Selasa, 19 Julai 2022 | 12:04pm
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) bersama Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli. - NSTP/Eizairi Shamsudin
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) bersama Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli. - NSTP/Eizairi Shamsudin

PKR perlu keluar daripada bayang-bayang Anwar, Rafizi

Ketika UMNO masih menunggu keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sama ada membenarkan penangguhan pemilihan parti atau sebaliknya, PKR melangkah ke hadapan dengan menampilkan barisan kepemimpinan baharu bagi sesi 2022-2025 pada Persidangan Kongres Nasional Tahunan Ke-16 berakhir kelmarin.

Berpegang teguh kepada amalan demokrasi dalam parti, pemilihan kepemimpinan parti diteruskan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) meskipun berdepan dengan cabaran polarisasi dan perpecahan dalaman seperti pernah dibangkitkan sebelum ini.

Pemilihan PKR kali ini mengekalkan figura penting parti, iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Presiden apabila menang tanpa bertanding, manakala jawatan Timbalan Presiden, Naib Presiden, Ketua Wanita, Ketua Angkatan Muda menampilkan muka baharu. Pendukung parti kembali aktif, Rafizi Ramli berjaya menambat hati ahli dan perwakilan apabila memenangi jawatan nombor dua parti.

Keputusan pemilihan PKR bagi tempoh tiga tahun ini sangat kritikal kerana dibuat menjelang PRU-15. Sudah tentu, ketika pemilihan berlangsung, ahli dan perwakilan mengundi calon difikirkan paling layak mengemudi PKR menuju pilihan raya.

Berdasarkan keputusan pemilihan, rata-rata ahli parti masih mahu PKR dipimpin Anwar. Namun, beliau perlu dibantu seorang timbalan 'darah baharu' yang mampu menyuntik elemen berbeza untuk kesinambungan parti. Rafizi dianggap pemimpin enggan menjadi 'pak turut' tetapi berani menyanggah sesuatu perkara tanpa rasa apologetik termasuk kepada Presiden.

Peluang kedua untuk Maszlee

Selain itu, kemenangan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik dalam menguasai Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dengan jumlah tertinggi seolah-olah memberi nafas politik baharu kepadanya. Selepas peristiwa peletakan jawatan menteri secara mengejut dan bertindak keluar daripada BERSATU, kemenangan ini umpama peluang kedua Maszlee untuk kembali dalam arus perdana politik Malaysia.

Sudah tentu kemenangan ini juga memberi semangat baharu kepada beliau merencana perjalanan politik selepas tewas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Mac lalu.

Melalui kemenangan ini menjadikan beliau antara taruhan utama PKR pada PRU-15.

Pemilihan kepemimpinan PKR kali ini memberi beberapa signifikan kepada parti. Berdasarkan pemerhatian penulis, pascapemilihan PKR dapat disorot sekurang-kurangnya dalam lima perkara utama.

Gabungan muka lama, baharu

Pertama, pasukan kepemimpinan PKR adalah pasukan pilihan ahli dan akar umbi parti bagi menghadapi PRU-15. Sudah tentu kombinasi muka lama dan baharu akan memberi dimensi berbeza, sekali gus kekuatan kepada PKR menjelang pilihan raya.

Kepemimpinan ini sewajarnya menghormati mandat diberikan ahli dan perwakilan parti dengan bekerja keras serta meletakkan kepentingan parti mengatasi peribadi. Langkah seterusnya adalah pemimpin dipilih hendaklah menyatukan semula ahli parti yang mungkin sudah berpecah selepas pemilihan.

Kedua, pasukan kepemimpinan PKR kali ini buat julung kali menggandingkan Anwar dan Rafizi. Meskipun berlainan 'kem' dan formula sebelum ini, gandingan kedua-dua tokoh ini adalah penting dan menentukan hala tuju PKR khususnya menjelang PRU-15. Mereka perlu bijak menguruskan perbezaan dan mengutamakan persamaan atas kepentingan parti.

Anwar ialah pemimpin senior banyak pengalaman jatuh bangun dalam politik. Beliau bukan sahaja pemimpin PKR, bahkan pemimpin utama diterima dan diiktiraf dalam Pakatan Harapan (PH) serta kerjasama politik sebelumnya. Malah Anwar dianggap sebagai 'gam' mampu menghubungkan parti pembangkang, termasuk DAP dan PAS dalam Barisan Alternatif (BA) dan Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini.

Rafizi pula pemimpin muda penuh cita-cita dan sering mengambil pendekatan agresif serta menyerang khususnya kepada UMNO. Namun, kelantangan beliau jugalah memberi keyakinan kepada ahli untuk melihat PKR kembali kukuh dan disegani.

Pada masa sama, beliau perlu bijak bersuara dengan menggunakan platform sebagai orang nombor dua parti. Dalam kata lain, beliau kini ada saluran dalam parti. Sikap kepembangkangan menebal dalam diri Rafizi perlu diubah dalam bentuk idea dan tindakan sebagai pemimpin utama parti.

Ketiga, pasukan kepemimpinan perlu memastikan PKR keluar daripada imej parti pembangkang jika mahu memenangi PRU-15. Namun, ujian terbesar PKR adalah sewaktu menjadi parti pemerintah selepas memenangi PRU-14. Persoalannya, bersediakah PKR menjadi parti pemerintah semula dengan tidak berkelakuan sebagai parti pembangkang?

Keempat, pasukan kepemimpinan PKR perlu berusaha mendapat keyakinan dan sokongan orang Melayu-Islam di negara. Inilah kelemahan PKR didakwa banyak bergantung kepada sokongan bukan Melayu. Kemenangan PH pada PRU-14 banyak dibantu sokongan orang Melayu kepada BERSATU.

Apakah pelantikan Ketua Wanita PKR baharu, iaitu Fadhlina Sidek yang juga anak bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) boleh memberi naratif baharu kepada PKR dalam menyantuni isu dan kepentingan Melayu-Islam?

Kelima, pemilihan PKR kali ini mendedahkan kepemimpinan kepada persoalan kerjasama politik rumit. Adakah pendekatan kerjasama atau konflik menjadi pilihan? Menjelang Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik Kerajaan Persekutuan dengan PH yang akan berakhir 31 Julai ini, PKR dan parti lain khususnya DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) perlu mempunyai pendirian kukuh.

Secara tuntasnya, dari segi kelangsungan kepemimpinan parti, PKR berjaya melaksanakannya melalui pemilihan parti. Kini adalah masa untuk PKR menguji kepemimpinan baharu ini mendepani ujian politik khususnya menjelang PRU-15.

Paling penting, PKR mesti menjadi parti rakyat. Parti lebih besar daripada figura Anwar mahupun Rafizi.

Penulis adalah Profesor Madya di Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM)

Berita Harian X