Selasa, 1 November 2022 | 3:15pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Pilih dengan bijak elak perpecahan parti Melayu-Islam lebih parah

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bakal menyaksikan persaingan sengit antara parti politik bertanding bagi mengisi kekosongan 222 kerusi Dewan Rakyat.

Sebanyak 116 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) turut direbut parti nanti membabitkan tiga negeri iaitu Pahang (42 kerusi), Perak (59 kerusi) dan Perlis (15 kerusi) serta satu Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Bugaya, Sabah yang diadakan serentak dengan PRU15.

Enam negeri, iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang berada di bawah kuasa Pakatan Harapan (PH) serta Kedah, Kelantan dan Terengganu dikuasai PAS enggan membubarkan DUN serentak dengan Parlimen.

Namun, PRU15 dijangka lebih mencabar dan mempunyai keunikannya tersendiri untuk diperhalusi terutama dalam kerangka politik Melayu-Islam.

l Pertama, kebanyakan parti utama akan turun ke gelanggang PRU15 mempunyai pengalaman berada dalam kerajaan Persekutuan termasuk parti berteraskan agenda Melayu-Islam.

Maka, PRU15 boleh memberi pilihan kepada pengundi untuk memilih calon atau parti mereka yakini dapat membawa negara ke arah lebih baik selepas kebanyakan parti politik berpeluang menjadi sebahagian pentadbir sejak PRU14, sama ada melalui PH, Perikatan Nasional (PN) mahupun Barisan Nasional (BN).

l Kedua, sungguhpun selepas PRU14 wujud kerjasama politik antara parti Melayu-Islam di negara ini khasnya antara UMNO-PAS menerusi Muafakat Nasional (MN) dan kemudian UMNO-PAS-BERSATU serta beberapa parti dari Sabah dan Sarawak melalui pembentukan kerajaan PN, namun PRU15 memperlihatkan parti terbabit kembali 'berentap'.

l Ketiga, bilangan parti politik berteraskan agenda Melayu-Islam akan bertanding dalam PRU15 dijangka bertambah berbanding sebelumnya. Parti utama terbabit adalah UMNO, PAS, BERSATU, Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).

Persoalan utama yang muncul adalah, sejauh manakah peluang parti terbabit untuk menang bagi membentuk kerajaan pada pilihan raya kali ini?

Hal ini kerana lebih banyak parti politik Melayu-Islam bersaing dengan semua turut meletakkan harapan kepada orang Melayu. Malah, masing-masing turut menjadikan orang Melayu sebagai pangkalan sokongan untuk meraih undi.

l Keempat, PRU15 bakal menjadi paling 'meriah' dan sengit jika bersandarkan kepada kewujudan lebih banyak parti atau gabungannya untuk bertanding bagi merebut kerusi 222 kerusi Parlimen.

Sebagai persiapan bagi mendepani PRU15, setiap parti politik mengadakan kerjasama terutama parti Melayu-Islam dengan wujudnya jajaran politik baharu terutama di Semenanjung.

Kini wujud empat gabungan parti utama di Malaysia, iaitu BN (UMNO, MCA, MIC serta Parti Bersatu Rakyat Sabah), PH (PKR, Parti Amanah Negara, DAP, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, Parti Ikatan Demokratik Malaysia), PN (BERSATU, PAS, GERAKAN) serta Gerakan Tanah Air (PEJUANG, PUTERA, BERJASA, IMAN).

Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) masing-masing berusaha meraih sokongan di Sarawak dan Sabah.

Ini tidak termasuk Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Parti Warisan (WARISAN) yang akan memberikan saingan kepada parti yang lebih dominan.

Jumlah calon bertanding bagi kerusi Parlimen juga bakal menyaksikan peningkatan berbanding PRU14, iaitu 687 calon dan PRU13 (579 calon).

Saingan sengit rebut sokongan pengundi

Di Semenanjung misalnya, memandangkan lebih banyak gabungan dan kerjasama politik wujud, PRU15 bakal menyaksikan persaingan sengit merebut sokongan pengundi Melayu-Islam antara tiga gabungan besar seperti BN, PH dan PN membabitkan sekurang-kurangnya pertandingan tiga penjuru khususnya di kawasan majoriti pengundi Melayu.

UMNO misalnya perlu bersaing dengan BERSATU menerajui PN, selain PAS serta PKR, AMANAH dan PEJUANG bagi mendapatkan undi Melayu-Islam. Kehadiran blok parti Melayu Islam baharu sedikit sebanyak memecahkan undi Melayu dan menyebabkan pola pengundian Melayu akan bertaburan.

l Kelima, PRU15 bakal menentukan parti Melayu-Islam manakah menjadi pilihan pengundi Melayu terutama bagi 71 kawasan Parlimen majoriti orang Melayu melebihi 70 peratus.

Namun, terdapat 46 kerusi Parlimen memiliki majoriti pengundi Melayu 50 hingga 69 peratus, 18 kerusi Parlimen dengan jumlah pengundi Melayu antara 40 hingga 49 peratus dan selebihnya, iaitu 30 kerusi Parlimen dengan majoriti pengundi bukan Melayu.

Berdasarkan rekod PRU14, BN menguasai kawasan majoriti Melayu melebihi 70 peratus, manakala PH menguasai kawasan Parlimen majoriti masyarakat Melayu 50 hingga 69 peratus dan 40 hingga 49 peratus serta kawasan bukan Melayu.

l Keenam, masih sukar untuk diramal parti manakah mampu dapat membentuk kerajaan Persekutuan. Setiap parti mempunyai kelebihan dengan peluang untuk menang masih terbuka.

l Ketujuh, PRU15 ini akan menjadi kayu pengukur parti politik Melayu-Islam dianggap masih baharu dalam persada politik tanah air. Sekiranya gagal meraih sebarang kemenangan, boleh menyebabkan parti terbabit sukar bertahan di pentas politik negara pada masa akan datang.

Pola pengundian berasaskan kaum

Dalam hal ini, BERSATU dilihat masih bernasib baik kerana bersama dengan PAS melalui PN. Manakala, AMANAH bersama dengan PKR dalam PH.

Keseluruhannya, mendepani PRU15, politik etno dilihat masih mendominasi politik Malaysia dengan parti politik kekal dengan warna etnik itu sendiri. Hal ini bermakna, politik identiti masih kekal dengan pola pengundian berasaskan kaum.

Realiti semasa memperlihatkan politik Melayu-Islam masih menjadi 'tiang seri' kepada kekuatan politik negara. Kemunculan parti baharu yang juga berteraskan agenda Melayu-Islam seperti BERSATU, AMANAH, PEJUANG, WARISAN, PUTRA, BERJASA dan IMAN menggambarkan kematangan dan kesedaran amalan demokrasi di negara ini.

PRU15 bakal menyaksikan 21,173,638 pengundi berdaftar akan menentukan mandat baharu. Walau apapun keputusannya nanti, parti berteraskan Melayu-Islam masih mendominasi politik Malaysia.

Apa yang utama, kerajaan dipilih nanti perlu memastikan isu integriti dan tadbir urus baik menjadi senjata ampuh bagi mengelakkan munculnya lebih banyak parti politik berasaskan Melayu-Islam pada masa depan.

Penulis adalah Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X