Selasa, 29 November 2022 | 1:05pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Harapan tinggi pada Kerajaan Perpaduan, serik 'peristiwa sedih 2018'

Selepas selesai polemik pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri Ke-10, kini tumpuan kembali ke arah hubungan antara Kerajaan Perpaduan dengan sektor awam.

Sudah tentu sinergi hubungan di antara kerajaan baharu membawa naratif Kerajaan Perpaduan dengan penjawat awam menarik perhatian khalayak.

Hal ini kerana perkhidmatan awam adalah tulang belakang setiap kerajaan memerintah terutama dalam memastikan setiap perancangan, inisiatif serta dasar diperkenalkan dilaksanakan dengan cekap serta berkesan supaya setiap kumpulan sasaran mendapat manfaat.

Justeru, aspek paling penting sekarang ialah bagaimana untuk memastikan kerajaan baharu dibentuk ini tiada sebarang keraguan terhadap kesetiaan dan sokongan penjawat awam terhadap Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan.

Keraguan yang timbul di antara dua entiti ini akan membawa kepada ketidakpercayaan, sekali gus mewujudkan jurang antara anggota pentadbiran dengan perkhidmatan awam.

Ini bukan saja akan menghalang segala usaha pemulihan negara dan langkah menyegarkan kembali ekonomi rakyat, malah boleh mengganggu semua urusan kerja harian di setiap kementerian dan jabatan kerajaan.

Ironinya, kerajaan perlu yakin dan percaya terhadap penjawat awam yang sentiasa berpegang kepada prinsip menyokong serta mendukung kerajaan memerintah hari ini.

Komitmen ini dizahirkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali dalam kenyataan media selepas pengumuman keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang dengan jelas menyatakan anggota perkhidmatan awam akan terus komited mendukung konsep tidak memihak dalam urusan pentadbiran kerajaan ditubuhkan.

Apa yang penting, bagi memastikan perkhidmatan awam dapat menjalankan fungsinya dengan cekap dan normal, kerajaan wajar memberi kebebasan sewajarnya berpaksikan kepada peraturan dan prosedur terkandung dalam perkhidmatan awam.

Pentadbiran baharu sewajarnya bebas dan menjauhkan diri daripada sebarang bentuk campur tangan politik dalam proses pelantikan dan pengurusan setiap kementerian serta agensi kerajaan.

Seperti disarankan Presiden Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Alumni PTD), Tan Sri Abdul Halim Ali melalui surat terbuka kepada Perdana Menteri baru-baru ini, perkara ini penting kerana penemuan audit menunjukkan ketirisan berterusan serta kerugian besar ditanggung kerajaan sebelum ini disebabkan wujud campur tangan orang politik dalam kerajaan.

Dalam hal ini, kerajaan perlu memberi 'kebebasan' kepada Ketua Setiausaha kementerian (KSU) dan ketua jabatan mengurus fungsi dan tanggungjawab mereka sebagai 'pegawai pengawal perkhidmatan awam' dengan sewajarnya mengikut peraturan dan prosedur serta tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Secara timbal balas, kerajaan perlu meyakinkan penjawat awam tidak akan ada campur tangan politik dalam urusan tugas hakiki penjawat awam serta mereka diberi kebebasan melaksanakan tanggungjawab dengan penuh amanah dan integriti.

Kerajaan baharu juga diharap lebih bersikap terbuka, menghormati dan terus menyantuni penjawat awam sebagai rakan strategik penting dalam membangunkan negara.

Lebih penting, sebarang keputusan hendak diputus dan dilaksanakan kerajaan tidak dilakukan secara drastik sehingga mewujudkan kontroversi atau polemik sehingga dilihat mengancam kedudukan, status serta kebajikan penjawat awam.

Antara kelaziman yang sering terjadi sebelum ini adalah menukar pegawai atasan kementerian seperti KSU dan ketua jabatan atas alasan dangkal iaitu diketahui 'tidak sehaluan' dengan aspirasi kerajaan memerintah.

Perkara seumpama ini pernah terjadi selepas PRU14 apabila kerajaan yang terbentuk ketika itu melakukan rombakan terhadap barisan tertinggi pegawai kementerian tertentu serta mengancam mengurangkan bilangan penjawat awam atas alasan penjimatan.

Ini adalah antara perkara sensitif akan mengurangkan tahap kepercayaan penjawat awam serta rakyat terhadap kerajaan kerana dilihat tidak sensitif terhadap kebajikan serta pengorbanan mereka selama ini.

Selain itu, kerajaan baharu juga tidak patut menyekat atau menghentikan perancangan dan inisiatif serta insentif diumumkan kerajaan sebelum ini, sebaliknya perlu diteruskan demi memperkasa dan menjaga kebajikan penjawat awam.

Antara insentif terbabit adalah bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) tambahan khas sebanyak RM100 mulai Januari depan, tambahan Kadar Cuti Rehat Khas sebanyak lima hari menjadikan jumlah Cuti Rehat Khas 15 hari setahun kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan berkhidmat melebihi 10 tahun.

Selain itu, menaikkan kadar maksimum jumlah cuti rehat boleh dikumpulkan bagi tujuan anugerah wang tunai (GCR) daripada 160 hari kepada 180 hari serta pemberian Bantuan Khas Kewangan (BKK) Tahun 2023 kepada anggota Gred 56 ke bawah berjumlah RM700 dan RM350 bagi pesara kerajaan serta veteran tidak berpencen pada Januari tahun depan.

Inisiatif dan insentif ini dijanjikan kepimpinan kerajaan sebelum ini selaku majikan kepada penjawat awam dan tidak wajar ia ditarik semula hanya kerana berlaku perubahan tampuk pemerintahan.

Ironinya seperti kata Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat yang tidak mahu berulangnya kejadian sama seperti pada 2018 apabila inisiatif dijanjikan kerajaan sebelum itu tidak ditunaikan selepas berlaku peralihan teraju pemerintahan negara selepas PRU14.

Justeru, diharap Kerajaan Perpaduan yang terbentuk ini akan membuka 'buku baharu' dalam membina sinergi hubungan lebih akrab untuk berganding bahu dengan penjawat awam berpaksikan tahap kepercayaan dan keyakinan tinggi dengan meletakkan keutamaan kepada proses pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat.

Timbalan Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X