Rabu, 27 April 2022 | 10:00am
Foto Hiasan.
Foto Hiasan.

27 Agensi Peneraju gagal 'asah' taring Pelan Antirasuah Nasional

SEWAKTU Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 dilancarkan pada 2019, ia memberi harapan baharu kepada negara dalam mendepani usaha memperbaiki integriti dan membanteras rasuah serta salah

guna kuasa memandangkan negara diselubungi skandal 1MDB yang teruk mencalar imej.

Ia menyaksikan kejayaan merealisasikan 29 inisiatif dalam pelan itu pada tahun itu, sekali gus mengisyaratkan kerajaan amat komited menjadikan agenda antirasuah sebagai keutamaan.

Malangnya, selepas empat tahun berlalu, NACP dilihat seolah-olah masih tidak berganjak daripada tahun pelancarannya dengan pelan digelar living document semacam sukar bergerak ke mana-mana.

Selepas bermula gagah pada tahun pertama, pelan itu hanya menyelesaikan lapan inisiatif sahaja yang difahamkan ia bukanlah bertaraf kritikal. Inisiatif yang besar mungkin mengenai mekanisme penilaian harga berdasarkan kaedah cut-off dalam proses menilai harga tender.

Apabila BH mendedahkan situasi terbaru NACP pada awal bulan ini, hanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan jawapan balas dengan mendedahkan satu inisiatif kritikal disiapkan dan bakal dijayakan, 1 Jun depan.

Malangnya, tiada 26 Agensi Peneraju atau Agensi Pelopor membabitkan 11 kementerian; jabatan/unit/bahagian kerajaan (11); Parlimen, suruhanjaya (satu); institusi (satu) dan perbadanan (satu) memberi maklum balas.

Ia menimbulkan persoalan, adakah NACP masih relevan untuk diteruskan atau inisiatif yang perlu digerakkan dan disudahkan pada Disember tahun hadapan tidak lagi menjadi fokus utama agensi terbabit.

Tidak hairanlah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antirasuah, Transparency International Malaysia (TI-M) turut menyatakan kekeliruan mengenai kewujudan pelan itu apabila mempersoalkan situasi semasa perbincangan atau mesyuarat sedangkan sebelum ini aktif diadakan.

Biarpun tidak menolak alasan pandemik COVID-19 dan kekangan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan, Presidennya, Dr Muhammad Mohan menzahirkan kekecewaan sekiranya perkembangan inisiatif itu tidak seperti yang dirancang sebelum ini. Katanya, Malaysia menjadi satu-satunya negara di dunia mempunyai pelan sedemikian dan sepatutnya sudah menjadi teladan antirasuah pada peringkat global.

Secara umumnya, 115 inisiatif (111 selepas semakan 2020) terhasil dalam NACP adalah rangkuman kepada kelemahan tadbir urus yang menjadi punca skandal rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku sejak sekian lama.

Apabila direncanakan, inisiatif ini seharusnya mampu menjadi panduan dalam pengurusan pentadbiran kerajaan khususnya dalam memperbaiki kelemahan, sistem yang boleh dimanipulasi serta mengukuhkan integriti setiap pegawai kerajaan.

Sekiranya pelan ini dijayakan sepenuhnya, ia bukan sahaja memberi impak cemerlang dalam pengurusan antirasuah, malah mampu membendung sepenuhnya salah guna kuasa, birokrasi, campur tangan ahli politik serta memperkemaskan lagi tadbir urus kerajaan.

Contohnya, antara inisiatif kritikal dalam pelan itu ialah Inisiatif 1.3.3, iaitu memperkenalkan dasar berhubung pelantikan ahli politik sebagai Pengerusi atau Ahli Lembaga Pengarah dalam badan berkanun, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat terhad dengan jaminan (CLG) yang ditubuhkan kerajaan berasaskan keperluan syarikat dan kelayakan calon daripada segi akademik, kelayakan profesional, kemampuan, kepakaran dan pengalaman sama ada dalam bidang operasi, teknikal, profesional atau pendedahan spesifik kepada sektor berkaitan.

Inisiatif ini adalah hasrat yang terlahir melalui pelbagai teguran dan tindakan sejak 2008 lagi, tetapi setakat dalam Laporan Kemajuan NACP 2019-2023 yang baru dikeluarkan, ia dilihat langsung tiada kemajuan.

Begitu juga inisiatif 1.2.6, iaitu mengkaji keperluan perundangan bertulis berkaitan perisytiharan harta oleh anggota pentadbiran dan ahli Parlimen. Inisiatif ini bermula dengan rentak hebat melalui kewujudan sistem perisytiharan harta bagi anggota pentadbiran kerajaan.

Oleh demikian kita harus memperakui pelaksanaannya NACP dilihat begitu tersekat-sekat dengan banyak inisiatif yang ada masih tertangguh.

Biarpun Pusat Governans, Integriti & Antirasuah Nasional (GIACC) seperti digambarkan memerah keringat darah untuk menjayakannya setiap inisiatif dalam pelan antirasuah ini, ia tidak akan terhasil sekiranya 27 Agensi Peneraju gagal menjadi penggerak.

Pastinya ada bersetuju dengan kenyataan NACP setakat ini hanya gah pada namanya sebaliknya ia seperti harimau tidak bertaring apabila tiada kesepaduan agensi peneraju dilihat merealisasikannya.

Justeru, antara syor perlu dipertimbangkan untuk memastikan NACP mencapai sasarannya pada penghujung tahun hadapan adalah penyertaan aktif semua pihak khususnya 27 Agensi Peneraju yang sebenarnya menjadi penggerak utama bagi setiap inisiatif dalam pelan itu.

Setiap ketua setiausaha bagi kementerian atau ketua pengarah bagi jabatan kerajaan perlu menjadi tunjang utama untuk memastikan status penyelesaian inisiatif dimuktamadkan tanpa sebarang gangguan atau 'tangan ghaib.'

Kemajuan inisiatif itu perlu diletakkan sebagai Indeks Prestasi Utama (KPI) mereka, manakala GIACC sebagai agensi bertanggungjawab dalam mengkoordinasi pelan itu juga perlu meningkatkan usaha menggesa setiap Agensi Peneraju mematuhi tarikh akhir pelan itu meskipun adanya isu berkaitan Perlembagaan Persekutuan yang menyekat sebahagian inisiatif dicadangkan itu.

Inisiatif kecil dan tidak kritikal perlu diberikan tarikh akhir sekurang-kurangnya menjelang tahun hadapan dengan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) juga perlu sentiasa bersidang untuk meneliti kemajuan dicapai seterusnya memberi teguran keras terhadap Agensi Peneraju yang dilihat tidak mencapai hasrat dipertanggungjawab itu.

Wartawan BH

Berita Harian X