Ahad, 14 Ogos 2022 | 3:52pm
Harga lantai khidmat penghantaran dan pesanan ikut jarak ditentukan dalam Google Maps dan Waze penting bagi menjamin pendapatan penunggang p-hailing. - Foto hiasan
Harga lantai khidmat penghantaran dan pesanan ikut jarak ditentukan dalam Google Maps dan Waze penting bagi menjamin pendapatan penunggang p-hailing. - Foto hiasan

Pekerjaan lebih berisiko patut dibayar upah tinggi

PERKHIDMATAN penghantaran makanan, minuman dan bungkusan menggunakan motosikal atau p-hailing di Malaysia terus berkembang, menunjukkan potensi besar untuk menjadi antara penggerak berterusan rantaian ekonomi negara. Namun, ada isu yang perlu diselesaikan segera, khususnya aspek keselamatan dan kebajikan penghantar atau penunggang motosikal yang terbabit.

Dakwaan mengenai kadar upah tidak tetap, tambang tidak setimpal dan manipulasi oleh syarikat pengendali dibangkitkan dengan kemuncaknya adalah mogok 24 jam oleh penghantar makanan daripada pelbagai syarikat penyedia pada Jumaat minggu lalu.

Soalan (S): Industri p-hailing semakin meluas dan popular. Apa kepentingannya dalam aspek ekonomi individu membabitkan diri sebagai pekerja?

Jawapan (J): Prestasi ekonomi dunia, termasuk Malaysia menjadi semakin mencabar terutama dengan keadaan pasca pandemik COVID-19 dan situasi geopolitik antarabangsa. Kemunculan industri p-hailing membantu menyediakan peluang pekerjaan, terutama bagi mereka yang terpaksa berdepan cabaran susulan situasi tidak menentu, selain ada dalam kalangan mereka kurang berpendidikan atau kemahiran.

Bagi mereka yang mempunyai tahap pendidikan tinggi, pembabitan dalam sektor ini mungkin tidak menjadi keputusan jangka panjang kerana berpandangan ia boleh menghalang mereka daripada beralih kepada kerjaya berorientasikan kemahiran pada masa akan datang

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Law Teik Hua. - Foto fail NSTP
Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Law Teik Hua. - Foto fail NSTP

S: Apakah kebaikan atau sumbangan ditawarkan industri p-hailing kepada Malaysia?

J: Industri p-hailing amat membantu ekonomi negara, terutama mengurangkan kesan pandemik. Pertama, ia membantu menurunkan kadar pengangguran keseluruhan negara, terutama di kawasan bandar.

Kedua, kadar pekerjaan lebih tinggi meningkatkan kuasa beli keluarga, mengurangkan pergantungan kepada bantuan kerajaan dan meningkatkan pendapatan negara. Ketiga, p-hailing membantu mengurangkan tahap mobiliti awam dan seterusnya menghentikan penyebaran COVID-19 dan ini terbukti sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

S: Apa kesan tindakan boikot oleh penghantar melalui 'Food Delivery Blackout', baru-baru ini?

J: Saya berpandangan kempen itu tidak memberi kesan kepada perniagaan atau perkhidmatan p-hailing disebabkan tarikh kempen sudah diumumkan dan ia dilaksanakan dengan cepat, secara kecil-kecilan dengan hanya di satu lokasi. Isu paling utama mereka ketengahkan adalah soal kebajikan yang mungkin menyebabkan timbul rasa tidak puas hati.

Sebenarnya penunggang p-hailing dianggap sebagai pekerjaan berisiko tinggi kerana terdapat risiko kecederaan dan kemalangan jalan raya. Oleh itu, saya berpendapat penghantar harus dibayar lebih banyak dan ada kesatuan untuk perjuangkan hak mereka, khasnya dalam hal pembayaran perkhidmatan.

S: Akta Pengangkutan Jalan 1987, Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan 1987 dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 akan dipinda bagi mengawal selia p-hailing. Apa pandangan Prof?

J: Hasil perubahan tiga undang-undang ini bakal menyaksikan had umur minimum penunggang p-hailing turun daripada 21 kepada 18 tahun. Namun, statistik menunjukkan banyak kematian dan kecederaan di jalan raya di negara kita membabitkan pengguna motosikal berusia 18 hingga 21 tahun. Saya lihat penurunan had umur ini boleh menyumbang kepada lebih banyak kemalangan dan kematian.

Justeru, latihan mandatori mengenai undang-undang jalan raya perlu diterapkan dengan lebih ketat bagi membantu penunggang belajar bagaimana menangani situasi lalu lintas yang berbeza, tetapi ia harus diperbaiki dengan memberikan lebih banyak latihan secara langsung. Ini sangat penting bagi penunggang berumur 18 hingga 21 tahun dan penunggang yang diketahui berisiko tinggi seperti kerap terbabit kemalangan jalan raya.

S: Bagaimana dengan langkah untuk mewajibkan lesen vokasional bagi penggiat sektor ini?

J: Semua pemandu kenderaan penghantaran barang, seperti van dan lori, mesti mempunyai lesen lesen kenderaan barangan (GDL) kerana mereka biasanya bawa lebih banyak barang dan perjalanan lebih jauh. Bagi penunggang p-hailing ini tidak berlaku, sebaliknya lebih penting untuk melaksanakan banyak dasar dan bantuan untuk meningkatkan tahap keselamatan jalan raya dalam kalangan mereka, termasuk latihan lebih praktikal dan jadikan mereka lebih kelihatan kepada pemandu lain pada waktu siang serta malam.

S: Pandangan Prof apa apa wajar dilaksanakan kerajaan untuk membantu penggiat bidang ini supaya mereka tidak berasa ditindas?

J: Di pihak kerajaan, penunggang dan pemandu p-hailing yang berdaftar dengan agensi berkaitan akan diiktiraf status pekerjaan rasmi, akan mempunyai status pekerjaan tetap dan kerajaan secara rasmi bertanggungjawab terhadap kebajikan mereka. Jika hanya berstatus pekerjaan sambilan, ini tidak dapat dicapai kerana tiada undang-undang dan peraturan mencukupi untuk melindungi kebajikan serta hak pekerja sambilan.

Dari segi pekerja p-hailing pula, berdasarkan statistik tidak rasmi, terdapat kira-kira 100,000 penunggang p-hailing di negara ini. Dijangkakan jumlah ini meningkat ketara pada tahun depan. Oleh itu, saya cadangkan satu kesatuan rasmi untuk pemandu p-hailing diiktiraf undang-undang buruh ditubuhkan untuk melindungi kebajikan dan hak mereka.

S: Perlukah diwujudkan undang-undang bersesuaian untuk kawal selia sektor p-hailing, sekali gus membela penggiatnya dan membolehkan mereka menjana pendapatan lebih baik?

J: Saya sokong sepenuhnya usaha kerajaan mengawal selia dasar dan mewujudkan peraturan lebih sesuai bagi sektor ekonomi gig berkenaan. Ini bukan sahaja untuk melindungi kebajikan dan hak mereka, tetapi memastikan keselamatan orang ramai apabila ia membabitkan jalan raya. Saya berpandangan antara usaha mengelakkan penunggang p-hailing terbabit dalam kesalahan jalan raya adalah merangka satu dasar berkaitan tempoh penghantaran barangan.

S: Mungkinkah sektor p-hailing mampu jadi sumber menjana hasil untuk negara?

J: Perkhidmatan p-hailing mempunyai kesan dan peranan besar kepada industri penyedia perkhidmatan pengangkutan dan menyumbang kepada peningkatan operasi perniagaan. Ini disebabkan mereka menawarkan perkhidmatan penghantaran syif dan meningkatkan hubungan perkhidmatan perniagaan. Dengan menjimatkan pemilik perniagaan dan masa orang awam atau pelanggan, ia membantu meningkatkan pendapatan peniaga.

Industri p-hailing juga antara sektor paling pesat berkembang. Campur tangan, peraturan dan dasar sesuai diperlukan untuk memastikan pertumbuhan industri ini sihat. Setiap penunggang p-hailing berdaftar perlu diberikan status pekerjaan rasmi dan dengan ini, hak kebajikan mereka lebih terjaga.

Kedua, setiap penunggang p-hailing juga perlu dididik dengan kemahiran dan pengetahuan diperlukan dalam aspek keselamatan jalan raya, terutama dalam kalangan penunggang muda. Ini untuk memastikan keselamatan mereka serta orang ramai.


'Lindung, bela seluruh ekosistem ekonomi gig p-hailing'

Soalan (S): Apa isu sebenar membelenggu p-hailing sehingga mendorong tindakan boikot pada 5 Ogos lalu?

Jawapan (J): Kempen 'Food Delivery Blackout' sebenarnya rentetan daripada isu berbangkit sejak 2019 lagi, antara yang utama adalah berkaitan kadar upah perkhidmatan penghantaran rakan penghantar p-hailing dipotong atau dikurangkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan dan dimaklumkan juga, penolakan ini berlaku di luar pengetahuan penggiat p-hailing.

Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR), Zulhelmi Mansor. - Foto fail NSTP
Presiden Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR), Zulhelmi Mansor. - Foto fail NSTP

S: Adakah isu-isu sedemikian pernah diusulkan kepada syarikat pengendali dan kerajaan?

J: PENGHANTAR sudah suarakan kepada syarikat dan kerajaan, tetapi apa yang menjadi permasalahan, sebelum ini tiada kementerian dan badan kawal selia khusus mengawal selia sektor ekonomi gig p-hailing. Bagaimanapun, PENGHANTAR dimaklumkan Kementerian Pengangkutan akan mengawal selia sektor ini secara rasmi tidak lama lagi.

Walaupun industri ini belum dikawal selia mana-mana kementerian dan agensi, kerajaan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) sudah pun mengambil inisiatif membantu penggiat p-hailing dengan memberikan perlindungan sosial melalui Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

Selain itu, PENGHANTAR juga bekerjasama bersama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Institut Penyelidikan Keselamatan jalan Raya (MIROS) bagi memberi kesedaran berkaitan kempen dan program keselamatan jalan raya kepada penggiat p-hailing.

S: Ada yang mendakwa terlalu banyak permintaan daripada penghantar untuk kerajaan penuhi, sedangkan khidmat mereka sering menerima rungutan pelanggan?

J: Tidak timbul isu kami buat banyak permintaan atau tuntutan kepada pihak kerajaan. Apa juga permintaan atau tuntutan adalah berkaitan dengan perkara asas seperti harga lantai kadar upah perkhidmatan serta tuntutan penubuhan badan kawal selia khusus bagi sektor ekonomi gig p-hailing.

Ini bagi mengimbangi syarat pematuhan yang ditetapkan kami kepada mereka. Ini penting bagi mengimbangi syarat pematuhan dan penilaian prestasi kerja ditetapkan kepada penggiat industri ini daripada dieksploitasi.

S: Bukankah tindakan boikot merugikan pekerja p-hailing sendiri dalam mencari pendapatan dan ia juga seperti tidak adil kepada pelanggan?

J: Bagi saya, dakwaan isu ini merugikan kami tidak timbul kerana selama ini pun, penggiatnya sudah lama mengalami kerugian. Ini dibuktikan dengan kadar upah yang mereka terima berpandukan peta digital di aplikasi syarikat penyedia tidak selaras dengan peta di aplikasi Google Maps dan aplikasi Waze. Memang tidak dinafikan, boikot tidak adil kepada pelanggan, tetapi di manakah keadilan kepada kami pula yang selama ini ditindas syarikat penyedia perkhidmatan?

S: Bagaimana hasil pertemuan dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Ir Wee Ka Siong, baru-baru ini?

J: Alhamdulillah, pertemuan itu memberikan impak apabila kami dimaklumkan Kementerian Pengangkutan akan mengawal selia ekonomi ini. Walaupun pada pertemuan pertama menimbulkan sedikit kebimbangan dan keresahan kami berkaitan isu lesen vokasional (GDL), pertemuan kedua dengan menteri bersama Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki selain Sekretariat Tuntutan Hak Penghantar diketuai Sekretariat Hal-Ehwal Pekerja Muda Pergerakan Pemuda UMNO, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), PENGHANTAR dan wakil rakan-rakan penghantar p-hailing, ia berhasil meleraikan salah faham yang timbul.

Tiada syarat GDL akan dikuatkuasakan, sebaliknya lesen vokasional yang akan diwujudkan dan masih dalam kajian. Lesen vokasional yang akan diwujudkan kelak adalah bagi proses pendaftaran dan kursus jangka pendek sahaja, yang pastinya tidak akan membebankan.

S: Apa pandangan mengenai pindaan tiga akta bagi mengawal selia industri p-hailing ini?

J: Bagi PENGHANTAR, ketika pertemuan kedua bersama menteri, ia satu langkah baik bagi mengawal selia sektor ini. Antaranya, kebajikan kami dapat dilindungi dan dibela termasuk keseluruhan ekosistem ekonomi gig p-hailing. Ini jaminan menteri pengangkutan sendiri.

S: Apa kepentingan penetapan harga lantai bagi pengambilan dan penghantaran, selain standard jarak sebenar dalam peta digital aplikasi?

J: Harga lantai bayaran perkhidmatan penghantaran dan pesanan mengikut perkiraan jarak ditentukan dalam aplikasi Google Maps dan Waze adalah penting bagi menjamin pendapatan kami. Ia bagi memastikan syarikat penyedia perkhidmatan tidak sewenang-wenangnya menurunkan kadar bayaran kepada khidmat kami.

S: Wajarkah kerajaan mengadakan pertemuan berkala bersama PENGHANTAR dan pekerja p-hailing bagi mengetahui perkembangan semasa sektor pekerjaan ini, seterusnya mewujudkan situasi adil kepada penggiat dan pengguna?

J: Alhamdulillah, dalam pertemuan kedua bersama menteri pengangkutan, beliau memberi jaminan pembabitan PENGHANTAR dalam badan kawal selia yang akan ditubuh. Ini sudah pasti bagi mengimbangi situasi menang-menang dalam setiap dasar dan garis panduan diputuskan kerajaan.

S: Sekiranya tuntutan penunggang p-hailing tidak dipenuhi, apa tindakan selanjutnya?

J: Minggu depan, satu pra jawatankuasa akan ditubuhkan dan kami akan mendesak sembilan tuntutan pelan jangka pendek disegerakan bagi menjamin pendapatan kami, selain menjaga kebajikan penghantar. Masih terlalu awal untuk kami memberi komen berkaitan perkara ini sebenarnya.

Bagaimanapun, sekiranya pelan jangka pendek ini tidak diberi perhatian, kami akan memohon campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Pemuda UMNO dan MTUC.

Berita Harian X