Isnin, 28 November 2022 | 12:05pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Kabinet perlu dianggotai individu berprestasi tinggi, berintegriti

Selepas persoalan siapakah Perdana Menteri ke-10 terjawab dengan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada khamis lalu, tumpuan kini beralih kepada pembentukan Kabinet dan siapakah calon yang bakal mengisi anggota Jemaah Menteri.

Memandangkan penubuhan Kerajaan Perpaduan ini berasaskan kerjasama politik merentasi politik kepartian, rakyat mahukan kerajaan diwujudkan nanti dapat meneruskan aspirasi perpaduan demi menjamin kestabilan politik. Ini semua ada kaitan dengan soal kesejahteraan rakyat pasca pandemik COVID-19.

Anwar seperti diketahui adalah pemimpin berpengalaman luas dan pernah dilantik ke jawatan tertinggi dalam kerajaan seperti Timbalan Perdana Menteri (TPM).

Beliau pernah dilantik sebagai Menteri Kewangan dan Menteri Pendidikan. Namun, sebagai Perdana Menteri, beliau memerlukan pasukan terbaik dapat memenuhi harapan rakyat.

Dalam hal ini, beliau sudah tentu mempunyai tanggungjawab berat untuk meneliti, mempertimbang dan akhirnya memilih anggota jemaah menteri difikirkan mampu bekerja dalam satu pasukan.

Anggota Kabinet ini bukan sahaja mewakili semua kepentingan pihak dalam Kerajaan Perpaduan, tetapi berprestasi tinggi dan mampu menggalas amanah dengan sebaik mungkin.

Jika silap percaturan dengan meletakkan calon tidak layak dan bersesuaian, ia akan menjejaskan persepsi dan meruntuhkan keyakinan rakyat terhadap Kerajaan Perpaduan ini. Saiz Kabinet antara perkara pokok yang sering dibangkitkan.

Dalam pentadbiran kerajaan sebelum ini, saiz Kabinet sangat besar bagi menampung keperluan politik ketika itu. Namun, menurut Perdana Menteri, pembentukan kerajaan kali ini akan mengecil berbanding sebelum ini bagi tujuan penjimatan.

Bagaimanapun, jawatan TPM akan ditambah menjadi dua selari dengan janji dan hasrat untuk melantik seorang wakil daripada Sabah dan Sarawak. Apabila saiz Kabinet mengecil, banyak pihak percaya ada kementerian bakal dimansuh atau digabungkan.

Antara menjadi tumpuan utama adalah Kementerian Pendidikan (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT). Kedua-dua kementerian ini sering digabung dan dipisahkan mengikut keperluan pentadbiran semasa.

Apabila digabungkan, ia menjadi kementerian terlalu besar sehingga menyebabkan sektor pendidikan tinggi kurang mendapat perhatian kerana disibukkan dengan isu sekolah dan guru.

Kedua-dua kementerian ini tidak sepatutnya menjadi korban. KPM dan KPT perlu dikekalkan secara berasingan bagi membolehkan perhatian dan fokus diberikan untuk pendidikan rendah dan sekolah serta pendidikan tinggi dengan lebih berkesan.

Ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH), penggabungan kementerian berlaku seperti dalam Kementerian Pendidikan juga Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar.

Namun, apabila kerajaan baharu dibentuk pada Mac 2020, kementerian ini dipecahkan. Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar misalnya dipecahkan kepada tiga kementerian berasingan, iaitu Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KETSA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Air dan Alam Sekitar (KASA).

Selain itu, Kementerian Perpaduan Negara adalah kementerian baharu diwujudkan pentadbiran lalu bagi menangani isu perpaduan nasional. Kementerian ini sangat penting kerana soal perpaduan adalah matlamat utama negara.

Berpengalaman, bebas daripada isu integriti

Dalam pada itu, calon anggota Kabinet mesti mempunyai pengalaman dan bebas daripada isu integriti dan salah laku. Mereka perlu menjadi 'menteri bekerja', bukan sekadar pandai berkata-kata dan membuat jenaka.

Selain soal saiz Kabinet, pemilihan anggota Kabinet yang berwibawa juga penting untuk diputuskan secara bijaksana. Perdana Menteri sudah tentu akan mempertimbangkan calon berkelayakan daripada setiap parti membentuk Kerajaan Perpaduan.

Mereka juga mesti bertindak sebagai pemikir dan nakhoda mampu memimpin kementerian dengan kepemimpinan yang membawa perubahan dan kesegaran baharu.

Dalam PH, Ahli Parlimen pernah dilantik menjadi anggota Kabinet sebelum ini boleh diberikan kepercayaan semula seperti Anthony Loke dan Yeo Bee Yin.

Dalam Barisan Nasional (BN), terdapat beberapa Ahli Parlimen wajar dipertimbangkan disenarai dalam Kabinet pimpinan Anwar antaranya Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hassan; Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi turut muncul sebagai calon TPM atau ahli Kabinet namun pemilihan beliau dijangka boleh menimbulkan polemik berdasarkan sentimen semasa.

Bagi wakil Sabah dan Sarawak, bekas menteri seperti Datuk Seri Fadillah Yusof, Datuk Seri Shafie Afdal dan Datuk Seri Nancy Shukri boleh dicadangkan menyertai Kabinet. Fadillah turut

disebut-sebut calon TPM mewakili Sabah dan Sarawak.

Selain cadangan Ahli Parlimen daripada parti membentuk Kerajaan Perpaduan, anggota Kabinet juga boleh dipertimbangkan dilantik dalam kalangan ahli profesional dan teknokrat.

Gabungan ahli politik dan ahli profesional juga teknokrat akan mewujudkan Kabinet kukuh dan ampuh sekali gus dapat melaksanakan tugas dengan sebaik mungkin.

Secara tuntasnya, pembentukan Kabinet Kerajaan Perpaduan ini amat penting bagi mengekalkan momentum ke arah kestabilan politik negara.

Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X