Khamis, 26 Mei 2022 | 12:00pm
Pengunjung lihat manuskrip Melayu Hikayat Hang Tuah di gerai Perpustakaan Negara Malaysia pada Simposium Pengantarabangsa Bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka, baru-baru ini. - NSTP/Owee Ah Chun
Pengunjung lihat manuskrip Melayu Hikayat Hang Tuah di gerai Perpustakaan Negara Malaysia pada Simposium Pengantarabangsa Bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka, baru-baru ini. - NSTP/Owee Ah Chun

Laksana resolusi martabat bahasa Melayu babitkan generasi muda

Apa jua cita-cita mesti diikuti dengan tindakan susulan berjejak di bumi nyata. Ini termasuk hasrat serta cita-cita Perdana Menteri untuk mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN dan antarabangsa.

Hasrat dan cita-cita itu melakar sejarah tersendiri apabila inilah pertama kali seorang Perdana Menteri di negara ini menzahirkannya, tidak pernah terjadi ketika pimpinan terdahulu. Beliau malah menzahirkan teladan dengan berucap menggunakan bahasa Melayu dalam beberapa acara rasmi di luar negara, terbaru di Tokyo.

Menjelmakan cita-cita besar ini agar menjadi kenyataan pada suatu hari nanti bukanlah mustahil. Bagaimanapun ia perlu disusuli dengan tindakan seterusnya yang realistik atau berjejak di bumi nyata negara kita serta persada antarabangsa.

Dalam hubungan ini, melalui Seminar Pengantarabangsaan Bahasa Melayu baru-baru ini ditimbulkan beberapa pandangan serta saranan daripada tokoh pelbagai bidang dari dalam dan luar negara.

Isu disentuh dalam seminar berkenaan banyak sekali. Ini termasuk kedudukan bahasa Melayu itu sendiri di negara ini dalam pelbagai bidang kehidupan, peranan harus digerakkan oleh bahasa Melayu jika ia mahu dilihat berkesan di arena antarabangsa, cadangan bagi mengantarabangsakan bahasa Melayu, pihak di luar negara yang boleh dijadikan rakan jaringan bekerjasama bagi mengembangkan bahasa Melayu, mengangkat kekuatan teks sastera serta kearifan tempatan dalam bahasa Melayu melalui penterjemahan dan sebagainya.

Memandangkan Perdana Menteri memberikan jaminan dan sokongan bahawa Seminar Pengantarabangsaan Bahasa Melayu akan dianjurkan setiap tahun, wajarlah jika resolusi seminar ini segera diperhalusi serta dilaksanakan supaya menjelang seminar 2023 beberapa perkembangan bahasa Melayu yang menarik dilakar di Malaysia, ASEAN dan antarabangsa.

Dalam hubungan ini, kita berharap pindaan Akta DBP akan menyaksikan penguatkuasaan bahasa Melayu yang lebih berkesan menjelang seminar ini pada 2023 yang akan datang. Melaluinya bahasa Melayu betul bukan sahaja digunakan dengan meluas di sektor awam dan swasta, malah citranya terpampang jelas pada nama taman, bangunan, jalan dan sebagainya.

Di samping itu, rasa 'kecintaan' dan 'kemegahan' terhadap bahasa Melayu di negara ini sepatutnya akan lebih meluas kepada semua bangsa di negara kita. Hal ini dibangkitkan kerana bahasa Melayu sepatutnya bukan milik atau warisan bangsa Melayu sahaja; sebaliknya menjadi bahasa kebangsaan, bahasa perhubungan dan bahasa pemersatuan masyarakat majmuk di negara ini.

Dalam tempoh setahun mendatang, diharapkan pihak di Kementerian Luar khususnya akan mengambil langkah strategik mengetengahkan bahasa Melayu ke peringkat ASEAN. Kedutaan atau perwakilan Malaysia di luar negeri juga diharap dapat memainkan peranan lebih besar untuk mengembangkan bahasa Melayu, malah mewujudkan jawatan atase kebudayaan di beberapa tempat penting, yang akan turut mengembangkan bahasa Melayu.

Di samping itu, pusat pengajian Melayu/Malay- sia yang sedia ada diperkasakan atau ditambah jumlahnya di wilayah lain. Usaha pemerkasaan ini termasuk aspek tenaga pengajar mencukupi (yang turut didatangkan dari Malaysia), bahan bacaan lebih menyeluruh dan terkini serta peningkatan jumlah pelajar dari semasa ke semasa.

Di benua atau blok negara yang belum mempunyai pusat pengajian Malaysia/Melayu, wajar pusat berkenaan diwujudkan. Mudah-mudahan ada perkembangan terbaru dalam isu ini menjelang seminar 2023 yang akan datang.

Kita juga berharap program penterjemahan karya sastera dan teks kearifan tempatan atau bersifat Malaysiana, yang bermutu dan dihasilkan dalam bahasa Melayu diterjemahkan dalam pelbagai bahasa dunia serta dilancarkan dalam Seminar Pengantarabangsaan Bahasa Melayu 2023.

Seelok-eloknya karya terjemahan berkenaan diterbitkan di negara luar yang bahasa sasarannya sesuai dengan teks diterbitkan melalui bahasa berkenaan.

Seminar Pengantarabangsaan Bahasa Melayu baru-baru ini turut menyediakan ruang untuk beberapa sarjana dari luar negara memberi semacam taklimat atau kajian sejarah masa lalu bahasa Melayu dalam konteks linguistik, geolinguistik dan sebagainya di institusi atau negara masing-masing.

Taklimat atau kajian berkenaan lebih bersifat retrospektif dan ilmiah, kurang menjana usaha mengantarabangsakan bahasa Melayu masa depan. Bukanlah sesuatu retrospektif itu remeh, tetapi dalam konteks seminar ini, apa yang futuristik itulah menjadi sasaran.

Justeru, eloklah sekiranya dalam seminar 2023 nanti pembentangan taklimat atau kajian ilmiah retrospektif sedemikian dikelompokkan dalam satu sesi sahaja, sementara sesi lain lebih banyak memberikan tumpuan kepada strategi serta pelaksanaan pengantarabangsaan bahasa Melayu masa depan.

Masa depan sesebuah bahasa ditentukan generasi mudanya. Justeru, wajar dirangka program serta aktiviti pendidikan, penerbitan, kebudayaan dan sebagainya menyantuni keperluan intelek, emosi dan psikologi mereka.

Dalam hal ini bahasa Melayu dalam pelbagai disiplin ilmu, maklumat dan hiburan harus sampai kepada mereka, 'digital native' ini. Jika kita gagal menyediakan isian bahasa Melayu kepada mereka dan demi survival mereka, kita gagal mengembangkan bahasa Melayu masa depan.

Sehubungan itu dalam Seminar Pengantarabangsaan Bahasa Melayu 2023 nanti wajarlah jika pembentang makalahnya lebih didominasi pemikir muda dari dalam dan luar negara. Gandingan pemakalah daripada generasi awal mengarifi sejarah dengan pemakalah daripada generasi muda yang menjadi pewarislah yang akan mencorakkan rupa dan jiwa bahasa Melayu masa depan.

Penulis adalah Sasterawan Negara

Berita Harian X