SELEPAS Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10, isu rasuah, penyelewengan dan integriti tadbir urus mula berkumandang dan menjadi topik penting diperkatakan umum.
Pelbagai pihak termasuk bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Halim Ali turut menyentuh isu penting ini yang menurutnya membiak dan membarah sejak sekian lama dalam tadbir urus negara.
Menurutnya, pembabitan dan campur tangan langsung parti politik dalam projek serta pemberian tender bukan perkara baharu. Ia suatu yang lazim sejak sekian lama.
Katanya lagi, pelbagai pihak termasuk penjawat awam peringkat tertinggi sering didesak, dipaksa dan adakala diugut pihak berkepentingan untuk memperoleh projek dan tender kerajaan. Kebanyakannya membabitkan tender runding terus bagi projek bernilai ribuan juta ringgit.
Justeru, iltizam Anwar memerangi rasuah amat ditunggu dan dinanti-nantikan banyak pihak. Walaupun pelbagai dasar dan pelan strategik digubal serta dilaksanakan bagi memerangi gejala rasuah, pencapaiannya jauh daripada diharapkan.
Rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa adalah tumor yang boleh bertukar barah dan sekali gus boleh meruntuhkan sesebuah kerajaan dan empayar.
Dua cabang utama perangi rasuah
Terdapat dua cabang utama dalam perang terhadap rasuah iaitu pertama, tadbir urus dan kedua, budaya kerja. Di negara ini, walaupun pelbagai usaha dilaksanakan bagi memerangi rasuah dan pelbagai penyelewengan, namun kejayaannya agak perlahan.
Keadaan ini berlaku atas beberapa sebab. Pertamanya kerana masalah struktural tadbir urus sedia ada dan kedua, budaya kerja.
Dari segi struktur, terdapat kelemahan dalam kedudukan agensi anti rasuah sama ada Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), Institut Integriti Malaysia (IIM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
SPRM misalnya harus diletakkan terus di bawah Parlimen atau lebih baik di bawah Yang di-Pertuan Agong. Pengaruh eksekutif dan ke atasnya harus dihilangkan.
Campur tangan eksekutif dalam sebarang isu membabitkan kepentingan politik menyebabkan usaha menangani rasuah dan penyelewengan pada peringkat tertinggi menjadi sia-sia.
Selain SPRM, sejak sekian lama perlantikan Suruhanjaya Kehakiman (JAC) dibuat pihak eksekutif iaitu Perdana Menteri. Perlantikan langsung jawatan utama seperti Ketua Hakim Negara, Peguam Negara dan jawatan utama lain oleh eksekutif ini terbukti memberi kesan terhadap salah guna kuasa melampaui integriti dan etika profesional.
Justeru, dalam Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-260, mesyuarat mengusulkan lima daripada sembilan Ahli JAC tidak dilantik Perdana Menteri menerusi saluran politik.
Pelantikan jawatan utama disyorkan dibuat oleh institusi lain seperti Majlis Peguam, Persatuan Undang-undang Sabah, Persatuan Peguambela Sarawak dan Jawatankuasa Pemilih Parlimen.
Hal ini penting bagi mengelakkan 'favaroutisme' dalam perlantikan jawatan penting yang boleh mengekang rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa. Mereka harus keluar daripada mentaliti penjawat awam.
Selain penambahbaikan struktur, budaya kerja juga harus dirombak meliputi kepercayaan, sistem nilai, pegangan dan amalan. Maka, semua pihak, khususnya penjawat awam dan penguat kuasa harus komited dan bertanggungjawab supaya budaya bobrok dalam perkhidmatan dipulihkan.
Penjawat awam harus menjadi tulang belakang dalam usaha memerangi rasuah dan penyelewengan. Sebagai fundamental dalam sayap eksekutif dan pelaksana dasar, mereka harus terlebih dahulu menjadi teladan dalam mempertingkatkan integriti dan profesionalisme.
Selain itu, penguatkuasaan harus dilaksanakan dengan tegas dan adil. Kita mempunyai undang-undang dan peraturan baik dan mencukupi, namun pelaksanaannya kerap kali lemah dan tidak adil.
Rangsang lebih banyak pelaburan luar
Paling penting, Kerajaan Perpaduan yang baru dibentuk dapat merangsang lebih banyak pelaburan luar dan domestik dalam pelbagai sektor ekonomi negara.
Malaysia memiliki daya tarikan pelaburan sangat menarik dalam kalangan pelabur asing terutama prasarana dan infrastruktur berkualiti, modal insan kompeten, ditambah dengan pelbagai insentif menarik kepada pelabur luar dan domestik.
Berdasarkan Global Opportunity Index 2022 oleh Milken Institute, Malaysia berada pada kedudukan ke-28 dunia dan antara negara terbaik di Asia memiliki iklim perniagaan kondusif, fundamental ekonomi kukuh, perkhidmatan kewangan meyakinkan, institusi tadbir urus baik dan miliki dasar selari dengan keperluan antarabangsa.
Jika kedudukan ini dapat diperbaiki menerusi wawasan dan aspirasi kepimpinan baharu ini, maka Malaysia akan dapat menyaingi banyak negara di rantau ini.
Misalnya, pada tahun Malaysia digelar Harimau Asia (1990-1998), ranking Transparency International (TI) negara ialah sekitar 23-33 (1995- 23; 1997-32). Namun, sejak 2005, ranking Malaysia sentiasa berada pada tahap 50-60 dengan perkembangan ekonomi sekitar 5.0 hingga 6.0 peratus.
Justeru, tekad politik penting direalisasikan dengan komitmen seluruh pemimpin Kerajaan Perpaduan. Oleh kerana gejala rasuah dan salahguna kuasa ini membarah, maka usaha bersepadu harus dibuat dengan iltizam tinggi. Keyakinan politik yang mantap sahaja mampu untuk 'push this agenda to the end'.
Cabaran paling utama dihadapi Anwar adalah bagaimana mengurang atau mengosongkan campur tangan politik dalam pentadbiran awam khususnya terkait pemisahan kuasa antara tiga komponen teras pentadbiran iaitu antara Eksektutif, Legislatif dan Kehakiman.
Ketiga-tiga komponen ini tunggak kepada kelestarian kerajaan dan tadbir urus bersih, cekap dan berkesan. Ketiga-tiganya mesti diperkasakan dan dikembalikan legitimasi kuasa sewajarnya. Ia dapat dilakukan dengan meletakkan darjah kuasa dalam konteks seimbang tanpa ada campur tangan antara satu sama lain.
Jika ini dapat dilakukan dengan baik, maka dalam jangka panjang negara akan dapat melihat hasil positif. Akan tetapi yang lebih utama ialah mendidik dan menyedarkan rakyat menolak dan membenci perbuatan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
Penulis adalah Kumpulan Penyelidik Kepimpinan & Kesejahteraan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)