Rabu, 5 Oktober 2022 | 1:00pm
Ismail Sabri berucap sempena UNGA di New York.
Ismail Sabri berucap sempena UNGA di New York.

UA, ahli akademik tak boleh culas martabat bahasa Melayu tinggi

Bahasa Melayu Tinggi berkumandang di pentas berprestij dunia baru-baru ini, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap sempena Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) Ke-77 di New York, Amerika Syarikat.

Ucapan ringkas tetapi tersurat itu mengetengahkan beberapa isu global seperti keadilan sistem kewangan antarabangsa, konflik global, isu perubahan iklim, perdamaian dan pembangunan mapan.

Keberanian dan keyakinan diserlahkan Perdana Menteri dalam ucapan itu membawa maksud sangat mendalam kepada perjuangan dan memartabatkan bahasa Melayu selama ini, menyerlahkan frasa 'Bahasa Jiwa Bangsa'.

Pada era ini, bahasa Melayu membuktikan ia mampu meneroka dan mengungkap pelbagai disiplin ilmu walaupun mengalami banyak perubahan dari segi falsafah, sintaksis, morfologi, fonologi dan sifat sosioliguistiknya.

Perubahan sejak beratus abad lalu membuktikan bahasa Melayu bersifat dinamik dan mampu mengembangkan korpus serta kepustakaan bahasa Melayu lama kepada bahasa Melayu tinggi pada hari ini.

Bahasa Melayu tinggi adalah bahasa digunakan secara formal khususnya dalam konteks penerokaan dan penyebaran ilmu seperti digunakan dalam persidangan dan wacana intelektual, penulisan buku ilmiah dan jurnal.

Ia juga berfungsi sebagai medium penyebaran pengetahuan di dalam kuliah, seminar dan persidangan pada peringkat nasional mahu pun antarabangsa.

Perkara 152 Perlembagaan menjadi teras kemajuan bahasa Melayu pada dekad awal kemerdekaan, seterusnya menjadi penggerak utama dalam penggunaan, penyebaran dan pembangunan di pelbagai peringkat dan fungsi khususnya dalam aspek penerbitan dan penterjemahan buku ilmiah dan sastera hingga ke hari ini.

Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1970 adalah permulaan dan batu asas kepada memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa penerokaan dan penyebaran ilmu peringkat tertinggi.

Bidang pengajian profesional seperti perubatan, perakaunan, farmasi, sains dan kejuruteraan turut mendapat sentuhan bahasa Melayu dan impaknya ia berjaya melahirkan ramai profesional di bidang berkaitan.

Namun, ramai pejuang dan pakar berpendapat Akta Institusi Pengajian Tinggi 1996, sedikit sebanyak memberi kesan terhadap kemerosotan fungsi bahasa Melayu tinggi sebagai bahasa ilmu di institusi pengajian tinggi (IPT).

Sejak itu, bahasa pengantar ilmu di IPT swasta (IPTS) adalah bahasa Inggeris dan bahasa Melayu ditawarkan untuk kursus umum penguasaan bahasa Melayu sahaja.

Pada 2003, kerajaan mengambil keputusan menggunakan bahasa Inggeris dalam subjek sains dan matematik di sekolah dengan alasan, bahasa Inggeris penting bagi membangunkan modal insan kompeten, kreatif dan berfikiran global.

Sejak itu beberapa kali dasar ini diubah akibat bantahan rakyat pelbagai kaum serta kesannya terhadap pelajar di luar bandar. Di universiti awam (UA) pula, sesetengah program dan subjek masih memanfaatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.

Pendemokrasian dan pengantarabangsaan pendidikan pengajian tinggi memberi kesan terhadap kelestarian bahasa Melayu tinggi. Program dan subjek berteraskan sains dan kejuruteraan di kebanyakan UA mula memanfaatkan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar.

Pada 2007, IPT mula memberi tumpuan terhadap pelan globalisasi pendidikan. Justeru, ia penting bagi meletakkan kedudukan universiti di Malaysia memiliki kualiti dan prasarana pendidikan berkualiti di dunia.

Lima UA iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), UKM, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dinobat dan diangkat sebagai Universiti Penyelidikan.

Ia penting bagi memacu penemuan dalam pelbagai bidang khususnya dalam sains, teknologi dan kejuruteraan menerusi penyelidikan, pembangunan dan komersialisasi.

Universiti Penyelidikan ini dijangka mampu memberi kesan langsung terhadap pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara masa hadapan, khususnya dalam konteks penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang kritikal diperlukan negara.

Bagaimanapun, tidak adil untuk menyalahkan gelombang globalisasi yang telah menyebabkan berlakunya pengantarabangsaan dan pendemokrasian pendidikan khususnya dalam konteks pengajian tinggi.

Ia suatu gelombang tidak dapat dielakkan, sekali gus menuntut perancangan strategik untuk mencapai kualiti pendidikan tinggi bertaraf global.

Sistem penarafan global menerusi pelbagai parameter oleh agensi penarafan seperti QS Ranking dan THES menyebabkan kebanyakan universiti di Malaysia berlumba-lumba untuk berada pada kedudukan terbaik.

Justeru, antara perkara menjadi penilaian penting adalah elemen akademik seperti kualiti penyelidikan, penerbitan berindeks, ahli akademik antarabangsa, ambilan pelajar asing, pendaftaran paten, harta intelektual dan infrastruktur yang disediakan.

Dalam jangka panjang, ia memberi kelebihan daya saing dari segi kualiti akreditasi program ditawarkan dan dapat menjana pendapatan negara menerusi pendidikan tinggi.

Namun, perlumbaan mengejar ranking dunia ini sedikit sebanyak menjejaskan fungsi dan peranan bahasa Melayu tinggi sebagai bahasa kepustakaan ilmu.

Apa yang sedang berlaku di pengajian tinggi, golongan akademik berlumba-lumba menghasilkan artikel jurnal, buku penyelidikan dan buku suntingan dalam bahasa Inggeris, manakala bahasa Melayu tidak lagi menjadi keutamaan.

Di negara maju seperti Denmark, Finland, Norway, Jerman, Itali dan Belanda misalnya, mereka masih memberi keutamaan menghasilkan pelbagai penulisan akademik dalam bahasa ibunda mereka.

Bagi ahli akademik di negara ini, nilai artikel jurnal terindeks dalam bahasa ibunda adalah suatu kebanggaan dan sumbangan besar kepada kelestarian bangsa serta peradaban mereka.

Justeru, peranan universiti amat penting memperkasa dan memperkaya kepustakaan pengetahuan dan pemikiran bangsa menerusi bahasa ibunda.

UA di Malaysia seharusnya bertanggungjawab ke arah memperkaya dan memperkasa kepustakaan ilmu dalam bahasa Melayu. Ia boleh dilakukan dengan pelbagai cara dan kaedah seperti dilakukan negara Eropah.

Selain itu, pihak pengurusan universiti perlu menggalak dan memberi pengiktirafan serta merit kepada ahli akademik menulis dan menterjemah buku ke dalam bahasa Melayu.

Tokoh Akademik Bahasa Melayu misalnya antara pengiktirafan sedia ada dalam mengiktiraf sumbangan ahli akademik berjasa dalam mengembang dan memperluas fungsi bahasa Melayu tinggi sebagai bahasa ilmu.

Jika bahasa Melayu tinggi tidak diangkat dan diperkasakan dalam meneroka pelbagai ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang, maka bahasa Melayu akhirnya akan senasib seperti bahasa dipinggirkan di tanah air sendiri.

Tidak mustahil suatu hari nanti bahasa Melayu bagaikan 'melukut di tepi gantang' dan akhirnya melebur akibat sikap ahli akademik sendiri yang tidak menunjukkan rasa hormat serta tanggungjawab terhadap bahasa ibundanya.

Justeru, selain universiti, beberapa institusi strategik seperti DBP dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) harus diberi peranan serta tanggungjawab lebih besar dalam memperkasakan bahasa Melayu tinggi dalam konteks penerbitan dan penterjemahan buku.

Dalam konteks di Malaysia, jika tidak ahli akademik berperanan mengangkat bahasa Melayu tinggi sebagai bahasa ilmu, siapa lagi?

Kumpulan Penyelidikan Kepimpinan dan Kesejahteraan Sosial, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Berita Harian X