pelaksanaan SOSMA.
Ketika SOSMA diperkenalkan, kerajaan menjanjikan beberapa lindung jamin (safeguards) bagi memastikan undang-undang 'luar biasa' ini tidak menyeleweng dan melanggar nilai-nilai keadilan. Lindung jamin dimaksudkan adalah sunset clause di bawah seksyen 4(11) yang menuntut kerajaan untuk mendapatkan kelulusan di Parlimen setiap lima tahun bagi meneruskan penguatkuasaan penahanan suspek selama tidak lebih 28 hari.
Selain itu, seksyen 4(3) SOSMA juga melarang penahanan dibuat berdasarkan kepercayaan dan kegiatan politik semata-mata. Persoalannya, sekiranya kerajaan mahu mengekalkan SOSMA, apakah lindung jamin yang ada mencukupi? Hal ini menuntut kajian mendalam dan terperinci dengan mengambil kira pelaksanaan SOSMA selama 10 tahun.
Tiga cadangan keberkesanan SOSMA
Selain kecukupan lindung jamin, mekanisme dan tatanan semakan juga perlu bersifat terangkum serta tekal atau berterusan. Dalam membincangkan aspek itu, tiga cadangan dikemukakan.
Pertama, semakan lima tahun sekali di Parlimen perlu diperluas skopnya. Proses semakan sewajarnya bukan sahaja terbatas kepada tempoh penahanan, bahkan merangkumi aspek penting lain.
Kedua, berkaitan aspek keterangkuman dalam proses semakan. Seperti dijanjikan kerajaan ketika memperkenalkan SOSMA dulu, pandangan dan saranan daripada pemegang taruh seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Majlis Peguam Malaysia dan kumpulan masyarakat madani perlu diperoleh.
Sudut pandang kumpulan ini sewajarnya diangkat untuk perhatian ke jawatankuasa khas rentas parti di Parlimen berkenaan keselamatan. Proses ini perlu diadakan sebelum pembentangan usul berkenaan SOSMA di Dewan Rakyat dan Dewan Negara setiap lima tahun.
Pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diharapkan dapat membekalkan data yang mencukupi kepada jawatankuasa pada peringkat ini. Pada masa sama, KDN dan PDRM perlu diberi peluang untuk memberi ulasan balas kepada laporan pemegang taruh.
Jawatankuasa khas boleh mengambil maklum, menggarisbawahkan perkara dibangkitkan dan membuat syor untuk diangkat ke persidangan. Maka, perbahasan di Parlimen nanti akan lebih berisi, berkesan dan terarah, bukan sekadar perbincangan atas angin serta menerawang.
Ketiga, berkaitan pelantikan penilai bebas undang-undang keselamatan dan antikeganasan seperti diamalkan di United Kingdom (UK) dan beberapa negara lain. Di UK, Independent Reviewer of Terrorism Legislation yang lazimnya membabitkan seorang pakar undang-undang dilantik bagi tempoh tertentu untuk menjalankan penelitian terhadap pelaksanaan undang-undang keselamatan dan keganasan.
Setiap tahun, penilai bebas ini bertanggungjawab menyediakan satu laporan untuk Parlimen dan masyarakat umum. Laporan tahunan penilai perlu diserahkan kepada jawatankuasa khas.
Jawatankuasa bebas turut boleh meminta penjelasan lanjut daripada penilai bebas. Laporan tahunan penilai bebas ini dilihat mampu membantu Parlimen dalam membuat penilaian menyeluruh semasa semakan berkala lima tahun.
Pastinya pihak kerajaan tidak perlu mendedahkan semua hal dalam proses pelaporan. Kerajaan misalnya boleh mendedahkan jumlah bilangan tangkapan, kes didakwa dan disabitkan mahkamah.
Pihak polis juga boleh menggunakan ruang ini menjelaskan kes tertentu yang dilihat perlu. Tindakan ini bukan sahaja menunjukkan komitmen sesebuah kerajaan kepada aspek ketelusan pentadbiran, bahkan mempamerkan kesungguhan kerajaan dalam menangani keganasan secara adil dan berkesan.
Dalam konteks Malaysia, kerajaan boleh melantik penilai bebas khas atau tugas berkenaan boleh turut dilaksanakan seorang pesuruhjaya SUHAKAM yang dilantik khusus bagi tujuan ini.
Walau apapun keputusan kerajaan, dua perkara wajib ditekankan ialah keperlembagaan dan ketulusan. Dua nilai ini cukup mustahak mengambil kira kerentanan undang-undang antikeganasan dan keselamatan serta kesamaran konsep 'keganasan' dan 'keselamatan negara' yang mudah disalah guna.
Oleh itu, prinsip ampuh daripada Perlembagaan dan norma kemadanian perlu sentiasa dijadikan panduan bagi memastikan langkah-langkah atas nama 'keselamatan negara' sentiasa absah dan berkesan.