Selasa, 4 Oktober 2022 | 12:05pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

UMNO tak dahului Agong, semua parti perlu sedia hadapi PRU-15

Apabila mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memutuskan supaya Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada tahun ini, ia pantas mengundang reaksi menentang terhadap keputusan itu.

Tindak balas ditunjukkan pihak menentang keputusan MKT UMNO ini mendakwa parti itu mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membelakangi Kabinet dan Yang di-Pertuan Agong.

Hakikatnya tiada yang mengejutkan keputusan MKT UMNO ini serta tidak timbul kemusykilan UMNO dikatakan mendahului Yang di-Pertuan Agong.

Sebenarnya keputusan MKT UMNO mahu Parlimen dibubarkan tahun ini tidak begitu memeranjatkan kerana ia adalah pendekatan strategi UMNO, terutama selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada Mac lalu.

Kemungkinan juga keputusan ini dianggap memeranjatkan kerana selama ini individu mempunyai pilihan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong menggunakan sepenuhnya kelebihan yang ada dengan membiarkan teka-teki pembubaran Parlimen berlarutan kerana itu adalah sebahagian daripada perang saraf gerak saraf (PSGS) politik.

Begitu berkesannya PSGS Ismail Sabri bukan sahaja parti pembangkang, terutama Pakatan Harapan (PH) terpaksa berteka-teki, tetapi Perikatan Nasional (PN) yang juga sebahagian daripada kerajaan Persekutuan juga tertanya-tanya.

Timbul pertanyaan mengapakah UMNO begitu bersungguh-sungguh mahu PRU-15 diadakan sebelum akhir tahun ini sehingga ada pandangan menyatakan ia tidak sesuai diadakan kerana tempoh berbaki tiga bulan tahun ini biasanya dirundung musim tengkujuh, berisiko tinggi berlaku banjir.

Ada berpendapat pilihan raya pada musim tengkujuh akan mengakibatkan peratus keluar mengundi menjadi rendah jika tercetus hujan lebat atau banjir. Hakikatnya, musim tengkujuh tidak mengenal penyokong parti politik kerana yang terkesan adalah seluruh rakyat.

Boleh dikatakan pilihan raya pada musim tengkujuh hanya memberi kesan kepada parti politik banyak bergantung kepada pengundi kawasan pedalaman seperti UMNO.

Maka, sudah pasti UMNO mempunyai justifikasi lain lebih kukuh mengapa PRU-15 perlu diadakan secepat mungkin pada tahun ini juga. Jawapannya ada pada keputusan PRN Melaka dan Johor.

Sebahagian besar 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenangi BN di Melaka dan 40 kerusi DUN di Johor adalah kawasan mempunyai majoriti pengundi Melayu.

Defisit jumlah undi PH berkurangan 

Walaupun jumlah undi diperoleh BN kurang daripada diperoleh pada PRU-14, hakikatnya peratus defisit PH jauh lebih merudum berbanding BN. Ada dua kemungkinan utama mengapa defisit jum- lah undi PH jauh berkurangan berbanding BN.

Pertama, adalah kerana faktor undi pengundi Melayu pecah disebabkan bukan PN (PAS/BERSATU) sahaja bertanding pada PRN Melaka dan Johor, malah Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) turut mencuba nasib.

Pengundi Melayu yang selama ini menyokong BN hampir kembali mengundi dan menyokong parti itu seperti senario pra-PRU-14 dan statistik keputusan PRN Melaka dan Johor adalah manifestasinya.

Akan tetapi pengundi Melayu propembangkang mempunyai pilihan, sama ada mahu mengundi PH, PN atau PEJUANG. Justeru, hujah perpecahan undi pengundi Melayu lebih memberi kesan negatif kepada parti pembangkang berbanding BN.

Kemungkinan kedua ialah masih tiada persefahaman di antara pembangkang kerana secara jelas PH menolak kerjasama dengan PN dan masih berat hati menerima Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sebagai rakan kongsi atau sekutu PRU-15.

Sementara Gerakan Tanah Air (GTA) pula seperti BN akan bergerak solo. Dicampur dengan strategi PH bahawa BN adalah parti perlu ditewaskan, maka timbul persepsi BN akan tetap menang, sekali gus membuatkan penyokong pembangkang tawar hati keluar mengundi.

Sementara itu, kawasan 72 kerusi Parlimen di Semenanjung mempunyai lebih 65 peratus pengundi Melayu dan di sinilah BN berada dalam keadaan selesa.

Sementara 43 Parlimen lagi mempunyai sekitar 50 hingga 65 peratus pengundi Melayu. Secara mudah, jika dikira perpecahan pengundi dan parti pembangkang, tidak syak lagi BN akan memperoleh jumlah kerusi Parlimen terbanyak berbanding PH, PN atau GTA.

BN perlukan bantuan parti lain 

Namun, BN memerlukan bantuan parti lain di Semenanjung kerana diandaikan berpadu kekuatan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS), ia masih tidak mencukupi untuk menubuhkan kerajaan Persekutuan yang stabil dan kuat.

Antara PH, PN, GTA, Parti Warisan (WARISAN) atau MUDA yang bakal bertanding, ada kemungkinan rakan kongsi BERSATU dalam PN iaitu PAS adalah calon paling sesuai untuk BN dampingi bagi membentuk kerajaan Persekutuan jika tidak mencapai kemenangan padu pada PRU-15.

Sebab itu, jika ditinjau kenyataan pemimpin tertinggi UMNO dan PAS mengenai kerjasama kedua-dua parti ini, terutama bersabit senario pasca- PRU-15, pintu kerjasama tidak ditutup rapat kerana berkemungkinan kedua-dua parti ini saling memerlukan bantuan.

UMNO tidak pernah berselindung dalam hal justifikasi PRU-15 perlu dipercepatkan kerana senario politik dilihat amat menyebelahi mereka ketika ini. Sebaliknya, pembangkang sering menggunakan alasan musim tengkujuh atau ekonomi demi mempertahankan pendirian mengapa PRU-15 perlu diadakan pada tahun depan.

Pengerusi GTA, Tun Dr Mahathir Mohamad setidak-tidaknya berterus terang apabila mendakwa gabungan itu akan menjadi lebih kuat jika PRU-15 diadakan tahun hadapan berbanding sekarang.

Pokok pangkalnya, setiap parti perlu mula meningkatkan gerak kerja jentera mereka menuju PRU-15 yang tidak mustahil diadakan pada tahun ini juga.

Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara(NASR)

Berita Harian X