Rabu, 30 November 2022 | 1:05pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Agenda tingkat produktiviti rakyat perlu jadi dasar penting kerajaan

Pembentukan Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyelamatkan negara daripada terus berdepan polemik politik tidak berkesudahan.

Pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10 dengan perkenan Istana Negara diharap membawa kestabilan dan kemakmuran berterusan bagi Malaysia.

Rakyat harus mengakui mereka perlu menerima Kerajaan Perpaduan dibentuk menerusi kerjasama parti berbeza aspirasi dan ideologi semata-mata mahu membentuk kerajaan stabil demi negara dan rakyat.

Pembentukan kerajaan ini perlu difahami, iaitu menekankan pemantapan perpaduan dan keharmonian sebagai agenda nasional memandangkan persoalan perpaduan adalah tunjang kepada keamanan, kesejahteraan, kestabilan dan pengukuhan ekonomi negara.

Kestabilan politik atas jenama Kerajaan Perpaduan juga diharap memacu pertumbuhan ekonomi negara untuk terus berkembang, produktif dan berdaya saing.

Di Malaysia, aspek ini dimanifestasikan dalam penjagaan kesihatan berkualiti, perumahan mampu milik, peningkatan keselamatan dan ketenteraman awam, penambahbaikan perkhidmatan kecemasan, pengukuhan integrasi sosial dan perpaduan, serta penyertaan meluas dalam sukan.

Kesejahteraan lebih baik juga akan meningkatkan produktiviti dan kemajuan rakyat. Prestasi produktiviti pekerja pada suku tahunan ketiga 2022 mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan sebanyak 10.1 peratus dengan nilai ditambah per pekerja RM24,241 berbanding RM23,322 atau 5.5 peratus pada suku sebelumnya.

Tahun lalu menunjukkan kebangkitan luar biasa Malaysia daripada impak kelembapan ekonomi yang dialami akibat pandemik COVID-19, walaupun negara masih belum kembali kepada prestasi produktiviti sebelum pandemik melanda.

Contohnya, pertumbuhan keseluruhan subsektor di bawah sembilan Nexus Sektor Produktiviti melantun kepada purata 3.3 peratus pada 2021 daripada -5.1 peratus pada 2020.

Kestabilan politik juga menjadi faktor pemacu untuk negara ini meningkatkan produktiviti negara, menyasarkan pertumbuhan pada purata 3.6 peratus setiap tahun, dari 2021 hingga 2025 seperti dinyatakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) mengunjurkan ekonomi Malaysia akan berkembang pada 6.1 peratus tahun ini berdasarkan kepada jangkaan jualan barangan elektrik dan peralatan kesihatan, meningkatkan eksport Malaysia dan permintaan domestik didorong faedah diperoleh daripada sokongan kerajaan.

Unjuran itu sejajar dengan pemetaan Kementerian Kewangan (MoF) yang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan berkembang antara 5.5 dan 6.5 peratus pada 2022.

Untuk mencapai pertumbuhan produktiviti lebih tinggi, negara perlu memberi fokus kepada lima pemacu produktiviti utama yang perlu diperincikan pada peringkat nasional, sektor dan perusahaan iaitu bakat, teknologi, persekitaran perniagaan, struktur industri dan minda produktif.

Tingkat kemahiran, pendidikan rakyat

Mengenai program pembangunan bakat, MPC membantu menangani isu kebergantungan negara kepada pekerja asing kurang mahir dengan meningkatkan kemahiran serta pendidikan bakat menerusi inisiatif Academy in Factory (AiF).

Sehingga kini, lebih 3,000 bakat dan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk belia berjaya ditempatkan di 50 syarikat menyertai inisiatif AiF. Belia yang terbabit terdiri daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), belia Orang Asli dan orang diparol terlatih di bawah program AiF.

MPC juga memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki dan memantapkan persekitaran perniagaan menerusi peraturan tangkas dan pelaksanaan Amalan Baik Peraturan (GRP). Tadbir urus baik serta peraturan berkualiti membantu melonjakkan prestasi Malaysia ke tangga 10 teratas di dalam Indeks Daya Saing Digital Global.

Dalam hal ini, MPC akan terus menerajui inisiatif mengurangkan bebanan peraturan tidak wajar menerusi program #MyMudah. Program ini dijangka mampu mengurangkan kos pematuhan peraturan sebanyak RM1.5 bilion membabitkan industri dan peniaga menghadapi kesukaran menjalankan operasi perniagaan.

Selain itu, MPC komited membimbing organisasi ke arah pendigitalan dan inovasi menerusi MyReskill IOT dan Industry4WRD diterajui bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi merealisasikan agenda transformasi industri dengan menjadikan teknologi dan digitalisasi sebagai pemangkin memacu produktiviti negara.

MPC kini merancang strategi untuk membentuk minda produktif secara bersasar dan sistematik bagi mentransformasi pemikiran rakyat ke arah minda produktif seterusnya membudayakan produktiviti sebagai cara hidup.

Bagi merealisasikan usaha ini, negara memerlukan kualiti modal insan sebagai penentu utama kejayaan Malaysia pada masa hadapan. Menerusi inisiatif modal insan berkualiti, rakyat dapat meningkatkan produktiviti dan daya saing serta mampu menerokai serta memanfaatkan kelebihan dan sumber dimiliki.

Setiap rakyat Malaysia perlu memainkan peranan dan tanggungjawab meningkatkan produktiviti mereka. Rakyat tidak boleh cuai dan alpa melayan politiking.

Generasi muda sebagai pelapis negara perlu sentiasa melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran. Mereka sebagai pewaris bangsa perlu memahami dan mengutamakan perpaduan sebagai rahsia menjadikan Malaysia terbaik dan berjaya.

Bagi memastikan media sosial menjadi wadah perpaduan dengan menekankan nilai, norma dan pandangan dunia menyatupadukan kaum untuk mewujudkan budaya produktif perlu diteruskan dalam menuntut dan mencari ilmu serta kemahiran diperlukan negara.

Perancangan dan pelaksanaan pelbagai dasar dilakukan kerajaan hari ini akan diwarisi generasi muda sebagai penerus perjuangan. Oleh demikian, generasi muda perlu merebut dan memanfaatkan peluang disediakan kerajaan demi kelangsungan negara.

Bersandarkan produktiviti sebagai cara hidup, rakyat Malaysia perlu terus berpegang teguh kepada nilai akhlak, moral dan etika baik. Rakyat perlu menjadi insan mulia, berilmu dan berpekerti tinggi serta menyedari tanggungjawab kepada negara.

Negara tidak akan mampu 'melangkah' lebih jauh sekiranya rakyat tidak bersama-sama dalam usaha meningkatkan ekonomi Malaysia.

Semoga Kerajaan Perpaduan dapat memupuk suasana harmoni dan saling menghormati dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan bersatu mengekalkan perpaduan, bertolak ansur, bersepakat dalam memikul tanggungjawab terhadap negara.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC)

Berita Harian X