Sabtu, 12 November 2022 | 9:45am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Perancangan undang-undang dapat diterus dengan mandat baharu

Undang-undang antara asas setiap sudut kesejahteraan dan pencapaian masyarakat. Ini kerana tiada mana-mana masyarakat bergerak secara 'pandu auto' tidak dikawal, sebaliknya memerlukan pelbagai kawalan termasuk dalam bentuk undang-undang.

Oleh itu, dalam masyarakat demokrasi seperti Malaysia, terdapat badan utama membuat undang-undang, iaitu Parlimen pada peringkat Persekutuan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada peringkat negeri.

Malaysia juga mempunyai badan pelaksana undang-undang, iaitu pihak eksekutif dan badan kehakiman untuk mentafsir undang-undang.

Apabila membincangkan hal berkaitan undang-undang, ia membabitkan ketiga-tiga institusi ini.

Hakim dan ahli politik Inggeris, Sir William Blackstone, berkata undang-undang, dalam erti kata paling umum dan menyeluruh 'ialah peraturan atau tindakan ditetapkan pihak atasan dan mesti dipatuhi pihak bawahan.'

Bagi negara kita, Perlembagaan menjadi undang-undang paling tinggi, manakala Parlimen pula badan perundangan utama.

Tujuan undang-undang termasuk mengawal tingkah laku manusia hingga perbuatan atau tingkah lakunya menjadi terkawal. Oleh itu, undang-undang boleh menyumbang untuk menjamin tingkah laku diingini dan mencegah tingkah laku tidak diingini.

Pada masa sama, undang-undang juga boleh menyumbang kepada penyelesaian pertikaian dan undang-undang menjadi pelindung keselamatan serta kedaulatan negara.

Bentuk realiti sosial 

Justeru, fungsi undang-undang paling utama adalah membentuk realiti sosial. Realiti sosial bermaksud keadaan masyarakat sebenar menjurus kepada kewujudan masyarakat diidamkan.

Dalam hal ini, undang-undang adalah alat membentuk, merangka dan membina hampir semua bidang hubungan antara manusia pada peringkat individu serta institusi dan undang-undang boleh membentuk masa depan masyarakat dan negara.

Bagi tujuan membuat undang-undang, norma kehidupan Keluarga Malaysia mempunyai pengaruh agama dan moral serta identiti atau ideologi seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara sebagai asas kepada undang-undang. Setiap undang-undang hendaklah berasaskan realiti masyarakat.

Justeru, penggubal undang-undang dipilih hendaklah mereka yang berupaya untuk membuat undang-undang boleh membentuk masyarakat sejahtera serta dapat membuat undang-undang mampu menjamin keselamatan dan kedaulatan negara.

Oleh itu, masa depan Malaysia juga boleh dipengaruhi undang-undang diwujudkan pada masa kini.

Pencapaian pentadbiran kerajaan diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini, dalam konteks undang-undang adalah amat baik. Ini kerana penggubal undang-undang berjaya meluluskan lebih kurang 40 rang undang-undang (RUU), termasuk beberapa undang-undang penting, tiga RUU pindaan Perlembagaan Persekutuan yang bertujuan membaik pulih hubungan dalam negara Persekutuan dan banyak pindaan dan gubalan akta baharu.

Walaupun kerajaan pada ketika itu mungkin mendapat manfaat daripada memorandum persefahaman politik dipersetujui antara kerajaan dengan Pakatan Harapan (PH), disebabkan keadaan begitu dinamik, termasuk senario kesihatan awam dan politik, kerajaan sebenarnya menampilkan kekuatan tersendiri untuk bukan sahaja menggubal undang-undang biasa, bahkan berjaya meminda Perlembagaan Persekutuan.

Kejayaan ini luar biasa kerana seperti kita maklum, kerajaan ketika itu adalah kerajaan ketiga Parlimen ke-14 dan kerajaan terbabit dipersoalkan kepercayaannya pada awal lantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Kejayaan dalam penggubalan undang-undang ini disertai juga kejayaan mengukuhkan RUU melalui jawatankuasa khas. Ini secara langsung mengukuhkan peranan Parlimen sebagai badan perundangan. Ini adalah pencapaian tinggi bagi kerajaan dan penggubal undang-undang.

Disebabkan pelbagai kejayaan atau pencapaian dalam penggubalan undang-undang, saya menyebutkan beberapa pencapaian sebagai contoh sahaja.

Penggubalan undang-undang seperti berkaitan gangguan seksual yang sekian lama tergantung menunjukkan kejayaan pada kerajaan dan penggubal undang-undang. Undang-undang ini adalah penting bagi Keluarga Malaysia kerana ia membabitkan kebebasan dan maruah diri Keluarga Malaysia.

Bagi hal berkaitan kestabilan politik, kejayaan menggubal undang-undang antitukar parti boleh dianggap satu kejayaan. Walaupun undang-undang ini belum lagi pasti berjaya menghalang perubahan kerajaan pada masa akan datang, sekurang-kurangnya ia dapat 'menyukarkannya' daripada berlaku.

Undang-undang berkaitan autoriti disiplin polis juga dapat diluluskan selepas melalui beberapa episod kontroversi pada pengenalan undang-undang itu pada masa kerajaan terdahulu.

RUU Generasi Penamat antara usaha penting menjaga generasi akan datang. Ia kejayaan kepada kerajaan mementingkan jaminan kesihatan kepada generasi akan datang. Keterbukaan kerajaan untuk bersetuju merujuk RUU itu kepada suatu jawatankuasa khas adalah perlu dipuji dan diambil teladan.

Pencapaian Keluarga Malaysia 

Antara pencapaian utama Keluarga Malaysia adalah apabila Ismail Sabri mengumumkan terdapat 147 undang-undang perlu disemak semula. Perkara ini sebenarnya sudah banyak dibicarakan secara ilmiah oleh akademik, sekali gus amat disedari juga pengamal undang-undang di peringkat Peguam Negara dan peguam.

Di bawah kepemimpinan Ismail Sabri juga, Jawatankuasa Memperkasakan Mahkamah Syariah dihidupkan kembali setelah terhenti ketika pertukaran kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). Segala pencapaian pastinya masih lagi wujudnya harapan. Setiap pencapaian tidak semestinya menunjukkan sesuatu perkara itu perlu berhenti. Penambahbaikan kepada pencapaian menjadi harapan. Begitu juga dalam konteks undang-undang. Apa yang penting di sini, pencapaian sudah dilakukan dan kesinambungan juga perlu dilaksanakan.

Dengan terbubarnya Parlimen, 10 Oktober lalu, beberapa perancangan kerajaan di bawah pimpinan Ismail Sabri untuk membuat pembaharuan dalam bidang undang-undang, termasuk memperkenalkan RUU Pendanaan Politik, terhenti seketika.

Begitu juga dengan perancangan memperkasakan Parlimen dengan mengembalikan undang-undang berkaitan pentadbirannya seperti mengembalikan dalam bentuk baharu Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 agar menjadi lebih bebas, terutama dari segi peruntukan dana dan hal berkaitan proses penggubalan undang-undang.

Semoga mandat baharu dijangka diperoleh selepas PRU15 pada Sabtu depan akan membolehkan pembaharuan dalam bidang undang-undang dapat diteruskan lebih intensif dan komprehensif lagi.

Pensyarah Undang-Undang, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia(UIAM)

Berita Harian X