Rabu, 23 November 2022 | 12:10pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Pinda Perlembagaan, masukkan tatacara urus Parlimen tergantung

Selepas tamat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), tiada satupun blok politik mempunyai majoriti mudah, iaitu jumlah 112 kerusi. Ini kerana Pakatan Harapan (PH) memenangi 82 kerusi yang menjadi gabungan parti mempunyai kerusi tertinggi tetapi belum cukup untuk membentuk kerajaan, manakala Perikatan Nasional (PN) pula mendapat 73 kerusi.

Disebabkan tiada gabungan parti mempunyai majoriti mudah, Parlimen tergantung berlaku. Yang di-Pertuan Agong menitahkan supaya parti terbabit menyerahkan jumlah sokongan ahli Dewan Rakyat kepada calon Perdana Menteri dalam bentuk pernyataan bersumpah sebelum 2 petang semalam (selepas tempoh dilanjutkan dari jam 2 petang, kelmarin).

Ada dua blok parti terkehadapan, iaitu PH dan PN dengan dua calon Perdana Menteri ialah Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong kemudian menitahkan ketua gabungan PH, iaitu Anwar dan ketua gabungan PN, Muhyiddin menghadap baginda, semalam kerana mendapati tiada mana-mana blok mendapat majoriti mudah.

Senario Parlimen tergantung berlaku di banyak negara. Di Britain, selepas Perdana Menteri daripada Parti Konservatif, Ted Heath hilang majoriti pada Pilihan Raya 1974, Parti Buruh mendapat kerusi terbanyak, iaitu 301 kerusi (jumlah majoriti mudah ialah 318) dijemput untuk menubuhkan kerajaan.

Ia bermaksud bahawa wujud satu konvensyen Perlembagaan di Britain bahawa dalam keadaan Parlimen tertangguh. Malaysia mengamalkan sistem Westminster dan banyak konvensyen Perlembagaan Westminster menjadi sebahagian peruntukan Perlembagaan, tetapi Malaysia tidak terikat dengan amalan Perlembagaan tidak bertulis di Britain.

Namun, Malaysia boleh menggunakan amalan Perlembagaan berkenaan tanpa terikat dengannya. Justeru, Yang di-Pertuan Agong menitahkan setiap blok parti mempunyai majoriti menyembahkan jumlah sokongan ahli Parlimen melalui Speaker Dewan Rakyat untuk ditentukan siapa layak dilantik sebagai Perdana Menteri.

Undi percaya ahli Dewan Rakyat 

Membentuk kerajaan minoriti adalah satu pilihan. Kalau berdasarkan konvensyen di Britain, PH mempunyai kerusi terbanyak boleh dijemput membentuk kerajaan. Selepas itu, undi percaya dibentangkan untuk menentukan, sama ada kerajaan PH akan mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Rak- yat.

Jika gagal, Perdana Menteri kerajaan PH hendaklah meletak jawatan. Dalam mentafsir parti mempunyai kerusi terbanyak, amalan di Britain ialah parti atau blok mempunyai kerusi terbanyak selepas pilihan raya. Namun, tafsiran lain juga boleh terpakai, iaitu parti bergabung selepas pilihan raya dan membentuk satu blok baharu yang mempunyai kerusi terbanyak. Namun, ia terpulang kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong untuk membuat tafsiran sesuai.

Satu lagi kerajaan boleh dibentuk ialah kerajaan perpaduan. Semua parti bertanding dan mempunyai kerusi di Parlimen bergabung dan membentuk kerajaan berdasarkan Perjanjian Keyakinan dan Pembekalan (CSA) bagi mewujudkan kestabilan dalam kerajaan.

Hal ini turut dijelaskan Anwar pada sidang media selepas menghadap Yang di-Pertuan Agong apabila menyatakan baginda menitahkan keperluan menubuhkan kerajaan perpaduan inklusif untuk semua kaum, agama dan wilayah.

Dalam konteks ini, CSA berfungsi untuk memastikan sokong berterusan kepada kerajaan, terutama di Parlimen untuk meluluskan undang-undang penting seperti bajet tahunan serta undang-undang penting. Walaupun kerajaan perpaduan mempunyai risiko, ia mungkin penyelesaian terbaik jika tiada blok mendapat majoriti mudah selepas pelbagai rundingan antara parti dilakukan.

Harus diakui, kerajaan perpaduan mungkin terdedah kepada permintaan daripada gabungan parti yang juga mungkin tidak munasabah dan sukar dilaksanakan atas pelbagai sebab.

Tiada templat atasi isu Parlimen tergantung 

Hakikatnya, ruang lingkup Perlembagaan sedia ada tidak menyediakan templat untuk mengatasi isu Parlimen tergantung. Justeru, selepas kerajaan baharu ditubuhkan nanti, pindaan Perlembagaan untuk mengatasi masalah Parlimen tergantung perlu difikirkan.

Misalnya, tatacara untuk menangani Parlimen tergantung perlu diadakan dengan mengkaji dan mengguna pakai amalan dari negara lain. Nepal misalnya sudah memasukkan amalan di Britain jika berlaku Parlimen tergantung.

Britain sendiri mewujudkan Cabinet Manual, termasuk tatacara menghadapi Parlimen tergantung untuk mengelakkan kecelaruan timbul jika konvensyen Perlembagaan digunakan.

Mungkin juga Malaysia boleh memikirkan peruntukan Perlembagaan Itali apabila berlaku situasi tiada parti mempunyai majoriti mudah, Presiden akan memanggil ketua parti politik untuk mengadakan rundingan bagi menubuhkan kerajaan.

Seorang daripada ketua parti dilantik sebagai ketua perunding dan beliau selalunya ketua parti mempunyai kerusi terbanyak. Selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, kerajaan baharu hendaklah membentangkan usul undi percaya di Parlimen.

Keperluan tatacara ini pada masa depan amat penting kerana Parlimen tergantung mempunyai kesan tidak baik kepada negara jika tidak diuruskan segera. Kecepatan penyelesaiannya bergantung kepada parti politik untuk menyelesaikan kemelut itu. Sebagai rakyat, kita mengharapkan penyelesaian segera kerana kita semua mahu meneruskan kehidupan normal seberapa segera.

Pakar Perlembagaan

Berita Harian X