Jumaat, 8 Julai 2022 | 1:30pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Rangka dasar seimbang amalan bekerja secara fleksibel

Peredaran masa serta kesan faktor luaran secara tidak langsung mengubah alam pekerjaan masa kini dan hadapan. Selain amalan bekerja secara hibrid (BSH) semakin popular dan dipraktikkan di beberapa negara, pelaksanaan amalan bekerja secara fleksibel (BSF) turut dibincangkan dalam kalangan penggubal dasar, pakar bidang, pihak industri, majikan dan pekerja.

Dari perspektif majikan, fleksibiliti merujuk kepada pendekatan majikan menyesuaikan diri dengan segera terhadap perubahan keadaan ekonomi selain meningkatkan perkhidmatan dan produktiviti serta mengurangkan kos operasi.

Bagi pekerja, fleksibiliti bermaksud pendekatan pekerja menyesuaikan masa kerja atau tempat kerja. Dalam situasi ini, pekerja boleh tawar-menawar dengan majikan dari segi waktu bekerja, tempat kerja dan perkongsian kerja.

Contohnya, dalam situasi pekerja memperuntukkan jumlah empat hari bekerja dalam seminggu dengan 12 jam sehari dari jam 8 pagi hingga 8 malam bagi memenuhi jumlah jam bekerja sebanyak 48 jam.

Namun, Seksyen 60A Akta Kerja 1955 memperuntukkan majikan tidak boleh memaksa pekerja bekerja lebih 12 jam sehari, termasuk kerja lebih masa atau melebihi 10 jam secara berterusan, serta tidak melebihi 48 jam seminggu.

Maka, transisi daripada aspek manfaat teori kepada praktik sebenar amalan bekerja ini harus diperhalusi bagi mencapai tahap maksimum ke arah keberkesanan pelaksanaannya.

Cabaran menguruskan organisasi ketika pandemik COVID-19 melalui amalan BSH yang turut mengandungi elemen fleksibiliti, perlu dijadikan kayu ukur dalam melihat potensi amalan sebenar pelaksanaannya.

Di Malaysia, amalan bekerja berorientasikan fleksibiliti bukan perkara baharu, meskipun wujud perbezaan dalam konteks semasa. Sejak tahun lalu, amalan BSH mula diadaptasi hampir semua majikan dan pekerja di Malaysia akibat penularan COVID-19.

Sebelum ini, konsep Waktu Kerja Berperingkat (WBB) pada 1998 dilaksanakan disusuli konsep Waktu Bekerja Fleksi (WBF) pada 2019 merangkumi seluruh agensi kerajaan Persekutuan.

Memetik kata Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella: "Tiada perkara lain berubah dengan pantas selain cara kita bekerja dan ia dapat dimanfaatkan melalui cara kerja lebih fleksibel."

Katanya, aturan kerja fleksibel seperti bekerja dari rumah (BDR) dan kerja hibrid, berkembang sejak COVID-19 menular, akan memainkan peranan penting dalam memastikan pekerja gembira dan produktif.

Buktinya, tinjauan dijalankan penyelidikan Qualtrics pada Mei lalu merangkumi negara di Asia Tenggara, termasuk Malaysia mendapati sejumlah 62 peratus pekerja sepenuh masa lebih gemar fleksibiliti dalam bekerja berbanding hari kerja pendek seperti empat hari seminggu.

Kini, lebih ramai pekerja sedar kepentingan penjagaan kesihatan dan memilih kerjaya memberikan keseimbangan mental serta fizikal dalam jangka panjang.

Melalui Indeks Trend Kerja 2022 Microsoft, pekerja di seluruh dunia mempunyai persamaan 'keperluan' baharu. Sebanyak 53 peratus mengatakan mereka lebih cenderung mengutamakan kesihatan dan kesejahteraan dalam bekerja berbanding sebelum pandemik COVID-19.

Sementara itu, 52 peratus daripada responden mengatakan mereka berkemungkinan mempertimbangkan untuk BSF pada tahun hadapan.

Namun, situasi majikan juga tidak harus diabaikan apabila Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) melaporkan sebahagian besar ahlinya tidak bersedia melaksanakan pendekatan amalan waktu bekerja empat hari dalam seminggu.

Definisi fleksibiliti serta senario di atas jelas menunjukkan perbezaan jelas menjurus kepada ketidakseimbangan antara keperluan serta penawaran amalan BSF.

Istilah penting dalam bidang pengurusan sumber manusia iaitu 'setiap pekerja ada ragam tersendiri' sangat tepat untuk difahami dan dipraktikkan bagi merealisasi dan memperluaskan amalan BSF.

Lantas, beberapa aspek penting harus dipertimbangkan. Konsep fleksibel ini merujuk kepada satu pendekatan cara bekerja. Maka, garis panduan jelas melalui pewujudan dasar seimbang harus diambil kira.

Contohnya, dalam meraikan kepelbagaian industri di Malaysia, apakah industri sesuai dan terkehadapan sekiranya dilaksanakan secara fleksibel.

Dalam setiap industri juga terdapat unit lebih kecil iaitu organisasi, setiap satunya unik dan tidak sesuai untuk melaksanakan pengoperasian secara 'pukul rata'.

Begitu juga dengan aspek tempoh masa bekerja. Satu dasar jelas amat penting bagi majikan melakukan penstrukturan dalaman organisasi selain membantu pekerja menyesuaikan diri dalam persekitaran kerja baharu.

Tumpuan lain turut menuntut pihak majikan menentukan sejauh mana sesuatu pekerjaan berkenaan diuruskan. Setiap pekerjaan mempunyai disiplin berbeza. Maka, situasi sama-sama menang di antara majikan dan pekerja amat penting.

Ini disebabkan, perubahan tempoh bekerja tentu memberikan tekanan dalaman dan daya saing organisasi terutama dalam sektor seperti perkilangan serta pembuatan yang mementingkan kelangsungan pengeluaran secara konsisten dan berterusan.

Justeru, bagi mengisi jurang dikenal pasti, kajian terperinci perlu diteruskan secara berperingkat. Selain mengkaji keperluan, langkah proaktif mengukur tahap keberkesanan model BSF harus dijalankan dalam memahami perbezaan dapatan daripada latar belakang berbeza termasuk penggubal dasar, majikan dan pekerja.

Inisiatif Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) baru–baru ini mewujudkan pasukan khas dalam menilai amalan BSF ini sememangnya wajar sebagai langkah awal ke arah menilai keberkesanannya.

Merujuk kepada Akta Kerja 1955 sedia ada, penambahbaikan harus tertumpu kepada Seksyen 60A berorientasikan aspek kerja lebih masa, waktu cuti, upah dan lain-lain hal berkaitan.

Mengambil kira perkembangan terkini aturan kerja fleksibel (AKF) berkuat kuasa 1 September nanti, jangkaan pelaksanaannya akan diperluaskan secara berperingkat menerusi bantuan kerajaan, penilaian risiko secara maksimum, tahap kesediaan dan manfaat secara seimbang.

Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (Sumber Manusia), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Arau

Berita Harian X