Khamis, 8 September 2022 | 12:23pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.
Pemakaian pelitup muka hanya wajib bagi individu positif COVID-19, dalam pengangkutan awam dan juga apabila melawat fasiliti kesihatan.
Pemakaian pelitup muka hanya wajib bagi individu positif COVID-19, dalam pengangkutan awam dan juga apabila melawat fasiliti kesihatan.

Kekal patuh SOP COVID-19 walaupun diberi kelonggaran

PANDEMIK COVID-19 menyelubungi negara dan dunia pada awal 2020 boleh dikatakan mulai reda ketika ini hasil program vaksinasi dan penggunaan ubat anti virus yang terbukti berkesan merawatnya.

Sesuai dengan perubahan situasi semasa, beberapa negara kini melonggarkan sebahagian besar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pencegahan dan kawalan jangkitan COVID-19.

Kini, boleh dikatakan masyarakat mungkin berasa lega apabila tidak lagi terikat dengan peraturan ketat memakai pelitup muka, perlu menjaga jarak fizikal serta berdepan sekatan pergerakan.

Kementerian Kesihatan (KKM) memutuskan pemakaian pelitup muka dalam bangunan, kawasan dan ruang tertutup dijadikan sebagai pilihan berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata ketetapan baharu itu bagaimanapun bergantung kepada budi bicara pemilik premis sama ada mahu menentukan pengunjung perlu memakainya atau sebaliknya.

Namun, pelitup muka wajib dipakai sekiranya individu disahkan positif COVID-19 atau bergejala, menggunakan perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing, kapal terbang, van pekerja dan van sekolah.

Sepanjang tempoh dua dan sembilan bulan ini, setiap rakyat melalui fasa getir yang tidak pernah terfikir seperti tidak dibenarkan keluar rumah atau kawasan tertentu, dilarang merentas negeri, urusan ekonomi terhad, tiada majlis keramaian dan interaksi sosial, tiada solat jemaah atau majlis perayaan agama dan pelbagai kesengsaraan emosi.

Penderitaan mental juga berlaku amat ketara berdasarkan peningkatan kes membunuh diri ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Namun sejak lebih lima bulan lalu, SOP pencegahan COVID-19 mula dilonggarkan seperti pemakaian pelitup muka di tempat terbuka serta ketika makan. Sempadan antarabangsa turut dibuka dan aktiviti pelancongan termasuk ibadah haji dan umrah kini boleh dilaksanakan.

Melihat kepada data semasa, dari sudut epidemiologi, tiada sebarang petunjuk yang memungkinkan berlakunya potensi gelombang baharu jangkitan COVID-19.

Kebanyakan petunjuk kawalan wabak iaitu kes baharu, kes aktif, kemasukan ke hospital dan kematian akibat COVID-19 dalam pola menurun. Namun, angka dirawat dalam unit rawatan rapi (ICU) masih menunjukkan pola memerlukan tumpuan.

Dos penggalak kurang sambutan

Liputan penduduk menerima vaksin anti COVID-19 pula mencapai 84 peratus secara keseluruhan, namun vaksinasi dalam kumpulan kanak-kanak masih agak rendah sekitar 43 peratus menerima atau mengambil vaksin.

Dos penggalak kedua pula dilihat mendapat sambutan dingin dalam kalangan mereka yang layak. Sehingga kini, ramai masih tidak menyedari keperluan membuat temu janji sendiri melalui aplikasi MySejahtera.

Justeru, fokus pada masa ini tertumpu kepada penggunaan pelitup muka di dalam bangunan serta ruang tertutup. Kita pada masa ini masih tertakluk kepada peraturan menghendaki setiap individu mematuhi peraturan memakai pelitup muka ketika berada di dalam bangunan.

Keperluan ini mencakupi kepada semua prasarana di dalam bangunan termasuk pejabat, bangunan serta apa sahaja institusi seperti sekolah, ruang kedai dan pusat perniagaan.

Dalam tempoh pandemik ini, pelitup muka perlu dipakai untuk mengekang penularan jangkitan COVID-19 serta mengelakkan wujud kluster baharu jangkitan.

Secara umum, pelitup muka adalah keperluan untuk semua petugas kesihatan dan perubatan apabila melakukan prosedur khas ketika rawatan atau menguruskan pesakit.

Bagi orang awam, ia perlu dipakai jika tidak sihat terutama mengalami batuk dan selsema serta kerap bersin, namun pada masa sama perlu berurusan dengan individu lain.

Pemakaian pelitup muka juga diperlukan apabila menziarahi individu mengalami masalah daya tahan tubuh lemah seperti warga emas uzur, pesakit kanser dan menghidap penyakit kronik.

Penggunaan pelitup muka

Justeru, walaupun kelonggaran pemakaian pelitup muka di dalam premis tertutup pada premis tertentu diberikan, orang ramai perlu menyedari kelonggaran itu bukan bersifat 'blanket rule' yang membolehkan kita mengambil sikap tidak prihatin atau melupakan terus peranan pelitup muka.

Kita perlu menyedari, ada dalam kalangan kita mengalami masalah kesihatan tertentu sehingga keadaan mereka secara perubatan tidak boleh divaksin. Angka pesakit dirawat di dalam ICU akibat COVID juga dalam pola memerlukan pemantauan rapi.

Berdasarkan data semasa, situasi pada masa ini adalah selamat untuk melonggarkan SOP memakai pelitup muka di dalam premis bangunan untuk mereka yang sihat dan lengkap vaksin.

Namun demikian, ia perlu diterjemahkan dengan berhemah dalam amalan untuk mencegah kemungkinan apa sahaja jangkitan disamping melindungi mereka yang rentan serta tidak boleh divaksin.

Pemakaian pelitup muka hanya wajib bagi individu positif COVID-19, dalam pengangkutan awam dan juga apabila melawat fasiliti kesihatan.
Pemakaian pelitup muka hanya wajib bagi individu positif COVID-19, dalam pengangkutan awam dan juga apabila melawat fasiliti kesihatan.

Amal etika batuk, bersin

Bagi individu sihat, menerima vaksin lengkap dan tiada sebarang masalah perubatan adalah selamat untuk tidak memakai pelitup muka, namun etika ketika batuk dan bersin yang selamat masih perlu diamalkan bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Mereka yang sihat juga perlu sentiasa membuat pemeriksaan kesihatan rutin bagi memastikan tidak mempunyai sebarang masalah komorbid disamping menjaga pemakanan mengelakkan kegemukan melampau atau obes.

Fokus terhadap kanak-kanak yang berkemungkinan terdedah kepada jangkitan perlu juga diberikan tumpuan. Ketika angka vaksinasi rendah dalam kumpulan umur ini, ibu bapa perlu meneruskan amalan pemakaian pelitup muka kepada anak kecil atau belum divaksin terutama di tempat sesak atau mengelak membawa mereka ke tempat terbabit.

Golongan warga emas dan mereka yang mempunyai komorbid juga perlu kekal memakainya terutama di tempat sesak dan mempunyai sistem pengudaraan tidak memuaskan.

Keperitan akibat COVID-19 yang pernah dilalui sebelum ini diharapkan mematangkan rakyat dalam membuat keputusan terbaik untuk mengelakkan diri daripada terdedah atau menyebarkan jangkitan virus.

Kelonggaran sesuatu SOP pencegahan wabak bukan bermakna kita lepas dan bebas daripada etika kemanusiaan serta tanggungjawab terhadap masyarakat, sebaliknya disiplin mematuhi SOP perlu diteruskan sepanjang masa sehingga keadaan jangkitan kembali terkawal.

Penulis adalah Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X