Rabu, 5 Oktober 2022 | 12:05pm

PAS perlu buat pilihan tepat, bermaruah hadapi PRU-15

Di sebalik kesetiaan kepada Perikatan Nasional (PN) diungkapkan PAS pada Muktamar Tahunan Ke-68 lalu, parti itu berasakan perpaduan parti Melayu tidak akan sempurna dan tempang tanpa UMNO. Lebih-lebih lagi, sejarah kerjasama PAS dan UMNO berlaku lebih awal berbanding BERSATU.

Sebelum ini, PAS pernah mencadangkan kerjasama dengan UMNO boleh dijayakan dalam 27 kerusi Parlimen bagi mengelak pertembungan sesama sendiri dan menghalang kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). Namun, UMNO masih belum lagi berbincang dan menyatakan pandangan secara jelas dalam hal ini.

Bagaimanapun, pertemuan antara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang baru-baru ini menghidupkan semula persepsi kerjasama kedua-dua parti itu dalam Muafakat Nasional (MN) masih boleh diselamatkan lagi.

Namun, Presiden UMNO mendedahkan kerjasama dengan PAS hanya boleh terlaksana jika parti itu keluar daripada gabungan PN dan memutuskan hubungan dengan BERSATU. PAS juga perlu mengisytiharkan secara rasmi parti itu sudah mufarakah (berpisah) sepenuhnya dengan PN dan BERSATU.

Sebelum ini, PN memberi ingatan keras kepada PAS bahawa UMNO dan BN adalah musuh politik mereka. Melihat kepada tekanan diberikan PN dan terbaru daripada UMNO, apakah pilihan yang ada pada PAS?

Keserasian antara UMNO dan PAS terserlah khususnya pada pilihan raya kecil (PRK) pasca PRU-14 seperti Cameron Highlands dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih. Namun, prestasi PAS jatuh merudum pada pilihan raya negeri (PRN) di Melaka serta Johor bersama PN.

Kerjasama PAS dalam PN didakwa banyak dipengaruhi faktor perkongsian kuasa dan ditentukan elit politik. Hal ini diakui Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali apabila berkata, penyertaan PAS dalam PN hanya diputuskan beberapa pemimpin utama parti.

Berbeza dengan MN, beliau yang juga bekas ahli PAS menjelaskan keputusan bekerjasama dengan UMNO dibincangkan secara tuntas dan diputuskan dalam jawatankuasa. Malah, pembentukan MN ketika itu mendapat sokongan akar umbi kedua-dua parti.

Pada saat UMNO terus yakin dan konsisten berhadapan PRU-15 secara bersendirian, PAS masih berbelah bahagi sama ada bekerjasama dengan UMNO dalam MN atau PN.

Cita-cita besar PAS untuk menjadi 'orang tengah' antara UMNO dengan BERSATU nampaknya memberi masalah besar kepada parti berkenaan. Peranan dikatakan tidak realistik, iaitu mahu menghubungkan dua seteru politik ini akhirnya menjerat PAS kepada persepsi negatif seperti parti naif dan lemah.

PAS di persimpangan dilema

Pendekatan bermain dengan dua kolam sangat jelas meletakkan PAS di persimpangan dilema. PAS selama ini terkenal dengan sikap tegas, berprinsip dan berpendirian sehingga sanggup bergerak bersendirian pada PRU-14, kini dilihat lemah dan teragak-agak membuat keputusan.

Berbeza dengan UMNO, parti ini tekad untuk terus bergerak ke hadapan. Pendirian UMNO amat konsisten untuk mengadakan PRU-15 seawal mungkin. Sejak krisis politik membawa perubahan kerajaan dan kepemimpinan Perdana Menteri pada Februari 2020 lalu, UMNO mencadangkan pilihan raya diadakan bagi memulangkan mandat kepada rakyat.

Namun, cadangan itu ditolak kerana negara ketika itu berhadapan penularan COVID-19 yang menjejaskan kesihatan awam dan ekonomi. Justeru, perubahan kerajaan dan kepemimpinan negara berlaku pada ketika itu tanpa pilihan raya.

Pada Ogos 2021, perubahan kerajaan berlaku sekali lagi dengan kepemimpinan Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub. Namun, peralihan kuasa pucuk pimpinan negara juga berlaku tanpa pilihan raya.

Baru-baru ini, sekali lagi UMNO meminta PRU-15 diadakan pada tahun ini juga. Meskipun dikritik hebat kerana PRU-15 pada musim tengkujuh, UMNO terus lantang untuk mahu pilihan raya diadakan sebelum 2023.

Malah UMNO berpandangan, jika Parlimen dibubarkan sekalipun, kerajaan sementara boleh berfungsi untuk menangani isu banjir.

Rentetan perkembangan ini, UMNO juga memaklumkan Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO akan mempersembahkan cadangan tarikh pilihan raya kepada Yang di-Pertuan Agong selaras Perkara 40 (1), Perlembagaan Persekutuan.

Menjelang PRU-15, apakah pilihan yang ada pada PAS? Bergerak dalam PN atau MN atau bergerak solo? Melihat kepada tekanan diterima daripada PN dan UMNO, PAS mungkin boleh memikirkan pilihan untuk bergerak solo semula seperti pada PRU-14.

Pada PRU lalu, PAS memenangi 18 kerusi Parlimen dan mengekalkan pemerintahan di Kelantan dan merampas kembali Terengganu.

Mungkin pilihan bergerak solo ini menjadi satu-satunya jalan terbaik dan bermaruah buat PAS daripada terus ditekan dan digertak seperti tiada harga diri. Harus diingat, PAS bukan parti kecil atau serpihan, tetapi ditubuhkan sejak 1951 serta pernah menjadi parti pemerintah di peringkat negeri dan Persekutuan.

PAS tidak perlu menjatuhkan kedudukan serendah ini hanya mahu mendapat perhatian UMNO dan PN. Apa yang jelas, PAS bukan mendapat sanjungan, tetapi penghinaan sehingga ditolak ke tengah dan ke tepi.

Soal bekerjasama sebenarnya tidak terhad hanya untuk PRU-15 kerana ia boleh diteruskan selepas pilihan raya bagi menubuhkan kerajaan. Peluang kerjasama ini terbuka luas jika tiada parti politik menang dengan majoriti besar. PAS sudah tidak tentu mahu kekal sebagai parti pembangkang jika pilihan menjadi parti pemerintah ada dengan kerjasama pasca PRU-15 kelak.

Namun buat masa sekarang, PAS perlu membuat pilihan bermaruah.

Profesor Madya Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X