Sabtu, 1 Oktober 2022 | 12:05pm
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

SPRM terus perkasa strategi lahirkan masyarakat antirasuah

Lebih lima dekad atau lebih tepat 55 tahun penubuhannya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus tekad berjuang memerangi jenayah rasuah di negara ini.

Selari perkembangan pesat ekonomi negara, ia menuntut agensi penguat kuasa itu melaksanakan transformasi besar dalam membanteras rasuah menggunakan tiga strategi utama, iaitu dari segi penguatkuasaan, pencegahan dan pendidikan.

Sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, saya melihat suruhanjaya ini melalui empat era evolusi dengan pertama ialah pascakemerdekaan yang terdapat dua agensi, iaitu satu di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) menjalankan kerja pencegahan rasuah dan pendidikan masyarakat, manakala satu lagi adalah unit polis, iaitu Cawangan Khas menyiasat kes kesalahan rasuah.

Pada 1 Oktober 1967, Badan Pencegah Rasuah (BPR) ditubuhkan dengan menggabungkan kedua-dua entiti tadi menjadikan identiti tersendiri yang bebas menjalankan tugas pencegahan rasuah, khususnya tugas penyiasatan.

Bagi era kedua, BPR pada 1972 ditukar nama kepada Biro Siasatan Negara (BSN) yang bukan setakat menyiasat rasuah, bahkan kes membabitkan keselamatan dan isu sensitif negara.

Era ketiga berlaku apabila Akta Pencegahan Rasuah 1961 dan Akta Badan Pencegah Rasuah 1982 digabungkan, lalu dijadikan satu akta dinamakan Akta Pencegahan Rasuah 1997.

Mekanisme semak, imbang 

Tahun 2009 pula menyaksikan era keempat apabila BPR menjadi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bermula 1 Januari dengan akta baharu dinamakan Akta SPRM 2009.

Ketika itu, mekanisme semak dan imbang turut diwujudkan yang SPRM dipantau lima badan pemantau bebas.

Sebelum 2000, banyak kes disiasat adalah reaktif dengan BPR lebih kepada menunggu maklumat atau aduan orang ramai, tetapi selepas tahun itu, kaedah perisikan dan pengintipan digunakan untuk membongkar kes sindiket atau rasuah secara bergerombolan.

Kaedah ini diperkembangkan lagi dan SPRM kini menggunakan Intelligence Based Investigations (IBI) yang lebih proaktif. Kaedah ini digunakan untuk kes berprofil tinggi, iaitu Deep Analysis dilaksanakan terhadap subjek, kemudian memulangkan aset kepada kerajaan.

Sejak tahun-tahun kebelakangan ini, kaedah itu digunakan untuk membongkar kes berprofil tinggi seperti Op Water, Op Power, Op Hack, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International.

SPRM juga merekodkan 91.1 peratus atau 266 kes salah laku rasuah berakhir dengan sabitan daripada 292 kes selesai dibicarakan bagi 2021 dan kejayaan itu melebihi kadar sabitan kesalahan rasuah sebanyak 90 peratus ditetapkan dalam Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019 - 2023.

Dari segi pemulihan aset pula, tahun lalu, jumlah aset dilucutkan hak dan dipulangkan kepada kerajaan adalah RM5.1 bilion, iaitu 99.57 peratus daripada kes 1MDB.

Pada masa sama, undang-undang berkaitan pembiayaan dana politik harus disegerakan agar ahli dan parti politik menerima dana berkenaan perlu mengisytiharkan dana diterima supaya lebih telus serta bebas daripada sebarang unsur rasuah.

Ahli politik perlu mengisytiharkan jumlah dana diterima dan sumber kepada sebuah entiti ditubuhkan kerajaan untuk mengelak pembiayaan mencurigakan.

Disebabkan tiada undang-undang dan peraturan pembiayaan politik, mereka disyaki akan dituduh mengikut akta sedia ada seperti Akta SPRM 2009, Pecah Amanah atau Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

SPRM berpendirian sudah sampai masanya isu pembiayaan dana politik diwujudkan undang-undang khusus yang perlu disegerakan kerana suruhanjaya ini banyak menerima tohmahan daripada masyarakat meminta untuk menyiasat entiti politik dikatakan menerima dana berbentuk rasuah.

Kita semua bersetuju mencegah lebih baik daripada mengubati. Justeru, SPRM komited melaksanakan fungsinya dalam memberi khidmat nasihat ke arah penambahbaikan sistem dan prosedur agensi.

Antara kejayaan SPRM ialah menyediakan perkhidmatan dalam menasihati jabatan kerajaan berkenaan perkara atau isu kelompangan sistem dan prosedur jabatan melalui bimbingan serta memberikan latihan membentuk Pelan Antirasuah Organisasi (OACP).

Pada 19 April 2021, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) bersetuju modul Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) ditawarkan sebagai subjek elektif peringkat sijil, diploma serta sarjana muda di semua institusi pengajian tinggi mulai 2022, seterusnya menjadi kursus wajib mulai 2023.

Terkini, modul KIAR bagi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan ditawarkan dalam masa terdekat di 22 Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) seluruh negara.

Pada peringkat sekolah, SPRM menganjurkan program Wira Anti Rasuah (WAR) sejak 2014 dan hingga kini berjaya membabitkan lebih 24,000 pelajar dan 4,100 guru.

Dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM), elemen antirasuah diperkenalkan dalam buku teks sekolah rendah dan menengah secara berperingkat sejak 2016 dengan nilai integriti serta benci rasuah dimasukkan dalam buku teks Pendidikan Moral (Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil), Pendidikan Sivik, Pendidikan Islam serta Bahasa Melayu.

Promosi semangat integriti 

Pelbagai usaha mempromosikan semangat integriti dan membanteras rasuah diperkasakan dalam masyarakat. Antaranya, Integrity Pact yang diusahakan SPRM dan Kementerian Kewangan supaya ada pemantauan dan bentuk ikrar dalam kalangan mereka memasuki tender kerajaan.

Ia juga meningkatkan integriti dan memerangi amalan rasuah serta mengelak sebarang isu berkaitan konflik berkepentingan dalam perolehan kerajaan.

Integrity Pact ialah pengisytiharan pembida atau orang awam untuk tidak menawar atau memberi rasuah bagi mendapatkan kontrak atau sebagai ganjaran mendapatkan kontrak dan mempercepatkan sesuatu urusan perolehan kerajaan.

Pada 5 April 2021, Menteri Kewangan meluluskan secara dasar potongan cukai kepada syarikat melaksanakan program integriti dan antirasuah yang memberi manfaat kepada komuniti serta dikuatkuasakan bermula 1 Jun lalu.

Potongan cukai di bawah Seksyen 34(6)(h) Akta Cukai Pendapatan 1967 melayakkan syarikat atau penyumbang memohon potongan cukai daripada pendapatan kasar perniagaan satu amaun bersamaan amaun perbelanjaan dibuat.

Sempena Ulang Tahun SPRM Ke-55, saya ingin mengangkat atau memartabatkan SPRM sebagai badan bervisi dan berwawasan, iaitu menjadikan masyarakat berintegriti serta bebas rasuah.

Saya berharap dalam tempoh lima tahun akan datang, SPRM terus memperkasakan tiga strategi berkenaan, pada masa sama mengukuhkan lagi dasar, strategi, tenaga kerja serta akta supaya selaras dengan perkembangan semasa.

Rasuah ialah gejala harus dilawan habis-habisan segenap lapisan masyarakat. Ia tidak harus diletakkan di atas bahu satu agensi penguat kuasa sahaja, malah harus dipikul bersama semua institusi kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil.

Satu perubahan paradigma perlu berlaku supaya rasuah tidak lagi dilihat amalan dan budaya, tetapi perbuatan jijik serta musuh negara, bangsa dan agama.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)

Berita Harian X