MALAYSIA semakin rancak dengan tuduhan memanipulasi 'fobia Israel' yang dijadikan dakyah politik berbahaya. Israel diakui menjadi topik sensitif dalam kancah politik Malaysia sehingga dakwaan pembabitan negara itu sememangnya sudah lama disiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Malangnya, tanpa menunggu siasatan berakhir, ada ahli politik menggunakan isu ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), termasuk kes pembunuhan warga Palestin di Kuala Lumpur pada 2018 dan penculikan rakyat Palestin yang turut dikaitkan dengan Israel dan ejen perisikannya, Mossad.
Khabar ini tersebar seperti api sehingga menimbulkan ketakutan dan ancaman ilusi dalam kalangan masyarakat, terutama orang Melayu dan Islam, sekali gus diperalatkan parti politik tertentu untuk meraih kemenangan pada pilihan raya.
Diakui, isu seperti fobia Israel boleh menarik perhatian pengundi, tetapi adalah tidak bertanggungjawab jika ia dikaitkan sebagai ancaman akar umbi kepada tradisi, warisan dan kedudukan orang Melayu di negara ini.
Ancaman sebegitu bertujuan memberikan ilusi bahawa kehidupan orang Melayu akan berakhir seperti Palestin suatu hari nanti dan ia digunakan dalam bentuk video serta disebarkan dalam media sosial seperti TikTok.
Malah, dakyah politik ini masih berlanjutan walaupun selepas PRU15. Ia bercanggah dengan realiti negara sudah bergerak dalam fasa baharu kerana keputusan PRU15 mengajar semua parti politik bahawa kerjasama adalah penting demi menjaga rakyat dan negara, selain mencipta sejarah dalam penubuhan kerajaan gabungan parti berbeza haluan.
Tuduhan tidak berasas kepada PM
Tuduhan tidak berasas itu turut dilemparkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sehingga didakwa kononnya menghubungi Israel dan kuasa luar supaya campur tangan dalam hal pelantikannya.
Ketakutan dan rasa terancam itu disebarkan dengan memanipulasi media sosial tanpa memikirkan keselamatan dan kesinambungan negara. Corak politik begini amat bahaya kepada negara apabila rakyat sangat tertarik kepada fakta kurang dan tidak sahih.
Beberapa perkara perlu difahami masyarakat mengenai fobia Israel dan dakyah politik seperti ini. Media sebenarnya menjadi instrumen politik kepada semua parti politik. Namun, ada segelintir kumpulan politik tidak menjadikan penggunaan media untuk kesejahteraan dan keselamatan sebagai agenda penting mereka.
Oleh itu, masyarakat perlu menapis semua berita muncul dalam media massa dan sosial dengan memastikan kesahihan sebelum menyebarkan kepada pihak lain kerana sebahagian 'berita' ditularkan hanya interpretasi individu boleh dipersoalkan.
Oleh itu, rakyat perlu memberikan keutamaan kepada perpaduan nasional demi keutuhan dan kelangsungan negara. Menolak elemen radikal dan ekstrem wajib diutamakan supaya Malaysia terlindung daripada pergolakan politik yang boleh meruntuhkan.
Rakyat harus ingat bahawa kebanyakan konflik dunia berpunca daripada anasir radikal dan ekstrem. Elemen itu berupaya meracuni akar umbi negara ini, sedangkan masyarakat Malaysia secara sejarahnya umpama aur dengan tebing.
Pada masa sama masyarakat harus memahami konflik Israel-Palestin bukan baharu dalam politik antarabangsa. Proses keamanan masih terbantut, tetapi negara Arab mula menunjukkan kecenderungan dalam memulihkan hubungan diplomasi dengan Israel. Pada 2020, Emeriah Arab Bersatu (UAE), Bahrain, Maghribi dan Sudan sudah memulihkan hubungan dengan Israel.
Bagaimanapun, dasar luar Malaysia amat jelas terhadap hubungan dengan Israel. Selagi Israel tidak melakukan keadilan kepada Palestin, selagi itu negara tidak akan mempertimbangkan pengasasan hubungan diplomatik dengan Israel. Ini panduan asas dasar luar Malaysia sejak kemerdekaan.
Pasti kerajaan gabungan pimpinan Anwar amat memahami aspirasi rakyat Malaysia, terutama masyarakat Islam terhadap hak orang Palestin. Kerajaan tidak akan bertindak bercanggah dengan aspirasi rakyat.
Justeru, mempercayai Israel akan menjatuhkan Malaysia sebenarnya adalah fobia dan dakyah politik. Israel sudah memulihkan hubungan diplomasi dengan beberapa negara Arab dengan sebahagian lain akan menyusuli senarai sedia ada pada masa hadapan.
Dasar dunia Arab sedang berubah berdasarkan kepada faktor ancaman dan kepentingan nasional negara. Dalam dasar luar Israel, rantau Asia Barat menjadi kepentingan utamanya berbanding rantau lain.
Israel bukan jahil untuk mempermainkan Malaysia apabila ia sedang memulihkan imejnya dalam kalangan negara Arab di Asia Barat. Malaysia sendiri bukan ancaman kepada keselamatan nasional Israel. Ancaman Israel ke atas keselamatan Malaysia masih sangat kabur dan memerlukan penyiasatan telus.
Mengenai kehadiran ejen Mossad di negara ini, ia masih dalam siasatan PDRM dan KDN. Penyiasatan masih berjalan dan rakyat seharusnya menunggu keputusan siasatan.
Pada masa sama, kita perlu mengetahui sejarah Mossad sebagai agensi perisikan Israel ditubuhkan pemimpinnya, David Ben Gurion pada 1949 selepas meletusnya Perang Arab-Israel pertama pada 1948.
Tujuan Mossad diasaskan adalah untuk menjaga keselamatan nasional Israel dengan ejennya beroperasi di seluruh dunia bagi mencari, menangkap dan membunuh sesiapa dalam kes dianggap berbahaya kerana mengancam keselamatan nasional negara itu.
Tindakan politik tak matang
Warga Palestin Gaza menjadi sasaran utama Mossad kerana pembabitan mereka di wilayah autonomi itu dianggap sebagai ancaman keselamatan nasional Israel. Kemungkinan besar yang boleh dipercayai ejen Mossad memburu warga Palestin Gaza dianggap berbahaya kepada mereka.
Dengan itu, tindakan mengaitkan Israel dan Mossad dengan mana-mana parti politik atau pemimpin boleh disifatkan tindakan politik kurang matang dan bertujuan memecahkan perpaduan rakyat.
Hakikatnya, setiap tuduhan wajib disertakan dengan bukti sahih supaya rakyat tidak hilang hala tuju. Sebaran berita palsu yang menjadi elemen perang maklumat atau propaganda dalam politik sesebuah negara, boleh melemahkan saingan politik dan akhirnya membawa kebinasaan kepada semua.
Apatah lagi sekiranya tuduhan itu dibuat secara sewenang-wenangnya sedangkan pemilihan Perdana Menteri dan penubuhan kerajaan selepas PRU15 adalah keputusan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja, sekali gus wajib dihormati.
Kita harus ingat apabila negara menghadapi kemelut politik tidak menentu mulai 2018, institusi Raja memainkan peranan penting menyelamatkan negara ini daripada porak-peranda. Institusi Raja bukan sahaja lambang warisan, kedaulatan dan perpaduan negara, bahkan penyelamat negara tatkala kita menghadapi bahaya politik tidak menentu.
Sebenarnya, kesedaran dan kematangan politik sahaja boleh membantu memperbaiki aliran politik di negara ini. Oleh itu, masyarakat jangan mudah mempercayai dakwaan memanipulasi fobia Israel dan dakyah politik disebarkan atas nama agama dan bangsa, sebaliknya beri keutamaan kepada negara supaya Malaysia terus gemilang.
Pensyarah Kanan Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan Dan Undang-Undang, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)
Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH