Perubahan besar dalam kuasa beli pengguna akan berlaku apabila subsidi untuk menstabilkan harga ayam dan telur dihentikan bermula semalam, begitu juga subsidi minyak masak tulen botol. Ini pasti memberi kejutan kepada pengguna yang ketika ini turut berdepan kenaikan kos sara hidup.
Bagaimanapun, kenaikan kos sara hidup, terutama harga barang sebenarnya menjadi isu global. Krisis Russia-Ukraine dan kesan perubahan iklim antara pencetus peningkatan kos terbabit, di samping kelembapan pertumbuhan ekonomi susulan pandemik COVID-19 yang belum pulih sepenuhnya.
Kenaikan inflasi makanan merekodkan paras tertinggi dalam tempoh lebih sedekad, iaitu 5.2 peratus pada Mei lalu, sekali gus memberi petanda peningkatan kos sara hidup semakin mencabar.
Walaupun kerajaan memberi jaminan subsidi bahan api diteruskan, termasuk penetapan harga siling ayam baharu, peningkatan harga barangan keperluan lain turut memberi kesan kepada kehidupan dan psikologi golongan terbabit.
Tidak mustahil lebih ramai isi rumah B40 rendah dan pertengahan akan lebih terjejas susulan peningkatan kos sara hidup berbanding pendapatan diperoleh bersifat statik.
Realitinya, ini memberi isyarat kepada pengguna supaya mengubah cara hidup dan tabiat perbelanjaan harian khususnya perolehan makanan.
Tambahan pula peningkatan harga di rantaian bekalan sayur berlaku seperti harga baja dan racun, kos logistik, tenaga buruh tidak mencukupi serta perubahan cuaca tidak menentu.
Ikan yang menjadi pilihan kebanyakan pengguna turut mencatatkan peningkatan harga melepasi RM10 sekilogram seperti ikan kembung kecil/pelaling RM14; ikan tamban beluru (RM12) dan ikan selayang/sardin (RM13).
Peningkatan kos sara hidup memberi kesan besar kepada kuasa beli bukan sahaja golongan B40, bahkan M40 yang mengubah perbelanjaan mereka dengan memberi keutamaan kepada perkara penting seperti makanan, pendidikan, perumahan dan pengangkutan.
Tidak mustahil isi rumah mengurangkan pengambilan atau tidak mengambil sumber protein, vitamin serta mineral dalam komposisi makanan harian. Hal ini akan lebih terasa kepada isi rumah mempunyai anak kecil untuk mendapatkan makanan mencukupi bagi tujuan tumbesaran.
Pada 2019, golongan berpendapatan rendah memperuntukkan 24.2 peratus jumlah pendapatan bulanan untuk perbelanjaan makanan dan minum.
Peratusan ini dijangka meningkat akibat inflasi makanan dan mengakibatkan perbelanjaan kesihatan, pakaian, komunikasi, rekreasi dan hiburan perlu dikorbankan.
Seandainya situasi ini berlarutan dalam tempoh lama, apakah terjadi kepada kedudukan sekuriti makanan pada peringkat isi rumah dalam memastikan kesediaan dan kestabilan makanan terjamin?
Dalam konteks sekuriti makanan, kestabilan makanan wujud apabila isi rumah dan individu berupaya memperoleh makanan mencukupi setiap masa dalam apa juga keadaan. Oleh itu, orang ramai tidak sepatutnya menanggung risiko mencapai makanan akibat kejadian di luar jangka seperti krisis ekonomi dan perubahan iklim.
Namun, sekiranya bekalan makanan turut terjejas pada peringkat global atau negara, agak sukar kestabilan makanan peringkat isi rumah terjamin.
Oleh itu, setiap isi rumah perlu menyusun dan menentukan strategi terbaik memastikan daya tahan dan kelangsungan hidup dapat diteruskan.
Makanan, perumahan dan pendidikan anak menjadi perkara utama perlu diberi perhatian. Akan tetapi bagaimana pula yang masih menyewa rumah atau perlu melunaskan pinjaman perumahan, terutama di bandar besar yang mengalami peningkatan kos sara hidup ketara?
Perbelanjaan penggunaan isi rumah di bandar menunjukkan peningkatan pada kadar 3.7 peratus setahun daripada RM4,402 kepada RM4,916, berbanding luar bandar meningkat 3.6 peratus setahun daripada RM2,725 kepada RM3,038 bagi tempoh 2016 hingga 2019.
Situasi ini menggambarkan purata perbelanjaan penggunaan isi rumah di kawasan bandar 1.6 kali lebih tinggi berbanding perbelanjaan isi rumah di luar bandar.
Peningkatan ini juga adalah dalam jajaran setara dengan peningkatan pendapatan purata isi rumah, iaitu 1.7 kali lebih tinggi (RM8,635) berbanding kawasan luar bandar (RM5,004).
Dengan penarikan semula subsidi daripada kerajaan ke atas bahan makanan tertentu, ia sudah pasti memberi kesan kepada penghidupan golongan berpendapatan rendah, sama ada di bandar mahupun di luar bandar.
Walaupun kerajaan mengumumkan pemberian subsidi tambahan kepada golongan pendapatan rendah susulan penarikan subsidi, ia bersifat jangka pendek.
Penambahbaikan dalam rantaian bekalan makanan dalam pasaran perlu dilakukan untuk jangka panjang. Jika dilihat intervensi kerajaan masih lagi diperlukan pada peringkat rantaian bekalan makanan, namun kerjasama dan kesepakatan pengeluar serta penggerak industri perlu dicapai bagi menangani permasalahan ini.
Antara cadangan jangka panjang menangani isu kos sara hidup golongan berpendapatan rendah adalah mewujudkan semula amalan bumi hijau untuk memperkasa bekalan makanan peringkat isi rumah.
Namun, pendekatan dan pelaksanaan bumi hijau perlu distruktur semula supaya tidak bersifat bermusim serta dapat mengoptismumkan keseluruhan kawasan rumah dengan tanaman sayur untuk memastikan pengeluaran sendiri bahan makanan.
Penggunaan tanah terbiar milik agensi kerajaan boleh dipertimbangkan dalam usaha ini untuk diusahakan komuniti dalam tempoh tertentu. Ini akan mempertingkatkan pengeluaran makanan di peringkat komuniti.
Lebih 100,000 hektar tanah terbiar dilaporkan berpotensi untuk dibangunkan dengan pelbagai komoditi pertanian. Penggunaan tanah terbiar perlu dilakukan sepenuhnya bagi membekalkan pengeluaran makanan tempatan, bagi menyokong pengeluaran makanan negara.
Diakui, rakyat negara ini masih memerlukan intervensi daripada kerajaan untuk menangani isu dan kemelut peningkatan kos sara hidup, terutama dalam barangan keperluan makanan.
Namun, pelaksanaan dan pemberian subsidi perlu distruktur semula supaya lebih tersasar serta berfokus kepada kumpulan sasaran. Pendekatan subsidi bersasar perlu diberi keutamaan kepada golongan benar-benar memerlukan.
Pada masa sama, pemantauan berkesan di sepanjang rantaian bekalan makanan diperlukan bagi mengelakkan ketirisan yang akhirnya mengakibatkan kerugian kepada pengguna, pengeluar dan kerajaan.
Kelangsungan dan keperluan subsidi bukan bererti memanjakan masyarakat, tetapi sebagai tanggungjawab sosial kerajaan untuk menyantuni golongan mudah terjejas.
Pengarah Institut Kajian Kerajaan Tempatan, Pusat Pengajian Kerajaan, Universiti Utara Malaysia