Sabtu, 23 April 2022 | 10:00am
Foto hiasan.
Foto hiasan.

Pelaksanaan dasar gaji minimum elak 'kera di hutan disusukan'

SELEPAS Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kenaikan kadar gaji minimum sebanyak RM1,500 sebulan berkuat kuasa 1 Mei ini, banyak majikan atau syarikat yang 'merungut' dengan keputusan kerajaan itu.

Susulan itu, ada majikan dan syarikat memohon atau mendesak kerajaan supaya menangguhkan sementara pelaksanaan gaji minimum RM1,500 atas pelbagai alasan serta faktor sampingan.

Namun, baru-baru ini Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan bertegas yang gaji minimum RM1,500 akan diteruskan meskipun ada permintaan termasuk daripada majikan supaya ia ditangguhkan.

Pelaksanaan kadar baharu gaji minimum jelas Saravanan sudah dikaji secara mendalam dan pihaknya tidak akan membuat pusingan U hanya semata-mata kerana didesak pihak majikan tertentu.

Dalam hal ini, perkara yang perlu difahami adalah tujuan utama penetapan gaji minimum ialah untuk membantu golongan pekerja bergaji rendah termasuk golongan B40 berusaha keluar daripada paras kemiskinan.

Apabila dasar gaji minimum diluluskan, kadar gaji tidak boleh dikurangkan melalui perjanjian kolektif atau kontrak individu pekerja.

Kesatuan sekerja dan pekerja sektor swasta pasti gembira mendengar berita ini. Kenaikan itu dapat membantu golongan B40 yang amat terkesan akibat pandemik COVID-19.

Sungguhpun begitu, pelaksanaan gaji minimum itu bagaimanapun akan hanya membabitkan majikan syarikat besar dan tidak membabitkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

PMKS menyatakan kenaikan gaji minimum itu menyukarkan mereka kerana ia membabitkan pertambahan kos.

Sebaliknya, kesatuan sekerja seperti Majlis Jaringan Kesatuan Antarabangsa-Pusat Sekerja Malaysia (UNI-MLC) menyatakan gaji minimum perlu dilaksanakan kepada semua sektor industri tanpa pengecualian.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) pada tahun 2019 menyatakan keperluan untuk menaikkan kadar atau paras gaji minimum kerana kos sara hidup semakin tinggi membebankan ramai pekerja.

Gaji atau upah minimum ditakrifkan sebagai saraan paling rendah ditetapkan pemerintah yang mesti dibayar majikan kepada pekerja mengikut tempoh upah tertentu. Gaji minimum ditetapkan melalui perundangan atau sistem lain yang sah bergantung kepada sistem atau kaedah sesebuah negara.

Berdasarkan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), sebanyak 90 peratus negara di dunia mempunyai sistem gaji minimum. Ini bererti gaji minimum dilaksanakan di hampir semua negara di dunia. Australia dan New Zealand antara negara awal mewujudkan perundangan gaji minimum.

Pada peringkat ASEAN, semua negara anggota mempunyai perundangan gaji minimum kecuali Singapura dan Brunei.

Konvensyen Penetapan Gaji Minimum 1970 (No 131) adalah instrumen ILO utama memperuntukkan prinsip dan sistem gaji minimum perlu diikuti negara anggota.

Konvensyen ini menjadi standard antarabangsa pelaksanaan gaji minimum. Negara anggota ILO yang mengiktiraf konvensyen itu perlu mewujud dan melaksanakan dasar gaji minimum.

Malaysia menganggotai ILO sejak 1957 dan meratifikasi Konvensyen No 131 pada 7 Jun 2016. Implikasi ratifikasi itu bererti Malaysia wajib mewujudkan satu sistem gaji minimum.

Malaysia sememangnya mempunyai keupayaan melaksanakan sistem gaji minimum kerana mempunyai Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732).

Akta 732 adalah statut undang-undang separa jenayah. Implikasinya, majikan yang tidak mematuhi peruntukan Akta 732 dan Perintah Gaji Minimum boleh dijatuhkan hukuman oleh mahkamah atau dikompaun.

Akta ini menjadi punca kuasa penubuhan Majlis Perundingan Gaji Negara, perihal Perintah Gaji Minimum, kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan serta jenis kesalahan dan penalti.

Sebelum kerajaan boleh mengumumkan kenaikan jumlah gaji minimum, kajian dijalankan bagi menentukan kesesuaian cadangan tahap kenaikan gaji minimum.

Antara panduan penetapan kadar gaji minimum ialah paras pendapatan garis kemiskinan, indeks harga pengguna dan kadar inflasi.

Tidak dapat dinafikan Persatuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) akan melobi apabila kerajaan menyemak semula kadar gaji minimum. Ini kerana kenaikan kadar gaji minimum akan membabitkan kos pengeluaran majikan.

Penetapan kadar gaji minimum baharu adalah sesuatu yang wajar disokong. Kini Malaysia membuka pintu sempadannya dan perusahaan beroperasi sepenuhnya.

Justeru, ekonomi negara dijangka pulih dalam masa terdekat. Dalam hal ini, kemampuan majikan dalam membayar gaji minimum seperti ditetapkan kerajaan akan tercapai.

Pembabitan Malaysia dalam kerjasama ekonomi dunia dan serantau seperti perjanjian Perkongsian Ekonomi Menyeluruh Serantau (RCEP) akan membuka pasaran lebih luas untuk negara.

Maka, penggunaan guna tenaga akan berlaku dan pekerja perlu memperoleh gaji minimum bersesuaian, maka kaedah terbaik ialah menaikkan kadar gaji minimum.

Secara perundangan, penetapan gaji minimum terpakai kepada semua pekerja diambil bekerja secara sah sama ada pekerja tempatan atau asing.

Standard buruh ILO melarang diskriminasi pekerja tempatan atau asing yang sah atas apa alasan sekalipun. Ia merangkumi aspek gaji minimum.

Dalam hal ini, pasti ada pihak menyatakan kenaikan gaji minimum lebih menguntungkan pekerja asing yang biasanya turut disediakan kemudahan kediaman dan pengangkutan percuma atau diberi subsidi.

Perkara seperti ini tidak dapat dielakkan. Sebaiknya kerajaan dan majikan menarik minat pekerja tempatan untuk bekerja dengan meningkatkan gaji mereka.

Di samping itu, kenaikan gaji minimum dilihat mampu menarik minat sebahagian pekerja tempatan yang kini cenderung bekerja dalam ekonomi gig.

Mereka perlu ditarik bekerja ke dalam pekerjaan arus perdana yang mempunyai perlindungan sosial pekerja secara mandatori seperti simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) serta perlindungan perundangan buruh seperti Akta Kerja 1955 (Akta 265) dan Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177).

Pekerjaan dalam ekonomi gig setakat ini tidak memberi perlindungan buruh yang baik. Menurut piawaian ILO, sistem gaji minimum seboleh-bolehnya meliputi semua golongan pekerja dengan sedikit pengecualian saja dibenarkan.

Dalam hal ini banyak negara mengecualikan sistem gaji minimum kepada pekerjaan informal seperti pekerja domestik.

Malaysia pada asasnya mempunyai ramai pekerja domestik diambil dari negara jiran seperti Indonesia dan Filipina.

Sungguhpun sistem gaji minimum Malaysia dikecualikan kepada pekerja domestik, negara pengeksport golongan pekerja boleh mendesak kerajaan menetapkan gaji minimum untuk pekerja domestik mereka melalui kaedah dan instrumen memorandum persefahaman (MoU) seperti Malaysia dan Indonesia.

Secara keseluruhannya, penetapan dan penyemakan kadar atau paras gaji minimum adalah suatu yang positif.

Langkah kerajaan menyemak dan menaikkan kadar gaji minimum bagi membantu golongan pekerja B40 perlu disokong bagi memenuhi aspirasi asal untuk mengurangkan kadar kemiskinan rakyat negara ini.

Penulis adalah bekas Profesor Undang-Undang (Buruh) Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Berita Harian X