Rabu, 6 Julai 2022 | 1:30pm
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Teroka pendekatan baharu lahirkan pelajar TVET industri masa hadapan

Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) adalah tunjang utama dalam menghasilkan tenaga kerja kompeten dalam bidang bidang teknikal. Selain itu, TVET mempunyai hala tuju pekerjaan dengan penekanan utama terhadap amalan industri.

Dari aspek pasaran kerja, penerimaan industri dilihat positif terhadap graduan TVET. Namun begitu, merujuk kepada kebolehpasaran graduan TVET 2021 dikeluarkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), terdapat lima alasan belum bekerja daripada kaji selidik diedarkan.

Antaranya sebanyak 74.0 peratus graduan masih mencari pekerjaan dan 2.5 peratus memilih untuk tidak bekerja.

Walaupun terdapat peningkatan kadar kebolehpasaran graduan 1.0 peratus iaitu 88 peratus bagi 2021 berbanding 2020, hanya 87 peratus perlu diteliti mekanisme dalam menyediakan pelajar tersedia untuk alam pekerjaan dan kalis masa hadapan.

Jika difokuskan dari sudut pendapatan bulanan diperoleh graduan TVET, pola pendapatan bulanan tertumpu kepada RM1,001-RM2,000 sahaja iaitu peringkat sijil (69.1 peratus), diploma (73.7 peratus), diploma lanjutan (63.2 peratus) dan ijazah pertama (48.6).

Dengan keadaan ekonomi dan taraf hidup semakin meruncing, adakah pola pendapatan ini masih relevan?

Apakah pelan mitigasi bagi membantu pelajar untuk lebih berdaya saing dan mampu bekerja dengan industri gergasi menawarkan pulangan emolumen setimpal.

Kita tidak menafikan, pelbagai inisiatif dilaksanakan institusi TVET dalam melahirkan pelajar berketrampilan dan menjadi rebutan industri.

Namun, perlu dicari pendekatan baharu supaya terus relevan dalam mendepani cabaran masa hadapan.

Boleh disimpulkan dengan lima cadangan perlu diperhalusi bagi menjayakan agenda kemenjadian graduan secara holistik.

Pertama, mendedahkan pelajar supaya serasi dengan peralatan dan perisian terkini. Ini kerana, pendedahan terhadap peralatan dan perisian semasa dapat membantu menambahkan keyakinan pelajar bagi mendepani keadaan masa hadapan.

Untuk menjadikan pelajar lebih kreatif dan inovatif, memerlukan pendekatan dengan membuka ruang dan peluang kepada pelajar untuk terus mencabar diri keluar dari ruang keselesaan menuju pentas terbuka.

Pelbagai pendekatan dalam usaha mengasah kreativiti seperti membabitkan pelajar dengan menyertai pertandingan inovasi dan lawatan ke industri mengaplikasikan teknologi terkini.

Kedua, setiap pelajar pasti mempunyai impian untuk bekerja di sebuah syarikat atau firma diidamkan.

Impian ini boleh direalisasikan dengan memberikan gambaran awal prospek kerjaya bersesuaian dengan bidang diceburi.

Sinergi antara institusi dan industri melalui kolaborasi strategik dapat membantu pelajar untuk melakukan latihan industri di industri berprofil tinggi. Pelajar perlu diberi peluang menentukan prospek industri akan disertai selepas tamat pengajian.

Sekiranya seawal semester pertama, pelajar didedahkan prospek kerjaya di beberapa industri terpilih sama ada dalam atau luar negara, ia memberikan momentum awal untuk mereka terus mempersiapkan diri dalam usaha bagi menepati ciri dikehendaki industri.

Selain itu, konsep 'Plan B' perlu didedahkan dalam setiap perancangan bagi memastikan pelajar sentiasa bersedia dalam sebarang kemungkinan pada masa hadapan.

Tidak semua pelajar berjaya bekerja selari dengan bidang mereka pelajari. Namun begitu, 'Plan B' yang menyelamatkan mereka supaya terus relevan dalam mengejar impian mereka.

Ketiga, komunikasi berkesan membawa kepada keyakinan dan jati diri tinggi terhadap pelajar. Keberanian untuk berkomunikasi ketika diperlukan sangat dikehendaki majikan.

Ada majikan menolak terus calon kerana gagal berkomunikasi dengan baik. Bukan rahsia lagi, isu komunikasi antara isu utama dihadapi dalam kalangan pelajar.

Akibatnya, bakal majikan kurang berminat untuk mengambil mereka sebagai prospek bakal pekerja.

Justeru, apakah pelan tindakan terbaik untuk menangani isu ini atau sekadar menyatakan institusi melakukan terbaik untuk pelajar.

Dalam isu ini, institusi perlu memperkasakan bengkel atau program berbentuk membangunkan inter-personal diri pelajar seperti debat antara jabatan atau fakulti.

Ia memberi peluang kepada pelajar untuk melontar pendapat ketika sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP), sekali gus mengasah kemahiran komunikasi pelajar.

Keempat, pelajar perlu disediakan kemampuan untuk bekerja dengan pengawasan yang minimum. Ini mampu untuk membina keyakinan atas kemampuan diri dengan penuh integriti.

Kemampuan untuk menguruskan konflik juga perlu diterapkan seawal pembelajaran supaya pelajar mampu menyesuaikan diri dengan kerja kumpulan.

Pelajar juga perlu dilatih menjadi pendengar yang baik dan amanah dalam setiap situasi. Kemahiran mendengar dan empati sangat penting bagi melicinkan setiap tugasan diberikan.

Pada masa sama, sikap murni dan pekerti luhur menjadi bonus kepada pelajar apabila memasuki alam pekerjaan.

Selain itu, setiap pelajar perlu menguasai kemahiran tambahan berbeza daripada bidang dipelajari secara khusus.

Ini membolehkan pelajar mempunyai nilai tambah dan menjadi tarikan kepada majikan memilih calon memiliki kemahiran tambahan.

Bermakna, Institusi pendidikan perlu menggalakkan pelajar menyertai kursus atau bengkel membolehkan mereka mendapat kemahiran baharu.

Apa yang penting, usaha berterusan perlu dijana semua pihak dalam menjayakan misi ini. Kita perlu ambil bahagian ke arah melahirkan pelajar bersedia memenuhi pasaran kerja masa hadapan.

Pensyarah Kanan, Jabatan Matematik, Sains dan Komputer Politeknik Melaka

Berita Harian X