Ahad, 27 November 2022 | 2:10pm
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berkenan menyampaikan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Istiadat Pengurniaan sebagai Perdana Menteri ke-10 di Istana Negara, Khamis lalu. - Foto BERNAMA
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berkenan menyampaikan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia kepada Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Istiadat Pengurniaan sebagai Perdana Menteri ke-10 di Istana Negara, Khamis lalu. - Foto BERNAMA

Menjunjung kasih Tuanku berhikmah rungkai kemelut politik negara

MENYUSURI kronologi pembentukan Kerajaan Perpaduan dan pelantikan Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) berakhir Sabtu lalu, jelas sekali polemik yang berlaku berjaya diuruskan dengan cermat dan teliti institusi istana dan Raja.

Dalam konteks ini, Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong dan barisan Sultan serta Raja negeri menjadi institusi utama dalam merungkai polemik 'ketiadaan' parti atau gabungan parti berjaya mendapat majoriti mudah bagi membentuk kerajaan dan melantik Perdana Menteri.

Oleh kerana itu, situasi ini mendatangkan sedikit komplikasi kepada peranan Yang di-Pertuan Agong dalam pelaksanaan amanah Perlembagaan digalas baginda.

Sekiranya ada parti atau gabungan mendapat kerusi majoriti, keadaan ini membantu memudahkan proses penentuan majoriti bagi seseorang diperkenan sebagai Perdana Menteri.

Melihat kepada ketidaktentuan situasi politik negara yang berlaku selepas PRU15, sesungguhnya institusi beraja menggalas tanggungjawab amat besar menjalankan amanahnya.

Kita bayangkan bagaimana Yang di-Pertuan Agong perlu menyelesaikan keadaan ini. Amanah itu harus baginda lunaskan dalam keadaan emosi rakyat termasuk penyokong parti bercampur baur dengan 'suhu' agak tinggi, sama ada di pihak yang menang atau kalah pada PRU15, sehingga pasukan keselamatan dikerah untuk bersiap siaga.

Boleh dikiaskan keadaan baginda pada ketika itu, 'seumpama berjalan di atas bara api'. Andai terlebih memberat, baginda juga yang sakit dan jika silap langkah, institusi beraja akan terpalit dalam kancah 'pasar politik kepartian'.

Pasar politik ini agak ganas terhadap institusi beraja. Pengalaman negara lain kehilangan institusi beraja menunjukkan permainan politik membakar. Dalam kata lain, kehilangan institusi beraja di negara lain berpunca daripada hubungan antara institusi beraja dan politik kepartian.

Ironinya, apabila demokrasi menghadapi masa sukar seperti dilalui negara selepas PRU15 yang mana tiada pihak mendapat kerusi majoriti mudah, maka institusi beraja diharapkan menjadi pengadil dan menyelesai kemelut demokrasi ini.

Baginda hendaklah mententeramkan suhu sedang panas atau menyejukkan suasana hangat sehingga menjadi harmoni dan membolehkan semua pihak bertaut semula.

Andai silap langkah dalam melaksanakan amanah ini, walau sekelumit pun, ia akan mendatangkan reputasi buruk kepada institusi beraja sehingga ada warga membuat kecaman ke atas Raja secara peribadi.

Secara umumnya terdapat kalangan warga kita yang seolah-olah membayangkan institusi beraja sebagai institusi maksum dan tiada cacat cela.

Mereka membayangkan institusi beraja hendaklah sentiasa sempurna dan menyempurnakan amanah tanpa sebarang calar. Sekali fikir perkara ini seperti tidak adil kepada institusi diraja.

Apabila berjaya, baginda dipuji dan apabila ada tidak berpuas hati, baginda pula dikeji. Namun, hakikat ini diterima institusi beraja kerana itulah hikmah dan kebijaksanaan Ketua Negara.

Sifat terpuji, miliki kebijaksanaan

Raja adalah seorang bitara, tiada tara dalam hal kebijaksanaan. Oleh kerana itu, sifat Raja terpuji seperti dinyatakan al-Ghazali dalam kitabnya Nasihat al-Muluk antara lain hendaklah, bijak dan sangat cerdik, baik perangai, berani, kasih kepada rakyat, baik bicara, banyak membaca, bersifat teliti dalam segala hal perkara dan bersikap adil kepada semua rakyat baginda.

Sifat mulia ini diwarisi Raja kita dan baginda semua digelar dengan gelaran menunjukkan sikap dan sifat baginda. Segala perkara ini pula dijadikan syarat pemasyhuran seorang Raja sebagai pemerintah di negeri menurut Undang-Undang Tubuh Negeri.

Justeru, pada peringkat Persekutuan, negara mewarisi institusi beraja, iaitu institusi Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja yang mempunyai kedudukan dan ciri-ciri 'kedaulatan Raja' tersendiri, mengamalkan hikmah dengan menimbang teliti semua perkara serta berhati-hati dalam menuturkan kata.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media pertamanya di Sungai Long Club House, Khamis lalu. - NSTP/Aswadi Alias
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sidang media pertamanya di Sungai Long Club House, Khamis lalu. - NSTP/Aswadi Alias

Apabila institusi beraja menghadapi cabaran amalan demokrasi pasca merdeka, dengan perkembangan semasa, di mana demokrasi mengutamakan kebebasan diri dan bersuara, institusi beraja memerlukan rakyat atau warga menjadi benteng dan perisai kuat. Ini bertujuan memastikan seluruh lapisan masyarakat faham tanggungjawab digalas institusi beraja.

Berdasarkan rentetan peristiwa semasa yang berlaku, tidak dinafikan institusi beraja berjaya menjadi institusi membawa 'pancuran keadilan' kepada Malaysia. Namun, masa depan institusi beraja bergantung kepada beberapa faktor, termasuk rakyat, institusi demokrasi dan institusi beraja sendiri.

Walau apa pun terjadi, institusi beraja perlu dipertahan dan pada masa sama hendaklah sentiasa memastikan benteng serta perisai bagi institusi beraja terus diperkemas.

Ia boleh dilakukan dengan mengukuhkan pendidikan secara formal mengenai tanggungjawab, kedudukan, peranan dan sumbangan institusi beraja.

Pada masa sama kita tidak boleh membiarkan masyarakat antarabangsa meletakkan cermin atau standard kita harus capai dalam mempertahankan institusi beraja kita.

Sesungguhnya institusi ini mendepani pelbagai cabaran merentasi zaman, bukan dalam masa puluhan tahun, tetapi ratusan tahun. Ketika penjajahan atau pentadbiran kuasa asing, cabaran ketara dihadapi Raja sehingga ada waktu terdapat tindakan baginda dibuat tanpa sepenuh rela. Justeru, sejarah institusi beraja mewarnai sebahagian besar lipatan sejarah negara.

Dari zaman sebelum penjajahan atau pentadbiran kuasa asing, sehingga zaman kemerdekaan dan seterusnya hingga kini, institusi beraja sentiasa menjadi tumpuan setiap lapisan masyarakat.

Bukan itu sahaja, masyarakat luar negara juga sentiasa memerhati tingkah laku institusi beraja. Apatah lagi negara kita mempunyai banyak institusi beraja dan mempunyai kuasa serta peranan dinyatakan dalam Perlembagaan secara bertulis.


Penulis adalah Pensyarah Undang Undang, Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA)


Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X