Allah menjadikan manusia sebagai khalifah kerana Maha Mengetahui kita sebaik-baik makhluk kejadian-Nya. Kini, jumlah penduduk dunia hampir mencecah 7 bilion merangkumi pelbagai agama, etnik dan keturunan. Lumrah kejadian ini dijelaskan dalam ayat ke-13 surah al-Hujurat.
Rasulullah SAW ketika menubuhkan negara Madinah telah menyatupadukan penduduk pelbagai suku kaum dan agama.
Peristiwa Nabi SAW menyatukan Ansar, iaitu penduduk asal dan Muhajirin (orang Islam berhijrah dari Makkah) menjadi perkara pokok ikatan persaudaraan berbilang agama serta kabilah.
Sahifah Madinah, iaitu dokumen penting menjadi perlembagaan bertulis pertama dunia menyatukan kepelbagaian kabilah dan agama dalam perjanjian mempertahankan hak warga Madinah serta kesepakatan semua mempertahankan kota itu untuk membentuk satu ummah.
Ia mengiktiraf kepelbagaian warganya sebagai satu bangsa dengan ikatan kontrak sosial. Sahifah Madinah menjamin dan mempertahankan hak setiap individu tanpa membezakan antara majoriti dengan minoriti.
Deklarasi Marakesh ditandatangani pada 27 Januari 2016 oleh lebih 250 pemimpin agama, negara dan cendekiawan Islam mempertahankan hak minoriti bukan Islam di negara Islam mendukung Sahifah Madinah untuk diterima pakai.
Malaysia antara negara Islam menandatangani deklarasi berkenaan.
Dalam konteks Malaysia, kepelbagaian etnik, suku kaum dan agama wujud sejak kemasyhuran Melaka sebagai pelabuhan terkenal pada abad ke-14 Masihi. Ramai pedagang dari Cina, India, Arab dan Eropah berdagang di Melaka.
Malah terdapat perkahwinan campur. Ini diwarisi hingga beberapa negara Eropah seperti Portugis, Belanda dan England serta Jepun menjajah Tanah Melayu.
Kemasukan tenaga buruh dari Cina dan India semasa penjajahan Inggeris menambahkan lagi kepelbagaian masyarakat di Tanah Melayu hingga negara merdeka pada 1957. Pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 menyaksikan penambahan pelbagai etnik dan agama dari Sabah dan Sarawak.
Perlembagaan Persekutuan kita miliki hari ini menjadi dokumen berteraskan 'tolak ansur' hasil penerimaan semua pihak daripada pelbagai agama dan bangsa.
Ia satu kontrak sosial dipersetujui tiga etnik besar pada masa itu, Melayu, Cina dan India membentuk Parti Perikatan, diikuti kemasukan Sabah serta Sarawak membentuk Malaysia pada 16 September 1963 menyaksikan kepelbagaian suku kaum.
Perlembagaan Persekutuan menjadi dokumen tertinggi negara menjamin semua rakyat hidup dalam aman damai. Kebebasan menganut dan mengamalkan agama dengan Islam diberi status istimewa menjadi agama Persekutuan dijamin dalam Perkara 3 (1) dan 11 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Agama lain bebas dianuti dan diamalkan dengan aman dan damai. Justeru, hak kebebasan beragama ini menuntut semua individu untuk saling menghormati demi kerukunan hidup dalam kepelbagaian.
Dengan nisbah penduduk Islam 60 peratus dan bukan Islam 40 peratus daripada 32 juta penduduk Malaysia, perlu ada sifat saling mempercayai dalam membina negara bangsa.
Perlu ada sifat kasih sayang dan kebersamaan dalam mengharungi kehidupan begitu mencabar. Oleh itu, saling mengenali, memahami dan membantu adalah ramuan utama kehidupan bermasyarakat bertamadun tinggi.
Pendekatan fiqh al-ta'ayush (hidup bersama) menjadi mauduk perbincangan penting, terutama cabaran moden hari ini dalam menguruskan kepelbagaian manusia seperti di negara ini mengambil kira kepelbagaian etnik dan agama melihat kepada kehidupan masyarakat minoriti bukan Islam di negara majoriti Islam seperti Malaysia sangat relevan bagi mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan kehidupan.
Menurut ulama dunia yang juga Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa 2019, Sheikh Abdullah Bayyah, perkataan ta'ayush membawa maksud hidup bersama antara orang Islam dengan bukan Islam dalam keadaan aman damai dan harmoni.
Dr Mahasin al-Fadhl pula menambah ta'ayush diertikan seseorang hidup bersama yang lain dalam keadaan harmoni tanpa mengganggu gugat kehidupan orang lain sekalipun berbeza dari segi etnik dan agama.
Ini tidak bermaksud konsep fiqh al-ta'ayush merendahkan Islam. Menurut Sheikh Muhammad al-Syarif, konsep al-taqarrub (membina hubungan rapat) dan al-ta'ayush (hidup bersama) tidak membawa maksud menjadikan agama Islam dan agama lain sama rata.
Malah amalan membina hubungan rapat dalam kehidupan bersama dapat merapatkan agama Islam kepada orang bukan Islam. Ini dapat menawan hati mereka untuk memeluk Islam. Namun, ia tidak boleh dibuat secara paksaan kerana Islam menjamin kebebasan beragama seperti dalam ayat 256 surah al-Baqarah: "Tidak ada paksaan dalam (menganuti) agama."
Bahkan hak orang bukan Islam dijamin, manakala orang Islam dilarang sama sekali mencemuh agama lain. Ini dinukilkan dalam ayat 108 surah al-An'am: "Janganlah kamu mencemuh sembahan mereka sembah selain Allah kerana mereka nanti akan mencemuh Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan."
Justeru, taaruf atau saling mengenali; tafahum (saling memahami) dan taawun (tolong-menolong) menjadi tiga prinsip terkandung dalam fiqh al-ta'ayush demi membina sebuah ummah kasih-mengasihi (mahabbah); bersaudara (ukhuwwah); bertoleransi (tasamuh) dan saling percaya-mempercayai.
Maka perlu difahami perbezaan hubungan manusia – antara kefahaman sebagai seorang manusia (insaniah) dan bangsa beriman (faith nation – al-ummah al-'aqadiyyah). Manusia tetap manusia tetapi anutan agamanya berbeza.
Maka, menjadi lumrah alam bahawa manusia itu menginginkan keamanan, kebersamaan dan keadilan walaupun berbeza agama serta etnik. Manusia sejagat perlu memahami bahawa walau apapun perbezaan kulit, bangsa, etnik, agama malah dalam parti politik, kita semua adalah bersaudara atas nama manusia.
Bagi umat Islam pula, perlu dihayati khutbah terakhir Nabi Muhammad SAW. Setiap orang Islam adalah bersaudara dan sama di sisi Allah SWT. Tidak seseorang pun lebih mulia daripada yang lain kecuali bertakwa dan beramal soleh.
Justeru, kemuliaan sebagai seorang insan terletak atas keimanan, bukan atas nama agama, etnik dan parti politik dianuti.
Pembentukan negara bangsa Malaysia menuntut semua warganegara mempertahankan Perlembagaan sebagai dokumen tertinggi negara. Semua warganegara mempunyai hak kesamarataan di sisi undang-undang dan sebarang diskriminasi atas nama agama, kaum, keturunan, tempat lahir dan jantina ditegah sama sekali (Perkara 8(1) (2) Perlembagaan Persekutuan).
Namun, dalam memastikan kesaksamaan agar keadilan tercapai, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dimasukkan demi mengangkat martabat golongan tercicir dalam kalangan Bumiputera tanpa mengabaikan hak bukan Bumiputera.
Konsep negara bangsa Malaysia mempunyai persamaan dengan 'satu ummah' diperkenalkan Rasulullah SAW di Madinah melangkaui agama dan etnik. Kedua-dua dokumen ini mempromosi semangat nasionalisme dan patriotik tinggi berdasarkan kasih sayang, rahmat dan tanggungjawab.
Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)