Usaha membentuk Kerajaan Perpaduan, terutama Kabinet bukan tugas mudah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri baharu.
Ia bukan setakat melihat aspek reformasi, bersih dan adil, bahkan toleransi tinggi, lebih-lebih lagi untuk kekal hingga tamat penggal sebelum diserahkan kembali kepada rakyat.
Justeru, menarik untuk ditanggapi adalah barisan menteri akan bersama-sama Anwar dalam Kabinet Perpaduan boleh melakar bangsa Malaysia hebat seperti dihasratkan Yang di-Pertuan Agong menuju tempoh ke depan. Apatah lagi, Perdana Menteri juga membentangkan cita-citanya untuk saiz Kabinet kecil tetapi kompeten.
Kelewatan membentuk Kabinet boleh difahami kerana ia bukan tugas mudah kepada Anwar. Pertama, geloranya pasti membabitkan soal rundingan antara blok Pakatan Harapan (PH) - Barisan Nasional (BN).
Kedua, soal keterangkuman dipilih Perdana Menteri harus berwibawa dan tidak dipersoalkan integritinya di Semenanjung, Sabah serta Sarawak manakala ketiga, pelantikan anggota Kabinet perlu mencerminkan Kerajaan Perpaduan Yang di-Pertuan Agong.
Namun, pembentukan Kabinet juga tidak boleh dilewat-lewatkan sebab ia juga membabitkan ekonomi, termasuk turun naik pasaran saham dan keyakinan pelabur.
Diakui, pelantikan menteri bukan hanya tergantung semata-mata kepada soal siapa layak dan berintegriti, bahkan realiti politik. Tidak boleh dikesampingkan juga perkara boleh meminimumkan risiko kerajaan tidak stabil.
Pengajaran di sini dalam pasca-Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dan kesan kerajaan tergantung adalah lebih baik mudarat kecil dihadapi berbanding mudarat besar, iaitu risiko mengelakkan kerajaan tidak stabil. Jika tidak stabil, akhirnya hasrat Kerajaan Perpaduan di bawah Yang di-Pertuan Agong nampaknya sukar direalisasikan.
Kedua, impian rakyat terbanyak dalam PRU15 menunggu-nunggu kepemimpinan karismatik Anwar dalam membawa Malaysia ke arah lebih dinamik akan berputus harap dan lesu sekiranya kerajaan berterusan tidak stabil.
Senarai anggota Kabinet Perpaduan dicadangkan adalah penting untuk menzahirkan kerajaan stabil dan berupaya merealisasikan bangsa Malaysia maju dan utuh.
Cadangan anggota Kabinet
Berikut cadangan anggota Kabinet Perpaduan boleh dipertimbangkan. Pertama, pelantikan dua Timbalan Perdana Menteri, iaitu Datuk Seri Mohamad Hasan (BN) (merangkap tugas-tugas khas) dan Datuk Seri Nancy Shukri daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) (merangkap hal ehwal Sabah dan Sarawak).
Pemilihan Nancy walaupun Datuk Seri Fadillah Yusof sering disebut, tetapi cadangan ini adalah untuk menyerlahkan keseimbangan kepemimpinan wanita pada posisi yang tinggi dan keterangkuman kerajaan perpaduan.
Bagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Gobind Singh Deo (PH) antara sosok padan memegang portfolio Menteri Parlimen dan Undang-Undang, manakala Menteri Hal Ehwal Agama boleh diberikan kepada Nik Omar Nik Abdul Aziz (PH) menerusi lantikan sebagai Senator.
Kementerian Kewangan memerlukan teknokrat yang disebut-sebut wajib ada dalam Kabinet, iaitu Rafizi Ramli (PH) dan Wong Chen (PH) sebagai timbalan.
Kementerian Luar perlu ada kekuatan sebagai geostrategis dan selayaknya Liew Chin Tong (PH) dan Datuk Seri Richard Riot Jaem (GPS) sebagai timbalannya.
Kementerian Pertahanan pula diketuai Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (BN) peka keadaan pangkalan tentera di Lumut (dilantik sebagai Senator) dengan gandingan beliau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH) berpengalaman dan pernah menjadi menteri sebelum ini.
Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH) dan Dr Taufiq Johari (PH) tiada sebab untuk tidak meletakkan mereka di Kementerian Kesihatan.
Bagi Kementerian Pendidikan, barangkali Dr Maszlee Malik (PH) adalah menteri dilantik sebagai Senator dan Datuk Seri Khalid Nordin (BN) sebagai timbalannya.
Kementerian Industri dan Perdagangan Antarabangsa memerlukan gandingan Lim Guan Eng (PH) dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani (BN).
Bagi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi yang digabungkan, Datuk Seri Aminuddin Harun (PH) layak memegang jawatan menteri dan Isnaraissah Munirah Majilis (Parti Warisan/WARISAN) yang juga berpengalaman menjadi menteri boleh dilantik menjadi timbalannya.
Kementerian Dalam Negeri boleh diberikan tanggungjawab sepenuhnya kepada Mohamad Sabu (PH) dan timbalannya, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah (BN).
Sementara itu, Kementerian Perpaduan Wilayah dan Pembangunan Luar Bandar (tiga kementerian digabungkan sekali) boleh diserahkan tanggungjawab kepada Syahredzan Johan (PH) serta Datuk Hasbi Habibollah (GPS) sebagai timbalannya untuk menghasilkan sesuatu baharu buat Semenanjung, Sabah serta Sarawak.
Kementerian Perumahan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat (dua kementerian digabungkan) boleh dipimpin, Datuk Seri Azalina Othman Said (BN) dan didukung Hannah Yeoh (PH) sebagai timbalan.
Kecekapan dan kesungguhan Yeo Bin Yee (PH) sebagai Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (tiga kementerian digabungkan sekali) perlu diakui dan digandingkan bersama pengalaman Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (PH) dalam kementerian sama sebelum ini.
Kementerian Komunikasi dan Multimedia perlu diberikan peluang kepada Fahmi Fadzil (PH) kerana pengalaman sebagai anak seni dan Pengarah Komunikasi PKR. Gandingannya, Datuk Dr Jeffery Kittingan (GRS), yang juga ahli politik senior mempunyai kredibiliti sokongan akar umbi mampu membawa perubahan kepada penduduk Borneo.
Bagi Kementerian Belia, Sukan dan Pelancongan (digabungkan), proses mematangkan belia amat berpadanan serta tepat untuk diberikan kepada Nik Nazmi Nik Ahmad (PH) dan Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PH) sebagai timbalan.
Anthony Loke (PH) antara nama disebut-sebut perlu dikekalkan sebagai Menteri Pengangkutan dan Kerja Raya (dua kementerian digabungkan sekali) bersama Fadillah.
Terakhir sekali ialah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Utama (dua kementerian digabungkan sekali) sesuai dipegang Datuk Seri Ahmad Maslan (BN) dan Datuk Wille Mongin (GPS) sebagai timbalan.
Syor dua TPM adalah inklusif
Ringkasnya, cadangan dua Timbalan Perdana Menteri dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak adalah inklusif, manakala pelantikan dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri, hanya membabitkan seorang sahaja lantikan daripada Senator menjadi Menteri Agama berdasarkan kepakarannya.
Kemudian hanya dua lantikan Senator menjadi Menteri Pertahanan dan Menteri Pendidikan. Selebihnya, campuran Ahli Parlimen berpengalaman, muda dan senior menjadikan 28 orang.
Justeru, jumlah keseluruhan saiz anggota Kabinet dicadangkan penulis ialah seramai 33 Ahli Jemaah Menteri, termasuk Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.
Usul ini juga menzahirkan saiz Kabinet bukan sahaja jauh lebih kecil dan berpatutan, bahkan mewakili hasrat Yang di-Pertuan Agong untuk melihat Kabinet dalam Kerajaan Perpaduan boleh merealisasikan bangsa Malaysia maju dalam jangka panjang.
Felo Penyelidik Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Pengerusi Pertubuhan Naratif Malaysia (NARATIF)