Oleh Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh
Suasana politik negara sejak Parlimen diisytihar dibubarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 10 Oktober lalu semakin meriah dan mendebarkan.
Bertaburan analisis daripada pelbagai pihak mengulas peluang kemenangan parti bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.
Walaupun pertandingan banyak penjuru dijangka berlaku pada PRU15, dapat dilihat tiga pesaing utama bagi mendapat mandat rakyat membentuk kerajaan adalah Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).
Ada pihak berpandangan BN memiliki kelebihan untuk menang selesa, tetapi tidak bergaya pada PRU15, namun tidak kurang juga berpandangan PH dan PN memiliki peluang menang.
Bagaimanapun, berdasarkan petunjuk semasa, BN dilihat lebih bersiap siaga dan jauh terkehadapan berbanding PN dan PH. Sejak memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, BN sentiasa bersiap siaga serta bersemangat untuk menghadapi PRU15.
Atas faktor kemenangan di Johor dan Melaka ini, maka berulang kali seruan dibangkitkan pemimpin UMNO/BN supaya Parlimen dibubarkan sebagai jalan berdaulat membentuk kerajaan lebih kuat untuk mentabdir negara.
Pada masa sama, pemimpin PN dan PH pula menyediakan pelbagai alasan tersendiri meminta Parlimen tidak dibubarkan sehingga tamat penggal.
Malah, 12 menteri Kabinet daripada PN bertindak mendahului Perdana Menteri dalam soal ini dengan mengutus warkah kepada Yang di-Pertuan Agong pada 3 Oktober menolak cadangan pembubaran Parlimen.
Dalam warkah ini mereka menyembah maklum tidak bersetuju PRU15 dilangsungkan pada tahun ini atas alasan utama banjir dijangka berlaku.
Sebaliknya, mereka mahu PRU15 dilangsungkan selepas Monsun Timur Laut berakhir yang dijangka pada Mac 2023.
PH melalui Ahli Parlimen DAP, Charles Santiago, mengemukakan cabaran undang-undang di mahkamah memohon pembubaran Parlimen diisytiharkan tidak sah.
Selain prosedur undang-undang secara teknikal yang dikatakan tidak bertepatan dengan kehendak Perlembagaan, hujah mengenai banjir turut dibangkitkan.
Semua ini jelas memberikan gambaran kepada rakyat BN sudah menang dari sudut moral berbanding PN dan PH yang tidak bersedia menghadapi PRU15.
Lebih utama lagi adalah poster boy dan rekod BN jauh lebih baik berbanding PN dan PH. BN melalui Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada mesyuarat 14 April lagi secara sebulat suara mencadangkan Ismail Sabri menjadi calon Perdana Menteri sekiranya BN memenangi PRU15.
Pengumuman lebih awal calon Perdana Menteri ini berdasarkan keputusan PRN sebelumnya disertai pengumuman lebih awal calon Ketua Menteri atau Menteri Besar, memberi kelebihan besar kepada parti politik berbuat demikian.
Ismail Sabri catat banyak kejayaan
Menariknya, hampir tiada langsung suara dalam UMNO mahupun parti komponen BN mempertikaikan keputusan MKT UMNO ini.
Hal ini tidak menghairankan kerana selaku Perdana Menteri Ismail Sabri mencatatkan banyak kejayaan menjadikan beliau popular, termasuk mengemudi negara keluar daripada COVID-19, selain merealisasikan beberapa inisiatif baharu dan besar dalam pentadbiran.
Berbanding tempoh 22 bulan negara berada di bawah pentadbiran PH dan 17 bulan di bawah pentadbiran PN, tempoh 14 bulan negara berada di bawah pentadbiran BN, dengan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri adalah tempoh paling produktif negara.
Boleh dikatakan dalam tempoh sesingkat itu Ismail Sabri berjaya melakukan pelbagai pembaharuan dalam pentadbiran sebelumnya cuba diusahakan beberapa Perdana Menteri, tetapi masing-masing menemui kegagalan.
Antaranya adalah sokongan sebulat suara diterima terhadap dua pindaan besar dalam Perlembagaan iaitu membabitkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan larangan Ahli Parlimen bertukar parti.
Jika hanya dalam tempoh sesingkat itu sudah banyak pembaharuan dalam pentadbiran berjaya beliau laksanakan, bayangkanlah apa lagi yang tidak mampu beliau lakukan jika diberi ruang lebih panjang menjadi Perdana Menteri selepas PRU15.
Dari segi faktor peribadi pula, Ismail Sabri dilihat bersih dan bebas daripada perkara kontroversi, sekali gus membolehkan UMNO dan BN membawa agenda urus tadbir baik untuk ditawarkan kepada rakyat.
Sepanjang tempoh singkat pentadbirannya juga, Ismail Sabri mempamerkan wajah seorang pemimpin mengamalkan corak kepimpinan berunding dan mendapatkan pandangan banyak pihak, kawan dan lawan.
Hubungan baik Ismail Sabri dengan semua pihak, khususnya dengan ketua jabatan kerajaan dalam pentadbiran negara termasuk pihak istana dan penjawat awam, pemimpin pembangkang juga, adalah aset besar untuk UMNO dan BN.
Pendek kata, pemilihan Ismail Sabri sebagai poster-boy dan rekod beliau memimpin kerajaan, termasuk rekod UMNO serta BN dalam perjalanan pentadbiran kerajaan dijangka membuka hati pengundi untuk memilih UMNO/BN pada PRU15 nanti.
Tidak dinafikan ada fitnah dibawa bagi menunjukkan Ismail Sabri hanya akan digunakan sebagai 'alat' menarik sokongan pengundi tetapi hal ini dijelaskan berkali-kali Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi atas platform Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran.
Setakat ini model berkerajaan dengan Perdana Menteri bukan datang daripada pemimpin tertinggi parti ternyata membuahkan hasil membanggakan, sekali gus diharap membantu UMNO/BN kembali membentuk kerajaan selepas PRU15 nanti.
Penulis adalah Profesor Emeritus di Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM)