Keyakinan Menteri Kewangan terhadap keupayaan sasaran pendapatan isi rumah RM10,000 sebulan menjelang 2025 sememangnya berdasarkan Dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang menyasarkan purata pendapatan terbabit meningkat daripada RM7,089 pada 2020 kepada RM10,065 (2025).
Ini antara beberapa sasaran penting diletakkan dalam RMK-12 sebagai usaha menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.
Bagaimanapun, data daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan purata pendapatan isi rumah jatuh kepada RM7,089 pada 2020 daripada RM7,901 pada 2019, iaitu kemerosotan sebanyak 10.3 peratus.
Gaji permulaan graduan pula, yang pada era sebelum pandemik sudah pun rendah, merosot dan berada pada kadar purata antara RM1,001 hingga RM1,500 pada 2020. Pada 2019, kadar purata adalah RM2,001 hingga RM2,500 yang dilihat masih lagi rendah.
Data permulaan gaji graduan ini penting kerana jika mereka mempunyai kelayakan ijazah sarjana muda pun memiliki gaji begitu rendah, bagaimana pula mereka yang berkelulusan diploma ataupun Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)?
Pada masa sama, pendapatan garis kemiskinan (PGK) pula sudah disemak semula. Ketika ini, ia berada pada kadar RM2,208, berbanding sebelumnya RM980. Gaji minimum pula baru sahaja dinaikkan, itupun hanya kepada RM1,500.
Ramai juga tidak berpuas hati kerana apalah sangat RM1,500 dibandingkan keadaan inflasi semakin meningkat ketika ini terutama inflasi makanan dan kos sara hidup semakin mencanak ini.
Natijahnya, perbelanjaan isi rumah pula semakin meningkat dan rakyat terus terbeban dengan tidak ada satu penyelesaian tuntas daripada kerajaan ketika ini. Pakar ekonomi yang juga Ahli Majlis Tindakan Ekonomi (MTE), Tan Sri Prof Dr Noor Azlan Ghazali baru-baru mendedahkan sebanyak 70 peratus daripada perbelanjaan isi rumah diperuntukkan hanya untuk tiga perkara, iaitu makanan, perumahan, dan pengangkutan.
Jadi, timbul persoalan di sini, bagaimanakah pula untuk simpanan? Malah, bagaimanakah pula kegunaan untuk kecemasan, riadah, pendidikan, membantu ibu bapa dan sebagainya? Ini belum lagi berbicara mengenai pelaburan untuk 'melawan' inflasi dan kenaikan kos sara hidup pada ketika ini. Akhirnya, hutang isi rumah juga kekal tinggi.
Berapa ramai agaknya rakyat Malaysia hari ini bergantung kepada kad kredit atau hutang untuk menampung kos sara hidup begitu tinggi ketika ini? Antara cara untuk mendepani cabaran inflasi dan peningkatan dalam kos sara hidup ini adalah memperkasakan kuasa beli rakyat dengan meningkatkan pendapatan mereka. Adakah sasaran diletakkan dalam RMK-12 ini mampu untuk dicapai?
Di Singapura misalnya, penjawat awam negara itu akan menerima kenaikan gaji antara 5 peratus hingga 14 peratus bermula Ogos ini. Keputusan itu dijangkakan akan meletakkan 'standard' kepada sektor swasta untuk meningkatkan gaji pekerja mereka pada masa hadapan, walaupun ketika ini gaji pekerja dalam sektor swasta dilihat lebih kompetitif berbanding sektor awam mereka.
Ini dilihat satu tindakan tepat kerana seperti juga kita di sini, rakyat Singapura juga berdepan isu inflasi dan peningkatan dalam kos sara hidup. Ia juga bagi memastikan penjawat awam di Singapur kekal kompetitif dan berdaya saing dalam mendepani era ekonomi pascapandemik lebih mencabar.
Selain peningkatan gaji penjawat awam, kerajaan juga boleh memperkenalkan dasar upah wajar kerana apa diperlukan ketika ini bukan sahaja tangga gaji dilihat sebagai 'minimum', bahkan tangga gaji atau pendapatan yang membolehkan Keluarga Malaysia hidup dengan lebih bermaruah, selesa dan sihat dari segi fizikal dengan nutrisi makanan mencukupi serta kesihatan mental baik tanpa memikirkan beban hutang tinggi dan kos sara hidup semakin hari semakin meningkat.
Ini sejajar dengan konsep taraf kehidupan wajar diperkenalkan dan ingin dicapai di bawah RMK-12 itu sendiri.
Namun, jika dilihat pengalaman negara maju di dunia yang dapat meningkatkan purata pendapatan isi rumah mereka, apa yang penting adalah dasar, strategi dan pelan jangka sederhana serta panjang.
Sebagai dasar pembangunan jangka sederhana, RMK-12 perlu digerakkan dengan lebih pantas kerana hanya tinggal dua hingga tiga tahun lagi sebelum tamat pada 2025. Mungkin agenda ini boleh disambung ke Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Kita tidak tahu apa akan berlaku pada prospek ekonomi dunia pada 2023, 2024 dan 2025. Jika kita gagal menangani masalah krisis iklim, sekuriti makanan, inflasi dan keadaan konflik di Ukraine menjadi lebih tegang, kos kehidupan mungkin lebih tinggi serta pendapatan rakyat mungkin akan lebih mengecil.
Jadi, adalah penting strategi untuk menggalakkan persaingan dalam pasaran digubal, begitu juga meningkatkan kecekapan ekonomi, merangsang pengeluaran, menggalakkan inovasi, meningkatkan produktiviti, memperkasakan pasaran buruh, mereformasi sistem pendidikan, mensiapsiagakan sektor kesihatan, membangunkan modal insan, memperhebatkan regulasi dan akta berkaitan.
Begitu juga kita perlu memperkemaskan sistem jaringan sosial, memperkasakan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), memperkukuhkan daya tahan dan daya saing ekonomi, meningkatkan eksport, pemerkasaan isu integriti dan tadbir urus serta reformasi sistem cukai, malah lebih penting juga agenda sifar karbon dan isu kelestarian.
Semua ini mungkin sudah ada dalam RMK-12, namun sama ada ia dapat meningkatkan pendapatan rakyat bergantung kepada pelaksanaannya dan maklumat terperinci berkenaan strategi khusus digubal.
Akhir sekali, kestabilan politik adalah sangat penting. Jika keadaan politik negara tidak stabil, adalah sukar untuk menyelesaikan pelbagai isu ekonomi yang kita sedang hadapi terutama untuk meningkatkan pendapatan isi rumah ini kerana ia membabitkan dasar, strategi serta program jangka sederhana dan panjang.
Jadi, memandangkan keadaan masih lagi terkawal pada ketika ini, elok juga mandat rakyat dipulangkan terlebih dahulu untuk mencapai kestabilan politik diperlukan pada ketika ini.
Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM)