Isnin, 15 Ogos 2022 | 12:30pm
- Foto hiasan
- Foto hiasan

Malaysia perlu sedia hadapi impak perubahan iklim

MALAYSIA antara negara mempunyai struktur organisasi jelas sejak beberapa tahun lalu dalam mendepani perubahan iklim dunia, termasuk penyediaan dokumen seperti Dasar Perubahan Iklim Negara.

Peruntukan pada peringkat Persekutuan menyediakan kepelbagaian dana serta perancangan strategik pada peringkat agensi tempatan yang membantu dalam aspek kerangka asas mendepani krisis perubahan iklim di Malaysia.

Rasional di sebalik pewartaan dasar dan strategi perubahan iklim adalah bagi membantu negara mempersiapkan segala bentuk ancaman bencana seperti tanah runtuh, banjir, kemarau, kebakaran hutan serta hakisan kawasan berisiko.

Rantau Asia Tenggara dikatakan menduduki carta teratas jumlah bencana alam dalam tempoh 30 tahun lalu dengan lebih 90 peratus daripadanya dikategorikan sebagai bencana iklim.

Kekerapan bencana iklim ini diburukkan lagi dengan kelewatan menangani aspek kejuruteraan sedia ada, keterbatasan sumber daya dalam mengurangkan impak risiko dan kelewatan menyediakan keperluan teknikal di lapangan untuk membantu mitigasi tambahan.

Justeru, berdasarkan faktor semasa termasuk bencana kepala air serta banjir puing semakin kerap berlaku di kawasan tadahan hujan, kes ini sepatutnya meningkatkan persediaan Malaysia menyediakan petunjuk asas dalam proses itu.

Tiga petunjuk asas

Petunjuk ini sepatutnya dinilai berdasarkan tiga ciri utama iaitu, tahap kesiapsiagaan bencana iklim pemegang taruh dan kumpulan sasar, kemampuan kewangan menyediakan asas kejuruteraan atau teknikal dan latihan tertentu, serta pematuhan berterusan komponen alam sekitar.

Ketiga-tiga petunjuk ini membantu keperluan utama pada pelbagai peringkat agensi serta kerajaan tempatan melaksanakan secara tersusun strategi utama penilaian risiko serta mitigasi kawalan pada peringkat pelaksanaan.

Kumpulan sasar menjurus kepada kebolehcapaian indeks pengetahuan dan pembabitan semua warga Malaysia dalam persediaan mengurangkan risiko kehilangan nyawa, aset dan harta benda serta meminimumkan intervensi berterusan daripada agensi berkaitan.

Antara perhatian utama bencana iklim dikenal pasti 15 hingga 20 bencana ini membabitkan kerugian harta benda mencecah AS$1.5 bilion dan jutaan manusia kehilangan nyawa. Jumlah ini sentiasa meningkat setiap tahun.

Perubahan ekonomi dunia serta tindak balas rantaian daripada impak bencana iklim ini mencetuskan evolusi perkhidmatan, interaksi sosial dan penilaian semula risiko alam sekitar berkait rapat dengan faktor keterbatasan sumber.

Hal ini diperincikan menerusi beberapa laporan pada peringkat global seperti Pengalihan Agenda 2030 (Shifted Agenda 2030) membabitkan petunjuk tenaga, pencemaran sumber, perubahan cuaca dan beberapa kriteria lain.

Tindakan bersasar seperti ini membantu aspek pelaksanaan pada peringkat kerajaan tempatan yang boleh dilaksanakan secara berfasa seperti fasa pematuhan keperluan alam sekitar.

Sejak kebelakangan ini, implikasi setempat berkaitan perubahan iklim dilihat kesannya di beberapa kawasan seperti kejadian tanah runtuh, banjir dan kepupusan beberapa sumber pelbagai bio.

Tindakan berterusan

Tiada siapa memahami fakta peningkatan suhu sehingga dua darjah Celcius setahun, pertambahan gas rumah hijau atau perubahan mikro cuaca menyebabkan isu pencemaran, hakisan dan gelinciran, tanah runtuh, banjir dan fenomena kemusnahan hutan.

Kekerapan bencana perubahan iklim akan menjadi ekstrem dan memerlukan tindakan berterusan pengurusan teknikal di lapangan seperti sistem perparitan, kolam takungan, mitigasi cerun dan pengalihan air larian.

Tindakan menuding jari dan hanya mengharapkan pemuliharaan ini perlu dilaksana oleh agensi atau institusi akan menyebabkan bajet tambahan perlu dibelanjakan untuk menggantikan kerosakan yang berlaku.

Kesilapan menganggap elemen kelestarian ini hanya merujuk kepada petunjuk alam sekitar menyebabkan perancangan strategik bersasar pada peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) menjadi sia-sia.

Tambahan pula, mekanisme pemantauan dan perubahan berteraskan nilai dan indikator Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) tidak diperincikan secara tersusun dalam bentuk gerak kerja dan kumpulan sasar.

Satu daripada usaha komprehensif adalah membabitkan keterangkuman elemen kelestarian ini, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melancarkan satu dasar ke arah Malaysia Lestari 2030.

Menerusi dasar ini, terdapat 26 inisiatif dibangunkan berteraskan empat tunjang utama, iaitu pengukuhan tadbir urus, pertumbuhan hijau, kerjasama strategik dan keterangkuman sosial; meliputi atmosfera (udara), hidrosfera (air), litosfera (darat) dan biosfera (makhluk hidup).

Keterangkuman elemen kelestarian alam sekitar seperti digariskan dalam bidang teras itu membantu perancangan jangka sederhana untuk meningkatkan kembali tahap kesejahteraan alam.

Pengenalan dasar ini juga melonjakkan kepentingan teknologi sedia ada dan murah, kelestarian alam sekitar sebagai sumber pendapatan baharu serta menyediakan ekosistem tempatan lebih mampan terutama bagi mendepani bencana iklim pada masa depan.

Menjiwai budaya lestari

Justeru, melihat kepelbagaian inisiatif dan perancangan terperinci kerajaan dalam mengurus dan melaksanakan inisiatif seperti ini, tidak dapat dinafikan keupayaan serta kemampuan untuk mencapai kualiti menjiwai budaya lestari merentasi gaya hidup, kehidupan bermasyarakat pelbagai agama dan kemajmukan bangsa di sesuatu lokaliti.

Menyentuh mengenai peranan media, sama ada arus perdana dan media sosial, pelbagai persoalan pasti dibangkitkan terutama mengenai 'bahan berita' bernilai bertujuan memberi pendedahan terbuka dalam menyediakan pengetahuan dan tindakan pemegang taruh.

Pengguna media sosial di Malaysia antara paling aktif dan sering menggunakan peluang berkomunikasi serta berkongsi pelbagai bentuk perspektif menerusi jumlah tontonan boleh dimanfaatkan bagi tujuan pengiklanan tanpa membataskan audiennya.

Program komunikasi, pendidikan dan kesedaran awam (CEPA) antara program berstruktur pada peringkat agensi perlu ditambah baik dengan mengambil kira modul interaktif, terkini dalam proses pemahaman bencana iklim dan pembabitan bersinergi kumpulan sasar di Malaysia.

Sebahagian besar masyarakat memahami amalan kelestarian hanya diamalkan pada masa tertentu atau aktiviti dirancang. Adakah tingkah laku masyarakat berubah mengadaptasi keperluan untuk mengadaptasi indikator kelestarian, seperti etika pemeliharaan sumber?

Bagaimana nilai etika kelestarian ini akan membantu pengurusan dan keseimbangan kriteria kelestarian merangkumi pendidikan, kemasyarakatan, sosiokemanusiaan dan tanggungjawab kepada alam sekitar?

Justeru, petunjuk kesiapsiagaan bencana ini sebenarnya terletak kepada didikan berterusan, minda sihat dan memahami sumbangan kepada persekitaran.

Penulis adalah Pengarah Pelestarian Kampus, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

Berita Harian X