Khamis, 22 September 2022 | 12:15pm

Doktrin Struktur Asas mengelirukan gugat kedudukan Mahkamah Syariah

MUTAKHIR ini, sistem kehakiman negara dihangatkan isu Doktrin Struktur Asas atau 'Basic Structure Doctrine' (BSD) sehingga sebuah petisyen dibuat bagi membantah cadangan amalan BSD oleh beberapa peguam.

Sebagai negara yang mengiktiraf Islam sebagai agama Persekutuan berdasarkan Perkara 3(1) Perlembagaan, amat wajar jika rakyat beragama Islam memahami dan cakna apakah kesan perundangan BSD diuar-uarkan dalam beberapa penghakiman Mahkamah Sivil.

Adakah benar dakwaan sebahagian pihak yang mendakwa isu BSD boleh menggugat sistem kehakiman syariah di Malaysia kerana terdapat unsur 'campur tangan' Mahkamah Sivil ke atas kes ditangani Mahkamah Syariah.

BSD secara umumnya difahami sebagai doktrin struktur asas kepada perlembagaan negara yang diterima beberapa negara seperti Bangladesh, Jerman, Pakistan, Uganda, Norway dan Amerika Syarikat (AS).

BSD diperkenalkan dalam kes Kesavananda Barathi dari Mahkamah Agung India ini membawa satu pendirian tetap perlembagaan sesebuah negara berdaulat mempunyai ciri-ciri tertentu tidak boleh dipadamkan badan perundangannya.

Kebanyakan penghakiman Mahkamah Agung India menyatakan Parlimen India tidak mempunyai kuasa membuat sebarang pindaan kepada Perlembagaan negara itu terutama membabitkan kuasa mahkamah.

Pada mulanya BSD ditolak di Malaysia bagi tujuan mentafsir Perlembagaan. Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, BSD ditimbulkan semula beberapa hakim Mahkamah Sivil yang banyak menjadikan BSD sebagai justifikasi dalam penghakiman kes mereka.

Meskipun BSD banyak dijadikan justifikasi dalam kes Mahkamah Sivil, namun tidak wujud sebarang 'hitam putih' dalam Perlembagaan kerana dalam bahasa mudah, ia diimport dari India sedangkan Islam menjadi agama bagi Persekutuan secara sepakatnya bersumberkan dua rujukan iaitu al-Quran dan al-sunah.

BSD dijadikan nas di dalam beberapa kes yang mana dalam masa sama boleh menimbulkan tanda tanya apakah kesannya kepada sistem kehakiman negara terutama terhadap bidang kuasa dan ruang lingkup Mahkamah Syariah di Malaysia pada masa hadapan.

Pelbagai persoalan menerjah seperti sejauh mana efektifnya sistem kehakiman dan perundangan negara Islam seperti Malaysia jika kita mengagungkan perlembagaan negara bukan Islam seperti BSD. Ironinya, sebelum merdeka lagi, hakim memutuskan 'Muhammadan Law' adalah undang-undang sedia ada di Tanah Melayu.

Elak kekeliruan, pertindihan bidang kuasa

Dari sudut sejarah, Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah wujud sebelum kemerdekaan lagi. Pada 1988, atas inisiatif Tan Sri Prof Emeritus Ahmad Ibrahim, Parlimen meminda Perlembagaan supaya tidak berlaku kekeliruan dan pertindihan antara kedua-dua bidang kuasa mahkamah di negara ini.

Seharusnya implikasi pindaan ini ialah Mahkamah Sivil dan Mahkamah Syariah saling melengkapi antara satu sama lain, bukannya bersaing sesama sendiri.

BSD yang ingin dijadikan justifikasi dalam memutuskan sesuatu kes di mahkamah sepatutnya perlu jelas dan tersurat. Oleh itu, jika diselidik, punca kuasa BSD kepada mahkamah tidak dinyatakan secara tersurat ataupun diperuntukkan seperti terdapat di dalam Perlembagaan Jerman umpamanya.

Antara kes dijustifikasikan dengan BSD sejak akhir-akhir ini seperti kes M Indira Ghandi lawan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) membatalkan sijil keislaman tiga anak diislamkan bekas suaminya pada 2018.

Sijil itu dikeluarkan JAIPk. Meskipun Mahkamah Rayuan membenarkan isu pengislaman seseorang dalam ruang lingkup Mahkamah Syariah, bahkan jika terdapat sebarang isu dalam proses keputusan dibuat pendaftar muallaf sekalipun, keputusan itu perlu dicabar di Mahkamah Syariah.

Indira Gandhi tidak berpuas hati dan membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan iaitu mahkamah tertinggi di Malaysia. Malangnya, keputusan Mahkamah Persekutuan mengejutkan kerana penghakiman diputuskan dalam kes itu membatalkan keislaman ketiga-tiga anaknya dengan menyatakan Mahkamah Persekutuan ada hak dalam ruang kuasa isu pengislaman seseorang atas sebab 'miliki hak' dalam semakan kehakiman (judicial review).

Meskipun Perkara 121(1A) menyatakan Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa kepada perintah dikeluarkan Mahkamah Syariah, tetapi keputusan sebaliknya masih diberikan. Oleh kerana Perkara 121(A) dilihat menyekat kuasa Mahkamah Sivil, adakah pindaan perlembagaan sebelum ini bersifat tidak berperlembagaan.

Kegusaran orang Islam mula timbul dalam kes ini kerana seolah-olah Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa untuk menentukan beberapa isu dalam keislaman secara muktamad.

Hal ini kerana, keabsahan Perkara 121(1A) Perlembagaan memperuntukkan bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah berkenaan perkara berkaitan agama Islam, kini boleh dicabar melalui Mahkamah Sivil.

Implikasi pelaksanaan BSD ini, akhirnya kelak mungkin Mahkamah Persekutuan pula akan menentukan sama ada fatwa, hak Muslim dan keislaman seseorang sah atau tidak.

Kedua, implikasi kepada pengesahan pindaan Perlembagaan daripada dua pertiga Ahli Parlimen dan perkenan Majlis Raja-Raja akan terbatal kerana difikirkan bertentangan dengan BSD.

Keadaan ini akan menjadikan judicial power (kuasa kehakiman) melampaui dua kuasa Perlembagaan lagi iaitu Eksekutif dan Perundangan. Persoalan juga akan timbul jika Mahkamah Sivil mempunyai kuasa kehakiman yang tidak boleh disentuh, apakah Mahkamah Syariah tidak mempunyai kuasa kehakiman dalam perkara mengenai perundangan Islam.

Ketiga, undang-undang negara akan menjadi tidak jelas, tidak mempunyai objektif tersendiri seperti didambakan kerana BSD tidak tersurat dan terlalu subjektif serta sehingga kini tiada hitam putih mengenai skop asas BSD, sebaliknya hanya bergantung kepada pendirian dan kecenderungan hakim semata-mata.

Tidak dinafikan Perlembagaan perlu mempunyai ciri asas (fundamental features) tersendiri. Contoh ciri asas perlembagaan jelas adalah seperti Islam, Melayu, Raja dan kebebasan kehakiman (sivil dan syariah) serta ia ciri perlu dipertahankan.

Zizi Azlinda adalah Pensyarah di Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), manakala Zainul Rijal Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia


Semua artikel penulis tamu adalah pendapat peribadi, bukan pendirian rasmi BH

Berita Harian X