Khamis, 24 November 2022 | 1:10pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Tsunami luar bandar berpotensi ubah parti dominasi Melayu-Islam

Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menunjukkan kompleksiti kecenderungan pengundi hingga memberikan kesan kepada prestasi setiap parti atau gabungan politik.

Pakatan Harapan (PH) dilihat berjaya menafikan prestasi lawannya dengan meraih bilangan kerusi paling tinggi, iaitu 82 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) membuat 'kemunculan semula' dengan menafikan mobilisasi Barisan Nasional (BN) apabila meraih 73 kerusi.

Ini menjadikan BN mencatatkan prestasi terburuk dalam sejarah pembabitannya pada pilihan raya dengan keputusan PRU15 secara tidak langsung memberikan isyarat parti dominan Melayu itu ditolak sebahagian besar pengundi dalam konteks persaingan pilihan raya rejim hibrid.

Persoalan asas di sini adalah apakah yang sebenarnya berlaku dan sejauh manakah pengundi luar bandar menyatakan ketidakpuasan hati kepada BN dengan menterjemahkan undi kepada PN?

Fenomena ini kurang diteliti kerana tumpuan umum masih kepada Istana Negara dan ibu pejabat gabungan parti serta hotel yang menjadi lokasi perbincangan 'langkah' seterusnya, tetapi keputusan PRU15 memberikan tanggapan bahawa ideologi mendukung ketuanan Melayu-Islam secara perlahan berpindah kepada satu gagasan politik baharu.

Tafsiran seumpama ini perlu ditelusuri dengan melihat aspek persaingan dalam konteks luar bandar. Seperti diketahui secara umum, kerusi Parlimen dikategorikan sebagai luar bandar sinonim dengan kubu kuat parti dominan BN-UMNO. Penguasaan BN terhadap kawasan berkenaan memberikan laluan mudah untuk BN/UMNO membentuk kerajaan pada peringkat Persekutuan dan negeri seperti terbukti beberapa dekad lalu.

Luar bandar mudah ditawan

Dengan memaksimumkan mobilisasi mereka melalui perincian agenda pembangunan mampan, kawasan luar bandar dengan mudah dapat ditawan dan kesetiaan terhadap BN-UMNO dapat diolah.

Walaupun BN buat kali pertama gagal membentuk kerajaan dalam PRU14 pada Mei 2018, ia tidak menjadikan pengundi luar bandar mengalihkan kesetiaan kepada PH sepenuhnya.

Seperti dipamerkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor masing-masing pada 2021 serta 2022, boleh dihujahkan kadar keluar mengundi rendah dan sokongan pengundi luar bandar memberangsangkan mengangkat BN ke tampuk kuasa semula di kedua-dua negeri terbabit.

Berbekalkan tahap kesetiaan tidak berbelah bahagi, indikator PRN Melaka dan Johor, naratif Melayu Islam dan sentimen anti-DAP dilihat semakin menebal, maka tidak hairan BN-UMNO begitu yakin mereka boleh memenangi PRU15 hingga mendesak PRU diadakan secepat mungkin.

Namun, apa berlaku adalah sebaliknya. Sebahagian besar pemerhati politik tempatan juga tidak menjangkakan PN berkeupayaan mencatatkan prestasi sedemikian hingga ia sesuatu di luar duga, tetapi memberikan beberapa isyarat jelas.

Pertama, sebahagian besar pengundi menafikan BN dengan memilih PN, terutama pengundi Melayu. Kedua, penolakan besar-besaran BN itu memperlihatkan bahawa gabungan itu bukan setakat kehilangan undi Melayu, bahkan undi bukan Melayu juga. Ketiga, pertambahan bilangan pengundi muda juga tidak menyebelahi BN dan naratif sokongan orang muda cenderung kepada PN dan PH.

Walaupun BN-UMNO menjuarai isu Melayu Islam sejak lebih separuh abad, itu bukan jaminan parti dominan itu akan kekal mendominasi landskap politik tempatan. Ini kerana PN berjaya mengolah satu naratif baharu, iaitu kebangkitan pengundi memprotes BN-UMNO dan tsunami luar bandar, terutama pengundi FELDA.

Contohnya, Padang Besar menjadi kerusi Parlimen luar bandar dimenangi PN dengan majoriti 12,514 undi. Kerusi luar bandar di Kedah seperti Kubang Pasu, Padang Terap, Pendang, Sik, Baling dan Kulim Bandar Baharu berjaya dirampas PN daripada PH dan BN. Di Kelantan misalnya, kerusi Gua Musang yang sebelum ini dikenali sebagai kerusi selamat BN-UMNO berjaya dirampas PN.

Fenomena sama juga berlaku di Terengganu apabila PN menguasai semua kerusi. Contohnya, kerusi Kemaman, terdapat kira-kira lapan kawasan FELDA dan PN berjaya merampas dengan majoriti 27,179 undi. Ini menjadikan perbahasan trend pengundian luar bandar semakin menarik untuk ditelusuri.

PN sebagai alternatif

Fenomena peralihan luar bandar juga berlaku di beberapa kerusi di Perak, Selangor, Pahang, Melaka, dan Johor. Menarik sekali, seperti di kerusi Mersing, Johor, walaupun PN masih tidak memberikan implikasi besar di negeri berkenaan, sedikit sebanyak parti itu berjaya menawan kerusi itu. Terdapat sekurang-kurangnya 12 kawasan FELDA di Parlimen Mersing, kejayaan calon PN merampas kerusi berkenaan daripada BN-UMNO membuktikan pengundi luar bandar mula mencari alternatif baharu.

Jika fenomena ini tidak ditangani dengan baik, tidak mustahil dalam PRN akan datang, kerajaan Johor akan bertukar tangan dan ini boleh diaplikasikan kepada negeri lain.

Tsunami pengundi luar bandar ini menjadi fenomena terlepas pandang. Peralihan berlaku ini dilihat dalam kerangka agak signifikan. Jika PH mengekalkan status quo melalui sebahagian besar pengundi bukan Melayu dan sejumlah kecil pengundi Melayu, manakala PN berjaya merampas kubu kuat BN dengan sebilangan besar pengundi Melayu yang sebelum ini setia mengundi BN.

Oleh itu, sentimen pengundi luar bandar ini berkemungkinan besar ingin menunjukkan terdapat gabungan lain boleh menggantikan BN itu sendiri, iaitu PN. Dalam konteks ideologi dan pegangan Melayu Islam, BN dan PN ini tidak banyak perbezaan, cuma beberapa figura dalam BN dilihat tidak meyakinkan dan krisis dalaman kepartian yang akhirnya menyebabkan BN dihukum pengundi.

Ini menjadikan PN sebagai satu alternatif boleh diterima dalam kalangan pengundi Melayu. Faktor di sebalik kekuatan PN ini didorong parti seperti PAS yang cuba mewujudkan naratif anti-DAP dianggap mampu mendorong pengundi Melayu luar bandar memberikan mandat dan kuasa untuk menerajui tampuk pemerintahan negara ini.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Berita Harian X