Khamis, 1 Disember 2022 | 12:10pm
Datuk Seri Anwar Ibrahim
Datuk Seri Anwar Ibrahim

Anwar perlu kemudi dunia Islam, negara Selatan imbangi kuasa besar

Meneliti perbualan telefon Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan yang merakamkan ucapan tahniah beberapa jam selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke-10, jelas memperlihatkan ia melangkaui hubungan rasmi, bahkan persahabatan dan kekeluargaan.

Turkiye dalam kedudukan strategik di tengah-tengah kancah perang Russia-Ukraine, apatah lagi negara bekas Empayar Turki Uthmaniyah itu mempunyai hubungan rapat dengan negara bekas Tirai Besi, di samping hubungan analitikal dengan Amerika Syarikat (AS), sekali gus menjadikannya di persimpangan multipolariti antarabangsa.

Tidak lupa Arab Saudi turut mengucapkan tahniah, juga mempunyai kedudukan dalam multipolariti antarabangsa. Agak menarik untuk diperhatikan hubungan antara negara itu dengan AS amat rapat, kini renggang disebabkan tindakan Riyadh dan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutu (OPEC+) memotong bekalan minyak dunia sebanyak dua juta tong sehari.

Tindakan itu dikatakan mencetuskan kemarahan Presiden AS, Joe Biden dengan penganalisis di Washington mendakwa tindakan Riyadh hanya membantu Russia dan pencerobohannya di Ukraine. Namun, dipuji Presiden China dan Russia kerana mengutamakan kepentingan nasional daripada mengikut telunjuk kuasa unipolar AS.

Multipolariti merujuk situasi geopolitik lahir apabila kuasa besar tidak terpusat kepada adikuasa tunggal, tetapi pelbagai kutub kuasa menyeimbangkan pengaruhnya di dunia.

Bagaimanapun, ke mana hala tuju dasar luar Malaysia sekarang? Ketika pemerintahan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dasar luar negara amat agresif hingga negara dipandang tinggi oleh negara Selatan dan Barat.

Dalam isu Palestin misalnya, kita antara negara Islam vokal menyuarakan sokongan terhadap Hamas secara terbuka. Berbeza dengan negara Islam lain tidak berani menyatakan pendirian kerana ia diumumkan sebagai pergerakan pengganas oleh AS.

Kuasa multipolariti dunia seperti China turut mengucapkan tahniah kepada Anwar, cuma saya tidak nampak Russia berbuat demikian atau mungkin saya terlepas pandang.

Realitinya, cabaran terbesar Anwar dalam perhubungan antarabangsa ialah multipolariti, iaitu bagaimana mengimbangi hubungan antara kuasa unipolar AS serta multipolariti Russia dan China.

Dr Mahathir ketika menjadi Perdana Menteri dalam mengemudi dasar luar negara, melaksanakan dasar menentang kekejaman seperti tindakan Serbia terhadap Bosnia dan mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengambil serius.

Malaysia dengan dasar Pandang Ke Timur dan Buy British Last melaksanakan perdagangan antarabangsa yang memperlihatkan kedaulatan Malaysia dalam dasar luarnya.

Bahkan pada rundingan perdagangan antarabangsa, Malaysia sentiasa dipandang tinggi oleh negara Selatan dan Barat. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika dipimpin Tan Sri Rafidah Aziz sentiasa menjadi tumpuan pada rundingan peringkat antarabangsa.

Ketika pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, Malaysia menunjukkan multipolaritinya dengan condong ke China di bawah Inisiatif Jalur dan Laluan yang menjadi projek ketersambungan, iaitu inisiatif daratan Jalur Ekonomi Laluan Sutera dan Laluan Sutera Baru Maritim.

Beberapa projek dan pinjaman besar-besaran dengan China dapat menjejaskan kedaulatan dan kepentingan negara, tetapi diselesaikan selepas bertukar kerajaan kepada Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum Ke-14.

Tindakan awal Dr Mahathir adalah menyemak dan berunding kembali projek mega China di negara ini. Akhirnya Malaysia berjaya mendapatkan syarat dan terma perjanjian lebih baik bagi projek Laluan Rel Pantai Timur dan projek Bandar Malaysia dihidupkan kembali.

Ketika lawatan Dr Mahathir ke China, beliau memaklumkan pemimpin utama negara itu mengenai keperluan syarikat China mematuhi undang-undang dan peraturan negara.

Apa dipertikaikan daripada projek itu ialah isu terma dan syarat pinjaman serta perjanjian berat sebelah. Semua kontrak projek dianugerahkan kepada syarikat milik negara China tanpa pelaksanaan tender terbuka.

Tindakan tegas pertahan autonomi negara 

Pendirian tegas dalam mempertahankan autonomi dan kepentingan negara dapat dilihat apabila kerajaan membatalkan projek Saluran Paip Gas Trans-Sabah dan Saluran Paip Pelbagai Produk serta merampas dana berjumlah RM1 bilion daripada akaun bank kontraktor bagi kedua-dua projek berkenaan.

Kerajaan juga bertegas menolak pelaburan China dalam sektor hartanah dilihat sebagai tidak menguntungkan negara dan melarang pengeluaran visa kepada warga asing untuk tinggal di Malaysia. Sudah pasti Anwar mengamatinya dan akan mengambil langkah waspada dalam berurusan dengan China, tanpa menafikan negara itu adalah rakan niaga dan diplomasi tradisi Malaysia.

Di samping itu, persaingan China, AS dan kerjasama tiga hala antara Australia, United Kingdom dan AS (AUKUS) di Laut China Selatan mengemukakan cabaran mutipolariti antarabangsa kepada Anwar juga dalam menyeimbangkan hubungan antara kedua-duanya.

Dalam pandangan sempit kuasa besar Russia dan China akan menyeimbangkan kuasa AS tidak lagi boleh bertindak dengan wewenang di pentas antarabangsa.

Namun, multipolariti dimaksudkan bukan tertumpu kepada ketiga-tiga kuasa besar ini, lebih mendalam lagi bagi memberikan kebebasan kepada negara dunia, khususnya negara Selatan membentuk kedaulatan sendiri dalam menentukan dasar luar.

Adakah China dan Russia membenarkannya? Dalam kumpulan negara menonjolkan kuasa multipolariti antarabangsa, Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS), anggotanya membina dan membangun atas kelebihan serta kekuatan sendiri dan saling membantu dan bekerjasama.

Multipolariti antarabangsa juga bermaksud negara kuasa besar tidak boleh memaksa pengaruh dan ideologi serta menakut-nakutkan negara mundur, miskin serta sedang membangun supaya mengikut telunjuk mereka.

Negara Selatan perlu bebas laksana dasar 

Negara Selatan khususnya bebas melaksanakan dasar pembangunan tidak terikat dengan institusi antarabangsa seperti Bank Dunia dan Dana Kewangan Antarabangsa (IMF).

Di medan antarabangsa, negara Selatan bebas merundingi syarat perdagangan seperti di Pertubuhan Perdagangan Antarabangsa (WTO), Perjanjian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) atau Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik dengan tidak dipaksa mengikut telunjuk negara kuasa besar.

Dalam multipolariti antarabangsa, setiap negara mempunyai kelebihan dari segi nilai, sumber, teknologi, budaya, ideologi dan corak pembangunan hingga perlu saling bekerjasama.

Dunia harus bergerak daripada unipolar dan dwipolar membawa ke arah persaingan serta persengketaan. Saling menghormati, tolak ansur dan menerima perbezaan adalah langkah pertama ke arah dunia aman.

Anwar dan Menteri Luar yang baharu dilantik perlu peka dan meneliti perkembangan dalam dunia antarabangsa sekarang tambahan pula Malaysia berada dalam kedudukan geopolitik strategik di Selat Melaka dan pinggir Laut China Selatan.

Dengan penghormatan dunia, Malaysia berbekalkan dasar luar berkecuali harus membolehkan Anwar mengemudi dunia Selatan dan Islam menuju ke arah multipolariti antarabangsa lebih manusiawi dan ihsan.

Pensyarah Perhubungan Antarabangsa di Universiti Selangor

Berita Harian X